OLEH: Mukhtaruddin Sahid
Beriman kepada takdir merupakan sebahagian dari rukun iman yang enam. Tidak akan sempurna keimanan seseorang apabila tidak beriman dengan takdir.
Rasulullah ﷺ telah bersabda dalam sebuah hadis:
"Sesungguhnya Allah telah menulis takdir segala makhluk lima puluh ribu tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi."
(HR. Muslim, no. 2653)
Setiap Muslim wajib beriman bahawa rezeki, jodoh, ajal maut, serta segala ketentuan hidup telah ditetapkan Allah. Hal ini ditegaskan dalam firman Allah ﷻ:
"Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut takdir."
(QS. Al-Qamar 54:49)
Dalam masa yang sama, al-Qur’an juga memuatkan banyak ayat yang memberi ancaman terhadap perbuatan manusia — sama ada dosa, maksiat atau kekafiran. Antaranya firman Allah ﷻ:
"Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah ia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina".(QS. An-Nisa 4:14)
Ayat ini menunjukkan bahawa walaupun segala sesuatu telah tertulis dalam ilmu Allah, manusia tetap dipertanggungjawabkan atas amal perbuatan mereka. Dari sini kita memahami bahawa dalam Islam terdapat dua sisi kepercayaan yang mesti difahami bersama: takdir kauniy dan takdir syar‘ie.
Takdir kauniyah bermaksud segala ketetapan Allah yang pasti berlaku dengan kehendak-Nya, sama ada ia disukai oleh Allah atau tidak. Ia mencakupi semua perkara — baik iman, kufur, kebaikan atau keburukan. Dengan takdir kauniyah, Allah menulis segala sesuatu di Lauh Mahfuz berdasarkan ilmu-Nya yang azali.
Manakala takdir syar‘iyyah ialah ketetapan Allah melalui syariat-Nya — perintah, larangan, halal, haram, janji pahala dan ancaman dosa. Dengan takdir syar‘ie, Allah mengutus para rasul dan menurunkan kitab sebagai petunjuk kepada manusia, agar mereka memilih jalan ketaatan yang diredhai Allah.
Al-Qur’an banyak memberikan contoh bagaimana takdir kauniyyah dan takdir syar‘ieyyah berjalan serentak. Antara contoh paling jelas ialah kisah Firaun dan Nabi Musa a.s.
Allah ﷻ berfirman:
"Maka Kami utus Musa dan saudaranya Harun dengan membawa ayat-ayat Kami dan bukti yang nyata, kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya. Namun mereka berlaku sombong, dan mereka adalah kaum yang angkuh."
(QS. Al-Mu’minun 23:45–46)
Dari sisi takdir syar‘ie, Allah mengutus Musa dengan hujah, mukjizat, dan perintah syariat supaya Firaun beriman serta meninggalkan kezaliman. Itu kehendak syariat Allah yang menginginkan manusia tunduk kepada kebenaran.
Namun dari sisi takdir kauniy, Allah telah menetapkan dalam ilmu-Nya bahawa Firaun tidak akan beriman, bahkan akan mati dalam kekufuran. Hal ini ditegaskan dalam firman-Nya:
"Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap kalimat Tuhanmu atas mereka (bahawa mereka akan kekal dalam neraka), mereka tidaklah akan beriman, walaupun datang kepada mereka segala tanda hingga mereka menyaksikan azab yang pedih."
(QS. Yunus 10:96–97)
Di sini kita nampak bahawa dua takdir berlaku serentak:
-
Syar‘ie: Allah utus rasul, turunkan kitab, perintahkan beriman.
-
Kauniy: Allah tetapkan Firaun tetap kufur, sebagai tanda keadilan-Nya kerana Firaun memilih kesombongan.
Ini membuktikan bahawa takdir kauniyyah dan syar‘ieyyah bukan bercanggah, tetapi saling melengkapi untuk menunjukkan ilmu Allah yang menyeluruh dan hikmah-Nya dalam menguji manusia.
Penjelasan Ulama tentang Iradah Kauniyyah & Iradah Syar‘iyyah
Para ulama membahaskan bahawa kehendak Allah (al-iradah) itu terbahagi kepada dua bentuk: iradah kauniyyah (kehendak alamiah, pasti berlaku) dan iradah syar‘iyyah (kehendak syariat, perintah dan larangan).
Kata Ibn Qayyim menjelaskan dalam Madarij as-Salikin:
"Iradah kauniyyah ialah segala sesuatu yang Allah kehendaki untuk terjadi, maka ia pasti berlaku walaupun perkara itu Allah tidak redhai. Adapun iradah syar‘iyyah ialah apa yang Allah cintai dan redhai daripada amal hamba, seperti iman, taat dan ibadah, walaupun ia mungkin tidak berlaku."
Maksudnya, kufur, syirik, maksiat — semua ini terjadi dengan iradah kauniyyah, tetapi ia tidak disukai Allah. Sebaliknya, iman, ketaatan, dan ibadah — semua ini dikehendaki dengan iradah syar‘iyyah, walaupun sebahagian manusia menolak.
