Ini gambar yang saya tangkap di sebuah hotel Ramadan tahun lalu, 20 Mac 2025. Seorang qari ditempatkan di lobi hotel tempat orang lalu-lalang untuk membaca al-Quran. Suasana ketika itu hingar-bingar, jam menunjukkan pukul 6.58 petang, orang sedang kalut bersiap untuk berbuka puasa.
Pastinya tiada salahnya membaca al-Quran secara sirr atau jahar sekadarnya untuk diri sendiri walaupun di tempat bising. Tetapi, yang di atas pentas ini sudah tentu bukan untuk diri sendiri, melainkan untuk ditatap dan didengar orang, hanya sahaja tiada yang mempedulikannya saat itu. Semoga Allah mengganjari lelaki ini dan pihak yang menganjurkan, namun amalan ini patut dihentikan demi menjaga kemuliaan al-Quran.
Dalam kitab-kitab Ḥanābilaḧ, dinukilkan daripada Ḥanbal (m. 273 H) — dan dinisbahkan juga kepada Ibnu ‘Aqīl (m. 513 H) — bahawa:
كثير من أقوال وأفعال يخرج مخرج الطاعات عند العامة وهي مأثم عند العلماء، مثل القراءة في الأسواق، ويصيح فيها أهل الأسواق بالنداء والبيع، ولا أهل السوق يمكنهم الاستماع، وذلك امتهان.
“Banyak ucapan dan perbuatan yang dianggap ketaatan di sisi orang awam sedangkan merupakan dosa di sisi ulama, seperti membaca al-Quran di pasar sedangkan orang-orang di situ bising dengan menjerit dan jual beli dan tidak mampu mendengarnya. Itu adalah penghinaan.”
Seperti itu juga yang disebutkan oleh ulama-ulama Ḥanafiyyaḧ. Kata Ibrāhīm al-Ḥalabĭ (m. 955 H) dalam Ghunyaḧ al-Mutamallĭ selepas menjelaskan bahawa pada asasnya diam dan mendengar al-Quran adalah fardu kifayah:
... إلا أنه يجب على القارئ احترامه بأن لا يقرأه في الأسواق ومواضع الاشتغال، فإذا قرأه فيهما كان هو المضيع لحرمته فيكون الإثم عليه دون أهل الاشتغال دفعًا للحرج في إلزامهم ترك أسبابهم المحتاج إليها.
“… melainkan wajib ke atas pembaca al-Quran memuliakannya dengan tidak membacanya di pasar dan tempat orang sedang melakukan aktiviti. Jika ia membacanya di tempat-tempat itu, dialah yang menjatuhkan kehormatan al-Quran maka yang berdosa adalah dia, bukan orang-orang yang sedang melakukan aktiviti kerana mengelak timbul kesulitan dengan memaksa mereka meninggalkan aktiviti-aktiviti yang diperlukan.”
Tidak ditemukan nas dalam kitab-kitab Shāfi‘iyyaḧ melainkan dalam al-Tibyān fī Ādāb Ḥamalaḧ al-Qur’ān oleh al-Nawawĭ (m. 676 H) tentang larangan membuat bising, ketawa, bercakap, dan sebagainya ketika membaca al-Quran, tetapi ini ditujukan kepada pembaca, bukan pendengar. Al-Mawsū‘aḧ al-Fiqhiyyaḧ al-Kuwaytiyyaḧ juga tidak menukilkan masalah ini selain daripada dua mazhab tadi.
Menarik untuk disebutkan di sini bahawa Ibrāhīm al-Ḥalabĭ juga secara jelas melarang membaca al-Quran secara kuat di atas bumbung semasa orang sedang tidur yang sangat mungkin untuk dihubungkan dengan amalan di masjid-masjid tempat kita memasang bacaan al-Quran dengan pembesar suara luar khususnya sebelum subuh:
رجل يكتب الفقه وبجنبه رجل يقرأ القرآن ولا يمكن للكاتب الاستماع فالاثم على القارئ لقراءته جهرًا فى مواضع اشتغال الناس بأعمالهم وعلى هذا لو قرأ على السطح فى الليل جهرًا والناس نيام يأثم.
“Seorang lelaki mencatat ilmu fiqh dan di sebelahnya seorang lelaki yang sedang membaca al-Quran, dan ia tidak mampu mendengarnya, maka dosa adalah ke atas pembaca kerana membacanya secara jahar di tempat orang sedang menjalankan aktiviti masing-masing. Oleh yang demikian, sekiranya ia membaca al-Quran pada waktu malam secara jahar dalam keadaan orang sedang tidur adalah berdosa.”
Walau bagaimanapun, ‘illaḧ larangan di sini zahirnya adalah kerana kewajipan mendengar al-Quran, bukan kerana tidak beradab dengan al-Quran seperti dalam masalah membaca al-Quran di pasar tadi, sedangkan mazhab Shāfi‘ĭ sekadar menyunatkan mendengar bacaan imam dalam solat dan mentakwil ayat 204, surah al-A‘rāf dengan makna khutbah, bukan bacaan al-Quran baik dalam solat mahupun di luarnya.
Dalam pada itu, Dār al-Iftā’ Jordan difahami melarang memasang al-Quran menggunakan pembesar suara luar masjid di kawasan perumahan sungguhpun mereka membolehkan memasang zikir dan al-Quran di tempat-tempat yang memang sedia bising seperti pasar dan tempat rekreasi dengan syarat tidak sampai mengganggu mereka biarpun mereka tidak menyukainya (berhujahkan perbuatan sahabat yang bertakbir di pasar pada 10 hari Zulhijjah dan hadis Ibnu ‘Abbās bahawa menjaharkan zikir selepas solat sudah diamalkan pada zaman Nabi SAW yang jelas tidak sesuai dengan masalah ini). Kata mereka:
وأما إن كان المقصود بالأماكن العامة الأماكن السكنية المزدحمة بالسكان والتي فيها معاش الناس ومنامهم وسكينتهم، فالأصل عدم جواز كل صوت جهوري ينافي مقصد الهدوء والسكينة فيها، ذكراً كان أو قراءة للقرآن أو أي شيء مما هو دونهما؛ لأن السكينة مطلوبة فيها، وقد يكون فيها النائم والمريض والمصلي، وقد أمرنا الشرع بالرأفة بالناس. والله تعالى أعلم.
“Adapun jika yang dimaksudkan dengan tempat umum adalah kawasan kediaman yang dipenuhi dengan penghuni dan tempat orang menjalankan kehidupan, tidur, dan bersantai, maka asalnya adalah semua bunyi yang kuat dan menyalahi ketenangan dan kedamaian adalah dilarang sama ada zikir, bacaan al-Quran, atau yang lebih rendah darjatnya, kerana ketenangan diperlukan di situ, dan mungkin ada yang sedang tidur, sakit, dan bersolat di sana sedangkan syarak memerintahkan kita bertimbang rasa kepada manusia. Wallahualam.”
Maka di sini dapat disimpulkan bahawa larangan membaca al-Quran secara nyaring di tempat umum di sisi fuqaha berkait dengan tiga ‘illaḧ iaitu tidak menghormati al-Quran seperti kata Aḥnāf dan Ḥanābilaḧ tentang membaca al-Quran di pasar, bertentangan dengan arahan mendengar al-Quran seperti kata Ibrāhīm al-Ḥalabĭ tentang membaca al-Quran secara kuat di atas bumbung pada waktu malam, dan mengganggu orang seperti kata Dār al-Iftā’ Jordan tentang memasang bacaan al-Quran di kawasan perumahan.
Wallahualam
- Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Comments
Post a Comment