OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Antara kejujuran dalam ilmu adalah, menisbahkan faedah yang kita perolehi kepada pengucapnya. Inilah amalan yang mendatangkan keberkatan pada ilmu dan urusan seorang penuntut ilmu.
Al-Imām Al-Nawāwi رحمه الله (w. 676 h.) berkata :
Terjemahan : Antara kejujuran itu adalah, menyandarkan faedah yang asing kepada pengucapnya. Sesiapa yang melakukannya, dia akan diberkati pada ilmu dan urusannya. Manakala sesiapa yang mewahamkannya (tidak menjelaskan dari siapa faedah diambil), dan mewahamkan (orang lain) suatu faedah yang dia ambil dari ucapan orang lain bahawa ia merupakan ucapannya, maka dia hampir pasti tidak akan diberi manfaat dengan ilmunya serta tidak diberkati urusannya. Sentiasalah para ulama dan golongan yang mulia itu menisbahkan sesuatu faedah kepada pengucapnya. Semoga Allah SWT memberi taufik kepada kita akan perkara tersebut buat selamanya.
Rujuk Bustān Al-‘Ārifīn, Al-Nawāwi (16)
Begitu juga Al-Imām Al-Sakhāwi رحمه الله (w. 902 h.) berkata :
وصحّ عن سفيان الثَّوريِّ أنه قال ما معناه: نسبة الفائدة إلى مفيدها مِنَ الصِّدق في العلم وشُكره، وأن السكوت عن ذلك مِنَ الكذب في العلم وكُفْره
Terjemahan : Telah sahih dari Sufyān Al-Tsauri bahawa beliau berkata secara makna : Menisbahkan faedah kepada pemberinya termasuk dalam kejujuran ilmu dan tanda syukur. Manakala diam darinya termasuk dalam mendustakan ilmu dan tanda kufur.
Rujuk Al-Jawāhir wal-Durar fi Tarjamati Syaikhil Islām Ibn Hajar, Al-Sakhāwi (1/181)
Al-Imām Ibnu ‘Abd Al-Barr Al-Andalusi رحمه الله (w. 463 h) pula berkata :
يُقَالُ: إِنَّ مِنْ بَرَكَةِ الْعِلْمِ أَنْ تُضِيَفَ الشَّيْءَ إِلَى قَائِلِهِ
Terjemahan : Dikatakan : Antara keberkatan ilmu adalah kamu menisbahkan sesuatu itu kepada pengucapnya.
Rujuk Jāmi’ Bayān Al-‘Ilm wa Fadlih, Ibnu ‘Abdil Barr (2/922)
Justeru, akhlak penuntut ilmu yang sejati adalah menisbahkan segala faedah yang dia baca atau dengar, kepada pemiliknya yang sebenar. Atau dalam bahasa lain, berikan kredit kepada pemilik asal, bukan memberi waham kepada orang ramai bahawa faedah tersebut datang daripada kita. نسأل الله التوفيق والسداد.
Comments
Post a Comment