Menegur Didalam Majlis Ilmu


OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Menegur seseorang yang dilihat tidak meraikan adab-adab saat majlis ilmu sedang berlangsung merupakan suatu perkara yang dilakukan oleh para ulama zaman berzaman.
Suatu hari, ketika Al-Imām ‘Abdul Rahmān bin Mahdi sedang menyampaikan ilmu, ada seorang lelaki ketawa dan ia didengari oleh ‘Abdul Rahman bin Mahdi. Lalu beliau bertanya : “Siapakah yang ketawa tersebut ?”. Beliau mengulang pertanyaan beberapa kali. Sehinggalah orang ramai menunjuk ke arah seorang lelaki. Lalu Ibn Mahdi menghadap ke arahnya, seraya berkata :
«تَطْلُبُ الْعِلْمَ، وَأَنْتَ تَضْحَكُ؟ مَرَّتَيْنِ. لَا حَدَّثْتُكُمْ شَهْرَيْنِ»
Terjemahan : “Kamu menuntut ilmu dan kamu ketawa ?”. Beliau menyebutnya sebanyak dua kali. Lalu menyambung : “Aku tidak akan menyampaikan hadis kepada kamu selama dua bulan”.
Rujuk Hilyat Al-Awliyā’, Abu Nu’aim Al-Asbahāni (9/6)
Al-Imām Al-Bukhāri رحمه الله (w. 256 h) di dalam kitabnya Sahīh Al-Bukhāri ada meletakkan sebuah bab yang bertajuk :
‎بَابُ الْغَضَبِ فِي الْمَوْعِظَةِ وَالتَّعْلِيمِ إِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ
Terjemahan : Bab marah dalam penyampaian nasihat dan pengajaran ilmu sekiranya seorang guru melihat sesuatu yang dia tidak sukai.
Beliau berdalilkan sebuah riwayat dari Abū Mas’ūd, beliau berkata : Seorang lelaki berkata : “Wahai Rasulullah, aku hampir-hampir tidak dapat melakukan solat secara berjemaah, aku hadir lewat disebabkan si fulan menjadi imam begitu lama kepada kami”.
Kata Abu Mas’ud : “Aku tidak pernah melihat Nabi SAW memberi mau’izhah (peringatan) dalam keadaan yang sangat marah berbanding pada hari tersebut”. Baginda berkata :
‎أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ، فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ فِيهِمُ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ
Terjemahan : Wahai orang ramai, sesungguhnya kamu menyebabkan orang menjauh (dari solat). Siapa yang jadi imam kepada orang ramai, hendaklah dia ringkaskan. Kerana ada dalam kalangan jemaah itu orang yang sakit, orang yang lemah, serta orang yang mempunyai urusan lain.
Rujuk Sahīh Al-Bukhāri (1/30)
Demikian adakalanya Rasulullah SAW meninggikan suara dalam menyampaikan teguran terhadap kesalahan yang dilakukan oleh para sahabat. Imām Al-Bukhāri meletakkan satu bab dalam kitab Sahihnya yang bertajuk :
‎بَابُ مَنْ رَفَعَ صَوْتَهُ بِالْعِلْمِ
Terjemahan : Bab seseorang yang meninggikan suaranya untuk menyampaikan ilmu.
Beliau menjadikan hadis di bawah sebagai sandaran, bahawa Rasulullah SAW pada suatu hari melihat para sahabat tidak membasuh kaki dengan betul ketika mengambil wuduk, lalu Baginda berkata dengan suara yang tinggi :
‎وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ
Terjemahan : Binasalah tumit kaki (yang tidak dibasuh ketika wuduk) dengan api neraka !
Baginda menyebutnya sebanyak dua atau tiga kali.
Riwayat Al-Bukhāri (163)
Demikian Al-Imām Al-Bukhāri di dalam kitab ilmu dari Sahih Al-Bukhāri meletakkan sebuah bab yang bertajuk :
‎بَابُ الْإِنْصَاتِ لِلْعُلَمَاءِ
Terjemahan : Bab diam dari bercakap untuk mendengar ucapan para ulama.
Beliau berdalilkan bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepada Jarīr bin Abdullah رضي الله عنه semasa haji wadā :
‎اسْتَنْصِتِ النَّاسَ
Terjemahan : “Minta orang ramai untuk diam”.
Lalu Baginda berkata :
‎لا تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا، يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ
Terjemahan : Janganlah kamu kembali kepada kekufuran selepas ketiadaan aku. Yang mana sebahagian kamu memancung leher sebahagian yang lain (yakni saling berbunuhan).
Riwayat Al-Bukhāri (121)
Semua riwayat dan kisah ini adalah dalam menggambarkan betapa tingginya adab di dalam majlis ilmu yang telah diajarkan oleh syariat.
Kesimpulannya, jika seseorang penceramah atau pendakwah menegur dalam satu-satu majlis ilmu yang disampaikannya, ini sama sekali tidak menafikan kesabaran dirinya. Orang yang tidak sabar adalah orang yang apabila dia marah, dia susuli kemarahan dengan melakukan perkara-perkara yang Allah SWT larang. Justeru, selama teguran itu tidak ada padanya maki hamun, carutan, atau ayat-ayat merendahkan orang yang ditegur, atau memukul tanpa hak, ini sama sekali tidak dilarang di sisi syarak.

✍🏻 Muhammad Fahmi Rusli
All reactions:
287

 

Comments