Wang Rakyat Dan Harta Negara Di Sisi Ekonomi Islam

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

TAKRIFAN NEGARA PADA KACAMATA ULAMA ISLAM BERBEZA DARI PEMAHAMAN MASYARAKAT ISLAM HARI INI
Satu perkara yang perlu kita akui bahawa pengertian negara atau daulah dalam Islam terlalu sukar untuk dicari. Malah Ibnu Taimiyah tidak pernah mentakrifkan makna negara. Lalu akhirnya "negara" adalah satu konsep abstrak yang muncul di minda kita, kita memahaminya namun kita tidak dapat mengungkapkannya dengan jelas.

Sebaliknya Islam sangat jelas memberi takrifan Penguasa sehinggakan terdapat puluhan dalil naqal yang menyatakan kewajiban masyarakat Islam untuk mengangkat penguasa.

Berangkat dari dalil Penguasa inilah hukum negara diwujudkan sebab Penguasa adalah Nakhoda sebuah negara. Ia boleh difahami dari sebuah kaedah fiqh: "Suatu kewajiban tidak akan sempurna kecuali dengan sesuatu, maka sesuatu itu menjadi wajib". Dimana kewajiban mengangkat penguasa hanya akan terlaksana apabila wujudnya negara.

Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah menggunakan kata Daulah yang merujuk kepada pemegang kekuasaan. Kata Daulah inilah yang difahami sebagai negara oleh umat Islam. Negara merupakan lembaga yang tepat untuk mengatur urusan masyarakat dan mekanisme memilih pemimpin. Tanpa Negara yang tersusun dengan baik maka kehidupan manusia belum lengkap.

Lanjutan lagi adalah Ibnu Khaldun membezakan antara rakyat dan negara; sedangkan falsafah Yunani menetapkan bahawa rakyat sangat identik dengan negara.

Ibnu Taimiyah tidak mentakrifkan negara (setakat yang saya ketahui) tetapi beliau memberi petunjuk lain, dimana negara dikaitkan dengan Penguasa. Perkaitan ini adalah lumrah kepada cendiakawan Islam ketika mereka menggunakan dalil "kewujudan pemimpin" sebagai pendalilan pembentukan negara. Ibnu Taimiyyah berkata:

”Mengatur urusan-urusan ummat manusia adalah salah satu diantara kewajiban-kewajiban agama yang terpenting; hal ini tidak berarti bahwa agama tidak dapat hidup tanpa adnya Negara” (As Siyasah Asy Syar'iyah)

Wujud Pemimpin itu merupakan sebuah kewajiban yang dibebankan atas rakyat. Ibnu Taimiyah berkata:

"Wajib diketahui bahawa kekuasaan untuk mengatur urusan manusia termasuk sebesar-besar kewajiban agama. Bahkan urusan agama dan dunia tak akan tegak tanpanya. Sebab tidak akan sempurna kemaslahatan manusia kecuali dengan berinteraksi, kerana adanya keperluan sebagian mereka dengan sebagian lainnya. Dan mereka tak boleh tidak harus mempunyai seorang pemimpin pada saat berinteraksi" (Majmu’ul Fatawa )


Kemudian Ibnu Taimiyyah menerangkan keterkaitan antara Penguasa dengan masyarakat:

"Setiap anak Adam tak akan sempurna kemaslahatannya di dunia dan akhirat, kecuali dengan berkumpul, tolong-menolong, dan bantu-membantu, yakni bantu-membantu dalam memperoleh kemanfaatan dan menolak kemudaratan. Oleh kerananya, dikatakan bahawa manusia secara tabi’at adalah makhluk sosial. Maka jika mereka berkumpul, pasti mereka mempunyai urusan-urusan yang harus mereka kerjakan –untuk memperoleh kemaslahatan – dan urusan-urusan yang harus mereka hindari, kerana di dalamnya terkandung kemafsadatan. Mereka harus mentaati seseorang yang mengeluarkan perintah untuk mendapatkan kemanfaatan itu dan yang melarang dari kemafsadatan itu. Maka seluruh anak Adam harus mempunyai orang yang berhak memerintah dan melarang" (Majmu’ul Fatawa)

Dari kenyatan di atas dapat kita simpulkan bahawa negara pada pandangan Ibnu Taimiyah adalah "kekuasaan untuk mengatur urusan manusia". Nampaknya Ibn Khaldun bersependapat dengan Ibn Taimiyah dalam hal ini.

Takrifan yang diterima oleh para fuqaha' Islam ini selari dengan beberapa tokoh Sosiologi, seperti:

1. Roger H. Soltou : Negara adalah alat (agency) atau wewenang (authority) yang mengatur atau mengendalikan persoalan – persoalan bersama atas nama masyarakat

2. Prof. Mr. R. Kranenburg : Negara adalah organisai kekuasaan yang diciptakan sekelompok manusia yang disebut bangsa

3. Prof. Dr. J.H.A. Logemann : Negara adalah suatu organisasi kemasyarakatan yang bertujuan dengan kekuasaannya mengatur serta menyelenggarakan masyarakat

4. Prof. Mr. Abdoel Gaffar Pringgodigdo : Negara adalah suatu organisasi kekuasaan atau organisasi kewibawaan yang harus memenuhi persyaratan iaitu harus ada pemerintahan yang berdaulat, wilayah tertentu dan rakyat yang hidup dengan teratur sehingga merupakan suatu bangsa

Daripada 4 takrifan tokoh Sosiologi ini dapat kita simpulkan bahawa Negara adalah "Penguasa yang berfungsi untuk mengatur rakyat dalam sebuah wilayah yang berdaulat".

Sekaligus takrifan negara yang mashyur didengar oleh telinga kita iaitu "masyarakat yang diatur secara konstitusional (berdasarkan undang – undang) untuk mewujudkan kepentingan bersama dalam sebuah wilayah yang dikongsi bersama", merupakan takrifan yang jauh dari kacamata Islam.


Kesimpulannya:
1. Objek Takrifan Yang Benar : Negara adalah Kekuasaan atau Pemerintah
2. Objek Takrifan Yang Batil : Negara adalah Rakyat





HAK MILIK HARTA PADA PANDANGAN SARJANA EKONOMI ISLAM - SYEIKUL ISLAM IBNU TAIMIYAH
Harta pada hakikatnya adalah milik Allah swt lalu Allah menitipkan kepada manusia untuk diuruskan dan digunakan. Maknanya Allah telah memberikan harta tersebut kepada manusia untuk menguasainya sehingga harta tersebut sah untuk dimiliki pada timbangan syarak.

Makna harta pada syarak adalag segala sesuatu yang dimanfaatkan pada sesuatu yang halal menurut hukum syarak seperti jual-beli, pinjaman, perkongsian dan hibah atau pemberian. Justeru seluruh apa-apa yang digunakan oleh manusia dalam kehidupannya merupakan harta.

Ibnu Taimiyah telah menyatakan bahawa pemilik sesuatu harta telah dibenarkan oleh syarak  untuk menggunakan harta tersebut dan menguasai hartanya.

Abdul Azim Islahi menyebut dalam bukunya Konsepsi Ekonomi Ibnu Taimiyyah bahawa Ibnu Taimiyah menetapkan 'pemilik' kepada sesuatu harta dapat dibahagikan kepada 3 jenis;

- Peribadi (Individu)
- Kolektif
- Negara

Mari kita melihat penghurain tentang 3 jenis pemilik tersebut:

1) PEMILIK ADALAH DIRI SENDIRI @ PERIBADI @ INDIVIDU  
Setiap individu berhak menggunakan hartanya tanpa halangan sesiapa, mengembang kannya atau menguranginya, mewariskannya atau menghadiahkannya kepada orang lain, dan sebagainya. walaupun begitu individu tersebut tidak boleh membazir, menyalahgunakan hartanya untuk kejahatan, enggan untuk mengeluarkan zakat serta hal-hal jahat yang lain.

Syeikh Taqiyuddin An Nabhani, Ulama' Lulusan Al Azhar yang menjadi Pendiri Hizbut Tahrir (satu jamaah Politik yang SESAT pada sisi aqidah) menulis dalam "Membangun sistem Ekonomi Alternatif; Perspektif Islam" tentang sumber Harta Individu seperti berikut:

1) Bekerja
2) Warisan
3) Keperluan terhadap harta untuk menyambung hidup
4) Harta Negara yang diberikan kepada rakyat
5) Harta-harta yang diperoleh oleh seseorang dengan tanpa mengeluarkan harta atau tenaga apapun



2) PEMILIK ADALAH TERDIRI DARI LEBIH SEORANG INDIVIDU @ KOLEKTIF @ UMUM
Satu harta itu dimiliki secara berkongsi, seperti Kassim dan Muhd telah berkongsi wang untuk membeli mesin rumput. Maka Mesin rumput ini bukan milik peribadi Kassim juga bukan milik peribadi Muhd; tetapi milik bersama.

Harta Milik Kolektif akan digunapakai berdasarkan persetujuan bersama yang dimetrai ketika awal dahulu. Tidak ada dari para pemilik harta tersebut yang boleh dirugikan oleh pemilik lain, serta kesemua pemilik perlu mengeluarkan 'modal' jika ingin mengembangkannya. harta jenis ini tidak boleh dipindah milik, dijual, dikuraangkan atau dikembangkan ; melainkan setelah mendapat persetujuan seluruh pemilik.

Sementara itu, Harta Umum adalah harta yang diberikan izin oleh Allah untuk dimiliki oleh semua manusia, contohnya air sungai dan udara. Semua orang berhak untuk menggunakan air sungai dan menghirup udara. Tetapi air sungai yang telah di proses bukan lagi menjadi Harta Umum sebaliknya menjadi harta orang yang memprosesnya. Jika Kerajaan yang memprosesnya maka ia menjadi Harta Negara, tetapi jika syarikat swasta yang memprosesnya maka ia menjadi hak milik syarikat tersebut.

Termasuk Harta Umum adalah segala pembangunan yang dibuat oleh Pemerintah menggunakan Harta Negara bagi kesejahteraan rakyat. Contohnya sangat banyak; jalan raya, stadium, hospital, masjid dan Sekolah.

Tidak ada sesiapapun yang boleh mengaku Harta Umum adalah miliknya walaupun dia adalah seorang rakyat dan kerajaan telah mewujudkan harta tersebut menggunakan duit yang dia berikan sebagai zakat atau cukai.

Kekeliruan berlaku pada harta jenis ini dimana terdapat sesetengah orang terutamanya pembangkang membuat tuduhan bahawa Harta Negara adalah Harta Rakyat. Sebaliknya yang benar Harta Rakyat adalah terletak pada harta jenis ke 2 ini iaitu Harta Umum seperti:

- Udara
- Air Sungai
- Jalan raya (bukan Lebuhraya Bertol sebab ia milik syarikat konsesi)
- Hospital
- Masjid
- Balairaya
- Sekolah

Sedangkang zakat, cukai, ghanimah, fa'i, jizyah, kharaj dan yang semisal dengannya, adalah Harta Negara.


3) PEMILIK ADALAH NEGARA
Ibnu Taimiyah berpendapat bahawa Negara perlu kaya dan memiliki harta agar dapat memakmurkan rakyatnya. Malah negara memerlukan harta sehingga mampu menjalankan tanggungjaawabnya dengan berkesan. Justeru mengikut Ibnu Taimiyyah; negara boleh memiliki harta dan harta tersebut bukan lagi milik Individu atau Kolektif.

Sumber utama harta negara datangnya dari Rampasan Perang (Ghanimah dan Fa'i) dan Zakat. Malah negara boleh mengenakan cukai kepada rakyat seandainya hal tersebut memang diperlukan.

Contohnya tanah yang didapatkan dalam peperangan di Iraq semasa Umar memerintah, tidak diagihkan kepada tentara yang terlibat. Maknanya tanah tersebut tidak ditukar nama kepada individu (jenis 1) atau kepada sekelompok manusia (Jenis 2), sebaliknya kekal sebagai tanah Negara.

Daripada tanah negara inilah Umar menjalankan Program Pembangunan Pertanian yang mana hasil pertanian tersebut menjadi perolehan kepada negara.

Para sahabat yang berperang tidak memanggil tanah itu sebagai Tanah Milik Individu, atau Tanah Milik Masyarakat. Malah mereka tidak boleh bertindak seperti pemilik kepada tanah tersebut lantaran syarak tidak menetapkan mereka sebagai pemilik yang sebenar.

Pemerintah memiliki hak untuk menguruskan harta Negara berdasarkan kebijakannya dan juga memiliki hak untuk memberikannya kepada individu rakyat yang memerlukan. Ini menatijahkan bahawa Harta Negara yang digunakan untuk kepentingan umum seperti membina Perpustakaan; status kepemilikannya berubah menjadi Harta Umum. Begitu juga ketika kerajaan memberikan gaji kepada kakitangan kerajaan maka statusnya berubah daripada Wang Negara menjadi Wang Milik Peribadi Pekerja.


HIMBAUAN
Justeru tahulah kita bahawa Harta Negara bukanlah Harta Rakyat yang mana ia membawa beberapa konsikuansi iaitu:

- Bayaran untuk Gaji Kakitangan Kerajaan bukan Duit Rakyat
- Subsidi bukan Duit Rakyat
- Duit yang terkumpul di Baitulmal Dan LHDN bukan Harta Rakyat

___________________________
Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments