Demonstrasi Bukan Solusi

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Kisah Firaun dan Nabi Musa

WATAK seperti Firaun dan Namrud akan terus bergulir dalam roda catatan peradaban manusia. Tidak terhenti dalam goresan yang disinggung oleh ALLAH SWT pada zaman Nabi Musa dan Harun, malah rejim tirani yang mencengkam akan maujud hingga tiupan sangkakala.

Firaun yang mengaku sebagai “Ana rabbukumul a’la” (Akulah Tuhan sekelian Alam) akhirnya tenggelam dalam kedinginan lautan. Namrud yang angkuh sehingga terbang ke langit untuk membunuh ALLAH akhirnya tumpas dek gigitan nyamuk yang halus.

Ironinya, para Rasul yang ALLAH berikan kekuatan jiwa dan “perkara luar biasa” – mukjizat, tidak diperintahkan untuk membuat acara tunjuk perasaan aman di hadapan istana penguasa kafir. Malah ALLAH menyuruh mereka untuk berbudi bahasa dan berbicara dengan lemah-lembut.

Apakah Nabi Musa itu penakut? Apakah Nabi Musa itu lemah lututnya? Bukankah seorang lelaki Qibti mati apabila Nabi Musa menampar dan menumbuk lelaki tersebut? Ini membuktikan beliau gagah perkasa!

Begitu juga saat Baginda turun dari Gunung Tsur lalu melihat pengikutnya menyembah lembu buatan Samiri, lantas beliau menghempaskan kitab Taurat hingga berkecai dan mencengkam janggut Nabi Harun sehingga berubah warna. Bukankah ini bukti beliau tegas dan tegar?

Kemudian ALLAH memberikannya sebatang tongkat yang boleh berubah menjadi ular yang sangat besar sehingga mampu menelan seluruh ular ahli sihir Firaun. Dengan tongkat tersebut juga baginda membelah lautan sehinggakan seluruh bani Israil mampu menyeberang dan terselamat dari dikejar Firaun.

Justeru; apakah yang menyebabkan Baginda tidak berdemonstrasi bersama-sama 12 bani Israil di hadapan istana Firaun? Apakah yang menghalang Baginda untuk mengetuk kepala Firaun agar berkecai? Mengapa tidak dilemparkan saja tongkatnya lalu berubah menjadi ular gergasi dan menelan seluruh soldadu Firaun yang ingin menangkap mereka?

Namun mereka kelihatan “dayus” apabila ALLAH memerintahkan untuk melarikan diri apabila Firaun tidak mahu beriman kepada ALLAH setelah seluruh ahli sihirnya tewas dalam pertarungan. Nabi Musa dan 12 bani Israil dikejar dan dihambat sehingga ke gigi laut. Lantas ALLAH mewahyukan kepada Musa ajar membelah lautan dengan tongkatnya.

Ini kisah Nabi Musa dan Firaun. Seorang Nabi dan seorang tokoh manusia yang ingkar, mengaku menjadi Tuhan. Sebaliknya kita pada zaman ini; siapakah yang lebih baik dan mulia serta lebih bijak daripada Nabi Musa? Begitu juga siapakah penguasa negara Islam yang kafir dan lebih zalim daripada Firaun?



Tirani akan terus ada

Matinya Firaun bukan bererti tirani telah tenggelam dari perut bumi ini. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, telah lahir banyak para penguasa yang berhati syaitan. Umar Abdul Aziz mengeluh dalam doanya kerana banyaknya algojo dalam Dinasti Umayyah: “Al Hajjaj di ‘Iraq, Al Walid ibn ‘Abdul Malik di Syam, Qurrah ibn Syirk di Mesir, ‘Utsman ibn Hayyan di Madinah, Khalid ibn ‘Abdullah Al Qashri di Makkah! Ya ALLAH, sepenuh bumi ini telah penuh dengan angkara murka, maka selamatkanlah umat ini!”

Lantas di manakah para ulama Ahlus Sunnah saat itu? Di manakah fatwa mereka untuk menggesa rakyat turun menjadi demonstran? Manakah Imam Syafie? Ke mana Imam Nawawi? Hilangkah Ibn Hajar Asqalani? Apakah mereka telah menjadi anjing penjilat penguasa? Atau mereka adalah ulama’ yang sayangkan pangkat dan harta serta dayus dalam berkata benar di hadapan penguasa?

Cukup ironi, bahawa demonstrasi tidak pernah menjadi solusi kepada ulama ahlus sunnah dalam menghadapi kerakusan dan kezaliman para penguasa Muslim. Tidak pernah menjadi wacana untuk menasihati penguasa serta tidak pernah disyar’ikan oleh mereka. Sebaliknya mereka menjadikan petunjuk Rasul sebagai kaedah menasihati penguasa:

“Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin, maka janganlah melakukannya dengan terang-terang (di khalayak ramai di hadapan umum) dan hendaklah dia mengambil tangannya (bersemuka empat mata sahaja). Jika pemimpin mahu mendengar maka itulah yang diinginkan dan jika tidak mahu maka dia telah menunaikan kewajipannya”. (Majma 5/229. Hadis Riwayat Imam Ahmad. Lihat: As-Sunnah 2/522 dari jalur Muhammad bin Ismail bin Abbas)
Imam Al Ajuri, seorang ulama Ahlus Sunnah berkata: “Sungguh aku telah menyebutkan peringatan (tahdzir) terhadap mazhab Khawarij. Yang mana pada peringatan tersebut mengandungi khabar bagi orang yang dipelihara oleh ALLAH yang maha Mulia daripada mazhab Khawarij, dan supaya tidak berpegang dengan mazhab mereka, dan hendaklah bersabar dengan kezaliman para pemimpin, juga dengan ketidakadilan pemimpin, dan tidak keluar daripada ketaatan kepada mereka dengan senjata. Kita berharap kepada ALLAH Yang Maha Agung supaya menghilangkan kezaliman darinya, juga dari semua kaum Muslimin, dan mendoakan para pemimpin dengan kebaikan. Juga bersama-sama dengan mereka dalam melaksanakan haji, berjihad menentang musuh umat Islam, solat Jumaat dan solat dua hari raya bersama mereka. Sesiapa yang bersifat seperti ini bererti dia berada di atas jalan yang lurus, insyaAllah.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/37)

Sebaliknya pemikiran demonstrasi ini hanyalah lahir setelah politik Islam dimandulkan oleh para penjajah Barat. Syiasah Syar’iyah digantikan dengan Politik Demokrasi dan Hak Asasi Manusia (HAM). Ketika inilah demonstrasi menyusup masuk ke dalam jiwa umat Islam. Dan seputar inilah para demonstran berdalil dan berhujah!

Jauh sebelum jatuhnya Dr Mursi di Mesir, telah bergolek tahta Luis ke-16 di Perancis akibat demonstrasi. Luis ke-16 telah diingatkan oleh Prince of Bavaria bahawa sebuah rencana bagi menguasai Eropah telah dijalankan oleh Kumpulan Freemanson. Sistem Raja akan digantikan dengan sebuah model politik moden yang akan menyelungkur sujud kepada kumpulan tersebut. Dan yang akan menjadi buah caturnya adalah rakyat; dengan cara mereka keluar berdemonstrasi!



Manakah dalil demonstrasi?

Tanyakan kepada para ulama yang menghalalkan menjadi seorang demonstran: “Sila datangkan hujah yang konkrit tentang dihalalkan demonstrasi”. Maka mereka mencari-cari dalil namun tidak dijumpai, lantas mereka menggunakan dalil umum untuk diasak agar menjadi hujah.

Minggu ini mereka datangkan kisah Umar berarak ketika memeluk Islam. Namun setelah diterangkan kisah tersebut daif (lemah) maka seminggu kemudian mereka berkata bahawa solat Jumaat sebagai “tunjuk rasa kepada ALLAH”. Lantas kita mahu bertanya kepada mereka: “Apakah solat itu sebagai protes tidak puas hati kepada ALLAH? Ulama Sunni manakah yang mengatakan bahawa solat itu adalah demonstrasi kepada ALLAH?”

Kemudian mereka berdalil dengan hadis “Jihad yang terbesar adalah berkata benar di hadapan Sultan” (Ditakhrij oleh Abu Dawud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah. Rujuk As-Silsilah Ash-Shahihah no. 491). Maka kita katakan, bukankah isyarat dari hadis tersebut adalah pertamanya berkata benar di hadapan penguasa. Bukan di belakangnya dan bukan juga di padang. Sedangkan demonstrasi bukanlah nasihat di hadapan penguasa, kalian jauh dari penguasa dan penguasa jauh dari kalian.

Kedua adalah apakah makna BENAR itu? Bukankah benar itu adalah sesuatu yang menepati dalil dan kaedah-kaedahnya sehingga ia sesuai dengan syarak. Justeru orang yang mengetahui mana yang benar dan mana yang batil hanyalah ahli ilmu dan ulama. Konsekuennya menasihati penguasa merupakan kewajipan para ahli ilmu dan ulama.

Kemudian mereka berdalil dengan hadis Jiran; seorang jiran telah mengeluarkan barangnya lalu diletakkan di halaman rumah, sebagai protes kepada jiran sebelah. Kalau mengikut teks dan konteks, hadis ini berbicara tentang jiran dan bukannya penguasa. Walhal hadis tentang menasihati penguasa terlalu banyak dan jelas maksudnya. Ke manakah kalian ingin mencampakkan kesemua hadis yang membicarakan tentang menasihati penguasa secara rahsia?

Akhirnya mereka berdalil dengan “Perlembagaan Malaysia”, walhal satu ketika dahulu mereka berkata “barang siapa yang berpegang kepada Perlembagaan ciptaan Lord Reid maka dia kafir”. Dahulu mereka juga berkata “Tiada hukum melainkan Hukum ALLAH” lalu mereka menyesatkan dan mengkafirkan sebahagian besar umat Islam. Namun ketika sampai isu demonstrasi, seluruh dalil dari Al Kitab dan As Sunnah dicampakkan ke longkang lantas mereka menjulang dalil ciptaan manusia.

Dipetik dari penulisan Abu Amru di Sinar Harian: http://www.sinarharian.com.my/rencana/krisis-mesir-demonstrasi-bukan-solusi-1.179449

___________________________
Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments