OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Sekali lagi tentang bawah dagu. Jabatan mufti sebuah negeri mendakwa “Al-Imām al-Shāfi‘ī rahimahullah dalam kitabnya, al-Umm juga mengatakan bahawa dagu adalah sebahagian daripada muka. Perkara mengenai bahagian bawah dagu merupakan isu khilaf di antara ulama-ulama. Sebahagian daripada mereka mengatakan jika dagu itu merupakan anggota daripada muka, maka tidak wajib bagi wanita untuk menutup bahagian dagu ketika solat. Namun, ada pendapat lain yang mengatakan jika kita menganggap ia adalah anggota leher maka diwajibkan untuk menutup sebahagian tersebut ketika solat.”
Kenyataan ini dikutip oleh seorang ustazah yang sangat terkenal dalam videonya yang bertajuk “Bawah Dagu Itu Aurat atau Tidak?” yang menyimpulkan bahawa keauratan bawah dagu diperselisihkan ulama. Saya cuba mengakses artikel yang mengandungi kenyataan tersebut tetapi tidak berjaya.
Dakwaan ini tidak benar sama sekali. Fuqaha secara sepakat mengatakan bahagian bawah dagu perempuan atau lelaki yang tidak berjanggut tidak termasuk dalam bahagian muka, maka tidak wajib dibasuh ketika wuduk dan untuk perempuan, termasuk dalam aurat yang wajib ditutup semasa solat dan tawaf; dan daripada ajnabi. Pendapat ini bukan pendapat segelintir atau minoriti seperti yang diwahamkan dengan ibaratnya, "ada pendapat lain", malah satu-satunya pendapat dalam masalah ini.
Seorang individu pernah bertanya kepada panel fatwa Islamweb tentang keauratan bawah dagu, dan katanya, “Seorang faqih bermazhab Mālikī mengatakan kepada saya bahawa perkara ini tiada masalah. Yang lain pula, bermazhab Ḥanafī mengatakan ini termasuk perkara remeh yang dimaafkan, tetapi lebih afdal menutupnya.” Jawab panel fatwa Islamweb:
وأما القول المذكور: إن كشف تحت ذقن المرأة إن كان يسيرا، فلا حرج فيه، أو هو من المعفو عنه، فلم نقف له على دليل، أو قول به عند الحنفية، أو المالكية؛ فالمرأة كلها عورة ما عدا الوجه والكفين، فمختلف فيهما، كما هو معلوم...
“Adapun kenyataan yang disebutkan: bahawa pendedahan bawah dagu perempuan jika sedikit sahaja maka tidak mengapa, atau ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan, kami tidak menjumpai sebarang dalil baginya atau pandangan yang mengatakan demikian di sisi ulama-ulama mazhab Ḥanafī atau Mālikī. Oleh itu, wanita itu seluruhnya adalah aurat kecuali wajah dan dua tapak tangan yang diperselisihkan, seperti yang sedia diketahui...”
Majlis Fatwa Jordan juga tidak menyebut mana-mana pendapat lain bagi masalah ini, selain pendapat Ibnu ‘Aṭiyyah yang di luar konteks. Kata mereka:
وبناء على ما تقدم، يكون هذا هو الحد المسموح بإظهاره من وجه المرأة، أي أن المنطقة التي ورد السؤال عنها؛ لا تعد من الوجه فلا يجوز إظهارها، لا في الصلاة ولا في خارجها، بل يجب سترها، ورخص ابن عطية المالكي فيما يظهر من الوجه بضرورة حركة.
“Berdasarkan apa yang telah dikemukakan, maka inilah had yang dibenarkan untuk dizahirkan daripada wajah wanita, iaitu bahawa kawasan yang ditanyakan dalam soalan tersebut tidak dikira sebagai sebahagian daripada wajah, maka tidak harus menzahirkannya, sama ada dalam solat atau di luar solat. Bahkan wajib menutupnya. Dan Ibn ‘Aṭiyyah al-Mālikī memberikan kelonggaran terhadap apa yang kelihatan daripada wajah kerana keperluan pergerakan.”
(Sebenarnya, Ibnu ‘Aṭiyyah tidak menyebut “muka” secara khusus, dan merujuk situasi yang tidak dapat dielakkan atau ḍarūrī, bukan ikhtiyārī seperti yang dalam isu yang dibincangkan ini. Berikut ibaratnya:
ويظهر لي في محكم ألفاظ الآية أن المرأة مأمورة بأن لا تبدي، وأن تجتهد في الإخفاء لكل ما هو زينة، ووقع الاستثناء في كل ما غلبها فظهر بحكم ضرورةِ حركةٍ فيما لا بد منه؛ أو إصلاح شأن ونحو ذلك، فما ظهر على هذا الوجه فهو المعفو عنه.
“Dan tampak bagi saya daripada lafaz ayat yang jelas bahawa wanita diperintahkan agar tidak menzahirkan (perhiasannya) dan bersungguh-sungguh menyembunyikan setiap perkara yang merupakan perhiasan. Dan pengecualian itu berlaku hanya pada apa yang terzahir daripadanya disebabkan keperluan pergerakan dalam perkara yang tidak dapat dielakkan, atau kerana mengurus urusan diri dan seumpamanya. Maka apa yang terzahir dengan cara seperti ini adalah termasuk dalam perkara yang dimaafkan.”)
Saya perasan ini adalah isu kontemporari yang baru timbul pada zaman kita kerana wanita-wanita pada zaman dahulu maklum bahawa bawah dagu adalah aurat. Kekeliruan ini mungkin timbul dalam kalangan ahli agama kerana fuqaha menggunakan ibarat asfal al-dhaqan merujuk sempadan muka secara menegak. Secara harfiahnya, asfal al-dhaqan bermaksud “dagu yang paling bawah” maka mereka beranggapan bahawa yang dimaksudkan adalah bawah dagu seperti yang kita faham, sedangkan yang dimaksudkan oleh mereka adalah pangkal dagu.
Saya kecewa kerana sebahagian agamawan yang cakna tentang keauratan bawah dagu tidak menekankan kewajipan menutupnya daripada pandangan ajnabi. Mereka cuma mengatakan solat tidak sah jika bawah dagu didedahkan. Inilah yang membuatkan ramai wanita bersungguh-sungguh bertelekung untuk solat, sampai ada yang enggan solat kerana tiada telekung, tetapi selepas solat, mereka dengan selambanya bertabarruj dan mendedahkan aurat. Hijab bagi mereka semata-mata untuk sah solat, bukan kerana kewajipan agama.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment