OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Bagi sesiapa yang pernah mendalami ilmu hadis atau paling kurang mempelajari ilmu tahqiq terhadap makhtutat (manuskrip), akan mengetahui bahawa Rasulullah SAW pernah melarang penulisan hadis kerana takut bercampur aduk dengan ayat-ayat al-Quran.
Tetapi ada beberapa sahabat yang mendapat pengecualian untuk menulis di hadapan Nabi, antaranya Abdullah Bin Amr. Kitab hadis beliau ini dinamakan sebagai Shahifah Sadiqah tetapi manuskrip kitab ini sudah tidak wujud lagi.
Turut memiliki kitab-kitab hadis ialah Ali Bin Abi Talib, Saad Bin Ubadah dan beberapa sahabat lainnya. Sayangnya kesemua kitab hadis ini hanya diketahui melalui nukilan dalam kitab-kitab ulama sesudah zaman mereka.
Antara manuskrip kitab hadis yang paling tua pernah ditemui hanyalah kitab karangan seorang tabiin iaitu Hammam ibn Munabbih yang mengambil hadis daripada Abu Hurairah. Kemudian kitab Imam Malik yang dikenal sebagai Imam Darul Hijrah yang menamakan kitabnya sebagai Al Muwatta’.
Kitab hadis dan mushaf al-Quran dibakar
Punca kehilangan seluruh kitab ini adalah disebabkan oleh arahan daripada pemimpin negara, Khalifah Abu Bakr di zamannya agar kitab-kitab hadis dibakar untuk mengelakkan masyarakat lalai daripada mendengarkan kalam ALLAH TAALA.
Tindakan ini tidak bermakna banyak hadis telah hilang bersama debu yang berterbangan, sebaliknya seluruh hadis ini dipindahkan ke dalam ingatan. Buktinya kandungan kitab Shahifah Shadiqah boleh dijumpai dalam Musnad Ahmad yang ditulis Imam Ahmad.
Bagaimana pula dengan manuskrip al-Quran? Rupanya ia mengalami nasib yang sama dengan kitab-kitab hadis. Dalam catatan kitab para ulama salaf ditemukan beberapa nama mushaf yang dimiliki oleh para sahabat seperti Mushaf Ibnu Mas’ud, Mushaf Ubay Bin Kaab, Mushaf Ali Bin Abi Talib dan Mushaf Abu Musa. Tetapi keseluruhan mushaf ini tidak wujud lagi melainkan Mushaf Uthmani yang dikemas kini daripada Mushaf Hafsah.
Hilangnya seluruh manuskrip al-Quran adalah disebabkan perintah Khalifah Uthman Al Affan, menantunya Rasulullah SAW agar dibakar segala versi dan varian manuskrip yang ada melainkan Mushaf Uthmani.
Perintah ini diwartakan setelah beliau melihat sebahagian rakyat telah berpecah dan saling bermusuhan akibat ‘cara bacaan al-quran yang berbagai ragam’. Bagi mengatasi masalah itu maka Amirul Mukminin memerintahkan untuk menjadikan al-Quran hanya memiliki satu varian sahaja dan memusnahkan yang lainnya.
Berbezanya mushaf-mushaf ini bukan pada kandungan ayat dan jumlah surah, melainkan pada kalimat-kalimat yang digunakan. Ambil contoh adalah perkataan ‘besar’ dalam Bahasa Melayu Johor-Riau boleh disebut sebagai ganal dalam Bahasa Melayu Banjar dan juga boleh diungkapkan sebagai gede’ dalam Bahasa Melayu Jawa. Semua ini adalah Bahasa Melayu.
Tindakan Uthman ini selaku pemimpin negara dilaksanakan dengan matlamat membendung perbezaan dan perselisihan serta pertelingkahan, kerana Islam menyukai persepakatan, mencintai kemuafakatan dan mewajibkan perpaduan.
Maka dalam pencarian manuskrip al-Quran, yang paling tua ditemukan di Yaman oleh seorang pemuda. Ditulis pada muka hadapan manuskrip tersebut tarikh penyalinan iaitu pada 200H. Menariknya di Yaman juga, di bawah runtuhan dinding loteng Masjid Agung Sana’na terjumpa sebuah manuskrip al-Quran yang lebih tua, dianggarkan usianya sekitar 50H yang ditandakan sebagai Codex Sana’a.
Namun para ulama Islam menolak Codex Sana’a ini kerana kandungannya menyalahi kandungan al-Quran yang diriwayatkan secara mutawatir daripada setiap generasi.
Begitulah cara al-Quran dipelihara, dengan dihafal setiap kalimat secara utuh oleh ribuan manusia, sehinggakan mustahil jumlah sebanyak itu berpakat untuk berdusta.
Maka manuskrip ini disebut sebagai bad copy atau ‘manuskrip palsu’ yang mungkin dibuat oleh musuh Islam ketika mereka hendak menciplak al-Quran. Kajian manuskrip sangat menarik terutamanya tentang Injil versi Kanoni dan Gnostik.
Menjaga muafakat umat
Demikianlah sekelumit dari lembaran kisah historis tentang dua sumber epistemologi Islam iaitu al-Quran dan al Hadis, di mana tindakan yang diambil kelihatan ‘jahat’ dan sepertinya ‘berdosa besar’ tetapi ia dilakukan atas kerangka dalil dan juga kerana menjaga kesatuan umat daripada perpecahan dan permusuhan.
Semacam kata pujangga Melayu: Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.
Menjunjung tindakan yang pernah dilakukan oleh sebaik-baik pemimpin negara sesudah para Nabi, iaitu Khalifah Abu Bakr dan Khalifah Uthman, maka sangat wajar kerajaan Malaysia mengharamkan juga penggunaan perkataan Islam dalam parti politik.
Kesan paling buruk adalah masyarakat tertipu dengan label tersebut, ia ibarat ‘racun tikus’ yang dibalut dengan pelekat tonik kesihatan. Lihatlah betapa banyak ubat berbahaya yang disarungkan dengan label palsu, malah ada pembeli yang maut setelah memakannya.
Ketahuilah bahawa pengharaman nama Islam kepada parti politik bukanlah tindakan dosa kerana tidak ada dalil dan kaedah dalam usul fiqh yang menetapkan sebegitu.
Ibarat ada cadangan beberapa tahun dahulu untuk mencipta kereta Islam dengan beberapa ciri seperti ada meter kiblat, lantas seandainya kerajaan mengharamkan label Islam pada kereta tersebut, apakah kerajaan telah bersikap zalim, anti kebenaran dan memusuhi Islam atau tindakan tersebut menyalahi dalil dan menjadikan kafir?
Di sinilah menunjukkan kebijaksanaan kerajaan, di mana tindakan tersebut telah meninggikan darjat Islam daripada setaraf dengan sebuah kenderaan. Islam bukan alat atau benda tetapi ia adalah pemahaman dan tindakan yang dijelmakan dalam sebuah cara hidup.
Malah kerajaan melihat jauh ke hadapan, demi menjaga maruah Islam tercemar dek kerana sebuah kereta yang tidak diketahui bagaimana ia digunakan nanti dan bagaimana kualiti pembuatannya.
Lagi pula politik demokrasi yang di dalamnya ada demonstrasi serta kesamarataan sehinggakan undi seorang penjahat sama nilainya dengan undi seorang ahli ibadat. Malah demokrasi memenangkan majoriti dan membenamkan hak minoriti, sedangkan dalam al-Quran menyatakan “kebanyakan manusia (majoriti) adalah tidak mengetahui (jahil)” (Al A’raf : 187) dan di lain tempat mengatakan sebagai majoriti manusia zalim dan ingkar.
Politik demokrasi vs siasah syariah
Oleh itu, dalam siasah syariah (politik Islam), parti tidak patut wujud lebih-lebih lagi parti pembangkang yang kerjanya adalah membantah tanpa henti dan berusaha merampas kuasa melalui fitnah dan caci-maki.
Pembangkangan terhadap pemimpin negara yang masih Muslim dianggap sebagai sebuah dosa besar, walaupun yang melakukannya adalah seorang yang berserban dan digambarkan zuhud. Lalu dosa tetap dosa tatkala Ibnu Muljam menentang Khalifah Ali, walau Ibnu Muljam seorang qari al-Quran yang warak dan zuhud.
Lebih dahsyat lagi adalah parti yang guna nama Islam terbukti tidak membawa Islam murni. Dari sisi aqidah sampailah kepada ibadah, kemudian kepada siasah lalu akhirnya kepada akhlak dan tarbiyah, semuanya melencong.
Walhal untuk menegakkan Islam harus bermula dari sisi aqidah, kerana aqidah asas kepada Islam.
Masyarakat awam melihat Islam yang benar adalah Islam yang diperjuang oleh kelompok yang menggunakan label Islam. Mereka percaya kepada golongan ini, sampaikan seorang artis yang tidak pernah menghadiri kuliah agama, apabila taubat lalu esoknya telah digelar ustazah lalu diusung sana sini untuk memberi kuliah!
Benarlah ini zamannya di mana Rasulullah bersabda : “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab: “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat.” (Riwayat Ibnu Majah). Ketahuilah bahawa kita telah berada di zamannya!Kalaulah pengharaman label Islam ini ditentang oleh orang Islam dalam negara ini, maka apakah mereka akan menyesatkan dan membangkang tindakan Abu Bakr dan Uthman? Jika mereka meredai tindakan Khalifah Ar Rasyidin lalu kenapa mereka tidak mahu mentaati pemimpin negara ini?
via Sinar Harian; http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/gugur-label-islam-pada-parti-politik-1.129675
___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment