Memperkuat Keislaman Dengan Mempelajari Karya-Karya Sirah Susunan Imam Dakwah Muhammad Bin Abdul Wahhab Rahimahumullah
OLEH: Ustaz Abu Najla' Fariz Zainal
Gagasan Islam dalam pembelajaran sirah dan tarikh/sejarah adalah bagi umat Islam mengenali agama apakah yang dibawa para Anbiya' (Nabi-nabi seluruhnya - iaitu agama Islam), dan apa pula agama yang dibawa golongan musyrik. Seterusnya mengambil pengajaran dan mengetahui hukum-hakam (wajib-sunat-harus-makruh-haram) yang dirumuskan ulama' daripada kejadian, peristiwa dan budaya masyarakat.
Muslim mempunyai objektif jelas ketika mempelajari sejarah.
Tidak keterlaluan jika dicanangkan bahawa Imam Dakwah, Shaykhul Islam Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah rawatan wasi'ah adalah seorang tokoh dalam ilmu sirah malah penganalisa kritis terhadap sejarah, sosiologi dan budaya masyarakat. Ini terbukti melalui beberapa karya beliau di bawah:
1) Mukhtasar Sirah ar Rasul: Ia merupakan ringkasan daripada kitab rujukan utama sirah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam iaitu Sirah Nabawiyah oleh Ibnu Hisyam dengan penekanan kepada isu-isu berkaitan aqidah. Kehidupan Nabi sallallahu alaihi wasallam adalah petunjuk ulung kepada keteguhan aqidah dan kelurusan manhaj dalam beragama.
2) Mukhtasar Zaad al Ma'ad: Kitab ini adalah ringkasan daripada karya hebat Ibnu Qayyim al Jawziyyah yang tidak perlukan pengenalan lanjut iaitu Zaad al Ma'ad, kitab sirah merangkap fiqh sunnah Nabi sallallahu alaihi wasallam. Pedoman terbaik bagi umat untuk mencontohi kehidupan beragama Rasulullah sallallahu alaihi wasallam serta contoh pengajian sejarah yang praktikal dan hidup.
3) Sharh Sittah Mawadhi' min as Sirah: Risalah ringkas berkenaan objektif pembelajaran sirah dan tarikh bagi umat Islam, juga faedah aqidah dan manhaj daripada 6 kejadian dalam sirah iaitu - kisah turunnya wahyu, penerimaan dakwah oleh kafir Quraisy, pembacaan surah an Najm, kisah Abu Talib, kisah Hijrah baginda sallallahu alaihi wasallam dan pemurtadan masyarakat Arab selepas kematian Nabi sallallahu alaihi wasallam.
4) Ba'dhu Fawa'id Sulh al-Hudaibiyah: Kitab kecil yang menyenaraikan SERATUS TIGA PULUH SEMBILAN faedah dari pelbagai sudut pandang Islam (aqidah, manhaj, fiqh dan lain-lain) terhadap peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Model unggul kepada genre Fiqhus Sirah dalam bentuk yang sangat mudah namun menyeluruh.
5) Masaa'il al Jahiliyyah: Risalah unik yang banyak disyarahkan oleh ulama' terkemudian, menyenaraikan tidak kurang daripada SERATUS DUA PULUH LAPAN tabiat-tabiat jahiliyyah yang menafikan keimanan dan menyebabkan kerugian di akhirat. Sebuah karya yang menampilkan kehebatan Sheikh dalam mengolah pemahaman daripada dalil-dalil wahyu, khabar sejarah juga pemerhatian terhadap budaya masyarakat. Malah semua tabiat jahiliyah yang disenaraikan adalah ancaman bersifat malar dan berterusan terhadap umat walaupun dalam bentuk berbeza mengikut zaman.
Melalui pengetahuan mendalam dan kritis terhadap sejarah, Ibnu Khaldun memberikan sumbangan besar dalam lapangan sosiologi, historiografi, analisa ekonomi dan sosio-politik untuk dimanfaatkan umat dalam mengurus dunia.
Dengan pengetahuan mendalam dan kritis terhadap sejarah juga, Muhammad bin Abdul Wahhab memberikan sumbangan besar dalam lapangan aqidah, manhaj, tafsir ayat Qur'an, analisa pemikiran dan budaya masyarakat yang bertentangan dengan Islam, untuk dimanfaatkan para ulama' dan umat demi kesejahteraan di akhirat.
Model Fiqhus Sirah yang disusun oleh Sheikh juga sewajarnya diteladani malah dijadikan tolok ukur memurnikan beberapa karya di bawah genre Fiqhus Sirah kontemporari, yang sebahagiannya dicemari fikrah hizbiyah juga manhaj ilmu kalam yang bertentangan dengan ahli sunnah wal jama'ah.
Sekali lagi, setiap cabang ilmu harus dihalakan kepada mengenali agama yang dibawa para Anbiya' lalu menurutinya (yakni Islam), kemudian mengenali ajaran keagamaan yang dibawa selain Anbiya' lalu kita menjauhinya dan menentangnya.
Wallahua'lam.
[Disertakan gambar sebahagian muka surat 151 dari buku tulisan Jamal al Din Zarabozo berjudul The Life, Teachings and Influence of Muhammad Ibn Abdul Wahhab terbitan International Islamic Publishing House]
___________________________
~ Ustaz Abu Najla' Fariz Zainal ~
Pendakwah Bebas
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment