CINTA PARA SAHABAT KEPADA NABI, MELEBIHI ROMANTIKA ROMEO & JULIET


Dari awal kita belajar, kita selalu sebut Saidina Abu Bakar ialah kawan karib, kawan rapat, sahabat kepada Rasulullah. Apa maksud kawan karib? Bagaimana rupanya?

Maka saya membawa latar diri saya sendiri. Saya mengenangkan beberapa kawan karib saya. Saya merenungkan, apa kawan karib akan buat?

Seperti kereta kita rosak tepi jalan, dia datang walau dari jauh untuk bantu. Atau ketika kita perlukan tempat tidur, dia tumpangkan? Atau yang sangat serasi ketika bergu pickelball atau futsal?

Ya kawan yang baik ialah yang sentiasa mengajak kepada syurga. Adakah juga kawan yang sentiasa dengar keluhan kita itu sudah cukup dikira baik? Apakah yang Saidina Abu Bakar lakukan sehingga dia diangkat sebagai sahabat paling rapat Rasulullah?

Saidina Abu Bakar percaya kepada nabi tanpa syarat dan tanpa hujah. Hatta satu slogan popular dari beliau, "Jika dia (Rasulullah) mengatakan dinding (putih) itu hitam, nescaya aku akan membenarkannya (mengatakan ia hitam)."

Menunjukkan bahawa kepercayaan beliau kepada nabi itu sangat tinggi. Walaupun matanya sendiri telah melihat warnanya putih, tapi ketika nabi kata hitam, dia akan percaya itu hitam.

Masa awal lintasan minda baca sirah ini saya fikir, Saidina Abu Bakr sanggup mengenepikan kebenaran (sebab dinding tu putih) hanya kerana Rasulullah. Tapi setelah lama mengenang, saya tersilap. Sebenarnya itu ialah tanda iman. 

Kita beriman atau percaya kepada Allah (yang lahir² sudah Islam) adakah kerana bukti? Tidak. Tapi kita percaya, kenapa? Kerana iman. Ada orang yang hanya ingin menyembah Allah jika ada bukti. Ada juga hanya ingin menyembah tuhan yang mereka mampu bayangkan rupanya. Sedangkan iman tak perlu kepada semua itu.

Maka apa sahaja hal yang kononnya 'bukti', Saidina Abu Bakar akan ketepikan kerana yang utama ialah apa yang nabi cakap. Apa yang nabi cakap itu pastilah benar dan membenarkan nabi itu ialah iman. No wonder tiada para sahabat lain yang menandingi imannya Saidina Abu Bakar RA.

Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman RA ajmain ialah 3 orang yang sangat akrab. Dalam sirah, mereka memang orang yang tidak mahu jauh dari Rasulullah. Sehari apabila tidak bertemu Rasulullah bagaikan tidak sempurna hari mereka.

Ini sebagaimana jelas dari peristiwa di Telaga Aris (Telaga Cincin), yang mereka 3 orang sahabat mencari Rasulullah sehingga akhirnya bertemu di Telaga Aris. Lalu mereka duduk berdekatan Rasulullah. Tanpa ada apa-apa kecuali beberapa bualan pendek di dalam hadith. Itu sahaja. Nampak sangat mereka tak kisah apa pun asalkan mereka nak duduk dengan Rasulullah.

Belum lagi kisah bagaimana Saidina Abu Bakar menutup pintu ular dengan tangannya bagi melindungi nabi. Saidina Umar yang sentiasa tegas jika melibat musuh Rasulullah, Saidina Ali yang menjadi pertahanan utama perang dan banyak lagi kisah.

Bukan sahaja 4 sahabat ar-Rasyidin tetapi juga para sahabat seluruhnya. Kenapa sahabat² Muhajirin nak susah payah ikut nabi sampai kena pulau? Nak juga susahkan diri hijrah ke Madinah pula. Kenapa?

Kenapa para sahabat² Ansar pun senang² je terima nabi dan rombongan² Mekah? Siap bagi duduk serumah. Kenapa?

Ini semua ialah tanda cinta kepada Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam dan cinta seperti ini belum tentu mana-mana lelaki boleh berikan kepada mana-mana wanita.

Para sahabat benar² menggadai harta, nyawa dan pangkat. Ada ahli keluarganya sendiri terpaksa ditentangi demi agama Allah. Tapi kenapa hanya dengan sabda nabi, mereka sanggup? Itu lah iman, itu lah cinta. Cinta yang tiada pun dari kita mampu tandingi.

Oleh: Taufiq Tuah

Comments