Berkata Imam al-Ghazali dalam al-Iqtisad fi al-I‘tiqad menyebut:
"Ketahuilah bahawa tidak ada sesuatu pun di alam ini melainkan berlaku dengan qadha’ dan qadar Allah. Namun, tidak semua yang berlaku itu dicintai Allah. Sesungguhnya Allah murka dengan maksiat, tetapi Dia tetap menentukannya berlaku dengan hikmah-Nya."
Dengan kata lain, al-Ghazali menegaskan bahawa perbuatan maksiat tetap berada di bawah kehendak Allah (takdir kauniyyah), tetapi ia bercanggah dengan apa yang Allah perintahkan dalam syariat (takdir syar‘iyyah).
Sebagai tambahan, Ibn Taymiyyah dalam Majmu‘ al-Fatawa menulis:
"Apa yang Allah kehendaki (mashi’ah) pasti berlaku, walaupun Allah tidak mencintainya; dan apa yang Allah cintai serta redhai, mungkin berlaku dan mungkin tidak berlaku."
Kenyataan ini merumuskan perbezaan jelas bahawa:
-
Kehendak kauniyyah: pasti berlaku, sama ada dicintai atau dibenci.
-
Kehendak syar‘iyyah: apa yang dicintai Allah, tetapi tidak semestinya berlaku pada semua manusia.
Isu / Masalah
Namun, dalam masyarakat kita sering berlaku kekeliruan antara dua bentuk takdir ini.
-
Contoh pertama: Seseorang yang melakukan kesalahan mencuri cuba melepaskan diri dengan alasan: “Ini sudah ditakdirkan Allah.” Dia hanya melihat dari sudut takdir kauniy, tetapi menafikan aspek takdir syar‘ie yang jelas mengharamkan perbuatan mencuri. Padahal, Allah murka kepada pencuri kerana melanggar syariat-Nya walaupun ia berlaku dalam takdir kauniy.
-
Contoh kedua: Seorang isteri berasa kecewa kerana anaknya terkorban akibat suaminya memandu secara melulu. Dari sudut takdir syar‘ie, dia benar apabila mengatakan bahawa suaminya berdosa kerana melanggar larangan syariat dengan memandu secara cuai. Namun, jika beliau berlebihan dalam menyalahkan suaminya sehingga mengabaikan hakikat takdir kauniy bahawa kematian anaknya telah pun tertulis di Lauh Mahfuz dengan ketentuan Allah, maka hal itu juga merupakan satu bentuk kekeliruan.
Kedua-dua situasi ini menunjukkan pentingnya menyeimbangkan kefahaman antara dua sisi takdir — supaya kita tidak terlalu menyalahkan takdir, dan tidak pula menafikan qadha’ dan qadar Allah.
Kisah Saidina ʿUmar dan pencuri yang berdalih dengan takdir:
Diriwayatkan bahawa seorang pencuri dibawa menghadap Saidina ʿUmar r.a. untuk dihukum potong tangan. Pencuri itu cuba berdalih dengan berkata:
"Wahai Amirul Mukminin, aku mencuri ini kerana sudah ditakdirkan oleh Allah."
Lalu Saidina ʿUmar menjawab dengan tegas:
"Engkau mencuri dengan takdir Allah, dan kami juga memotong tanganmu dengan takdir Allah."
Kemudian dilaksanakanlah hukum hudud ke atasnya.
Dalih menggunakan takdir kauniy untuk menghalalkan dosa tidak diterima. Si Pencuri berfikir bahawa alasan takdir kauniy akan melepaskan dirinya dari kesalahan, padahal tidak! kerana ada takdir syar'i yang mengikat perbuatan makhluk. Syariat Allah (takdir syarʿi) tetap berkuatkuasa ke atas manusia. Takdir tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab, walaupun ya, dari sudut takdir kauniy, perbuatan si pencuri memang telah ditakdirkan Allah ﷻ.
Kesimpulan
Sikap seorang Muslim yang sebenar ialah memadukan antara takdir kauniyyah dan takdir syar‘ieyyah secara serentak. Kita membenarkan bahawa segala sesuatu telah tertulis di Lauh Mahfuz dengan ilmu Allah yang azali, dalam masa yang sama kita berwaspada dengan ancaman, larangan, dan kemurkaan Allah terhadap maksiat serta kekufuran.
Inilah keseimbangan seorang mukmin: beriman dengan ketentuan Allah yang tidak dapat dielakkan, tetapi tetap berusaha taat kepada syariat, kerana di situlah letaknya tanggungjawab dan ujian manusia di dunia. Tidak ada alasan untuk melepaskan diri dari beban taklif syariat atas alasan takdir, begitu juga menolak takdir yang Allah tetapkan dari azali, dengan alasan perbuatan yang dilakukan itu adalah salah disisi syarak. Apatah lagi, untuk memasrahkan diri dengan nasib umat Islam atas alasan 'kita ni hanya ada nama dan rupa tapi tiada wujud jua!'
Comments
Post a Comment