Hadith Lemah Di Dalam Kitab Sheikh Muhammad Abd Wahab?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Saya sudah meneliti satu-persatu hadis-hadis dalam kitab al-Tawhid sepintas lalu, jelas keahlian Syeikh Ibnu 'Abd al-Wahhab dalam ilmu hadis, dan riwayat-riwayat yang lemah - jikalau benar-benar lemah sekalipun - tidak seteruk dan sedahsyat yang digambarkan. 

Tidak seperti kebanyakan guru-guru mereka, syeikh sangat berhati-hati dalam menukil hadis. Beliau pandai menyatakan sumber dan biasa menyebut hukumnya sekali. Katanya, misalnya, "Dikeluarkan oleh Abu Dawud dan lain-lain" dan "Diriwayatkan oleh al-Nasa'i dengan sanad yang jayyid." Kerana berlaku khilaf antara marfu' dengan mawquf, beliau menyebutkan hadis secara marfu', kemudian menyebutkan nukilan bahawa yang sahihnya adalah mawquf, contohnya.

Kesilapan syeikh umumnya berlaku disebabkan beliau merujuk ulama-ulama hadis terdahulu, bukan kerana memandai-mandai sendiri. Contohnya, beliau memarfu'kan hadis دخل الجنة رجل في ذباب dan menyandarkannya kepada Imam Ahmad sedangkan hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad sebagai mawquf kepada Salman al-Farisi RA. Puncanya, beliau merujuk Ibnu al-Qayyim. 

Contoh lain, beliau menukilkan hadis قال موسى يا رب علمني شيئًا أذكرك dan mengatakan, "Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan al-Hakim; dan beliau mensahihkannya." Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan sebagaimana yang dinukilkannya, disahihkan juga oleh al-Hakim. Jadi, punca kesilapan ini jelas iaitu beliau merujuk dua imam hadis tersebut.

Dan adakalanya kerana terlampau cermat, beliau menukilkannya secara terus daripada ulama berkenaan. Sebagai contoh, beliau menyebutkan hadis لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعًا لما جئت به dan kemudiannya menukilkan kalam Imam al-Nawawi yang mensahihkannya.

Jadi, ceritanya begini: Hadis-hadis yang dikatakan bermasalah itu sebenarnya disahihkan oleh ulama-ulama muktabar di sisi sufi-Asha'irah sendiri dan perkara ini boleh dilihat dalam tahqiq dan takhrij al-Luhaydan dan lain-lain. 

Akan tetapi, kerana kebencian yang meluap-luap kepada Wahabi, mereka tidak memakai penilaian ulama sendiri dan memuktamadkan takhrij al-Rayyashi yang jelas ketat. Tujuannya tidak lain, untuk menampakkan betapa banyaknya hadis lemah dalam kitab al-Tawhid yang menjadi rujukan Salafi.

Contohnya, hadis tadi, لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعًا لما جئت به, disahihkan oleh Imam al-Nawawi dan termasuk dalam hadis 40. Saya pasti mereka juga berpendapat hadis itu sahih. Tetapi, demi memburukkan syeikh, kitab al-Tawhid, dan Salafi, mereka menggunakan penilaian al-Rayyashi yang mengatakannya munkar!

(Pendek kata, hadis-hadis dalam kitab mereka tidak palsu melainkan jika ulama bersepakat menghukumnya palsu. Tetapi hadis-hadis dalam kitab Salafi boleh dihukum lemah, munkar, dan palsu walaupun ulama mereka sendiri mensahihkannya.)

Alangkah jijiknya perbuatan mereka.

Jika berani, bandingkan manhaj hadis Syeikh Ibnu 'Abd al-Wahhab dengan ulama-ulama utama Asha'irah yang lain dalam kitab akidah yang mengandungi bilangan hadis yang sama, baru buku bertemu ruas, kepala ke kepala, dan epal dengan epal. (Saya asalnya ingin membandingkan kitab al-Tawhid dengan hasyiah syarah Jawharah a-Tawhid, tapi tidak sepadan. Hanya sedikit hadis yang disebutkan.) Kita lihat siapakah sebenarnya yang jahil ilmu hadis.





[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments