OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Ibn Katsir berkata:
"Demikian pula Baitul Makmur, ia adalah Ka'bah penduduk langit yang ketujuh, kerana itulah Nabi saw menjumpai Nabi Ibrahim as Al Khalil sedang menyandarkan belakang badannya di Baitul Makmur. Kerana Baginda adalah orang yang membangun Ka'bah di bumi, maka pahala yang diterimanya adalah dari jenis amal. Letak Baitul Makmur itu adalah lurus di atas Ka'bah; dan pada tiap-tiap langit terdapat Ka'bahnya tersendiri sebagai tempat mereka melakukan ibadah dan solat dengan menghadap kepadanya. Ka'bah yang ada di langit yang terdekat dinamakan Baitul Izzah; hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui".
(Tafsir Al Quran Al Azim, Surah At Thur ayat 4)
Kemudian Ibn Katsir membawakan riwayat tentang hal ini:
"Qatadah, Ar Rabi' Ibn Anas, dan As Suddi mengatakan, telah sampai kepada kami informasi bahawa satu hari Rasulullah saw pernah bertanya kepada sahabat-sahabatnya: Tahukah kalian, apakah Baitul Makmur itu?" Mereka menjawab, "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.'" Maka Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya Baitul Ma’mur itu adalah sebuah masjid di langit tepat di atas Ka'bah. Seandainya terjatuh, niscaya akan menimpa Ka'bah; ada 70,000 malaikat yang mengerjakan solat di dalamnya. Apabila mereka keluar darinya, mereka tidak kembali lagi kepada nya hingga yang paling akhir dari mereka"
Pendirian Ibn Katsir akan kesejajaran Baitul Makmur bukan bersendirian malah keyakinan ini dikongsi oleh tokoh tafsir yang lain. Antaranya adalah Imam Al Baghawi dalam tafsirnya: "Baitul Makmur: banyaknya yang memenuhi dan penduduknya, iaitu rumah di langit sekitar ‘Arsy dan sejajar dengan Ka’bah bumi"
Seorang lagi tokoh tafsir di kalangan Salaf, Imam At Thabari meriwayatkan bahawa ada seseorang yang bertanya kepada Ali bin Abi Thalib tentang Baitul Makmur. Maka jawapan Ali:
"Itu adalah bangunan di langit, sejajar dengan Ka’bah. Kemuliaan bangunan ini di langit sebagaimana kemuliaan Ka’bah di bumi. Setiap hari dimasuki oleh 70,000 malaikat, dan mereka tidak kembali lagi.
(Tafsir At Thabari dan dishahihkan Al Albani)
Imam At Thabari juga membawakan riwayat dari Qatadah seperti di atas: "Sampai kepada kami informasi bahawa satu hari, Nabi saw pernah bertanya kepada sahabat-sahabatnya: Tahukah kalian, apakah Baitul Makmur itu?" Mereka menjawab, "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.'" Maka Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Baitul Makmur itu adalah sebuah masjid di langit tepat di atas Ka'bah. Seandainya terjatuh, niscaya akan menimpa Ka'bah" (Tafsir At Thabari, hadis mursal)
Ibn Hajar berkata: "Bahawa diriwayatkan oleh Ishaq di Musnad beliau dan At Thabari serta selain dari mereka, dari jalan Khalid bin Ar Arah dari Ali bahawa beliau ditanya tentang As Saqf Al Marfu'
(atap yang di angkat tinggi), beliau berkata "langit". Dan beliau juga ditanya tentang Baitul Makmur maka beliau menjawab "ia adalah rumah di langit yang sejajar dengan Al Bait (Ka'bah), kehotmatan nya di langit seperti kehormatan Ka'bah di bumi. Ia dimasuki oleh 70,000 malaikat setiap hari dan mereka tidak akan kembali kepadanya (iaitu kembali ke Baitul Makmur sesudah itu)". Dan dalam riwayat At Thabari disebutkan bahaya orang yang bertanya itu adalah Abdullah bin Al Kawa. Dan turut disebutkan seumpamanya oleh Ibn Mardawaih dari Ibn Abbas, dan terdapat tambahan "ia diatas semisal Baitul Haram, andai sekiranya ia jatuh lalu menimpanya". Demikian pula dinukil dari hadis Aisyah melalui sanad yang shalih (baik), dan juga dari hadis Abdullah bin Amr dengan sanad yang dhaif, dan ia juga diriwayatkan oleh Al Fakihi dalam kitab Akhbar Makkah dengan sanad yang shahih darinya tetapi mauquf" (Fathul Bari)
Imam Al Qurtubi juga menyinggung perkara ini dalam Tafsirnya: "Berkata Ali, Ibn Abbas dan selain mereka berdua, Baitul Makmur itu adalah rumah di langit yang sejajar lurus diatas Ka'bah..."
Al Albani berkomentar: "Kesimpulan keterangan bahawa tambahan riwayat 'sejajar dengan Ka’bah' statusnya shahih, dengan gabungan semua jalur periwayatannya" (As Silsilah As Shahihah).
Lantaran khabar tentang sejajar Baitul Makmur dengan Ka'bah itu shahih maka menatijahkan Ibn Abbas dan mayoriti musafir berpendirian sebegitu.
Tidaklah para sahabat dan para salaf as soleh itu mengambil satu pandangan dalam hal ghaib jika mereka tidak punya sandaran yang shahih.
Cumanya disitu adalah pentafsiran kepada makna sejajar yang diperselisihi, hal ini dapat dicermati dalam fatwa Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utasimin dimana beliau memberikan dua tafsiran dalam kedudukan Baitul Makmur, satunya dari sisi arah, dan satu lagi dari segi fungsi. Beliau berkata:
“Baitul Makmur terletak pada langit ketujuh. Sebagaimana pada hadis ‘sejajar dengan ka’bah’ maknanya “di atasnya”. Ini bukanlah hal yang aneh. Allah atas segala seseuatu Maha Menguasai. Atau maknanya ‘berlawanan arah’ sebagaimana penduduk bumi memakmurkan ka’bah maka penduduk langit juga memakmurkan baitul makmur".
Dari ucapan Syeikh Ibn Uthaimin pun sudah dapat dikesan ada isyarat yang menunjukkan beliau menerima hadis kesejajaran Baitul Makmur dengan ka'bah.
NOTA TAMBAHAN
Mungkin perlu dibahas sedikit tentang Qatadah bin Di'amah As Sadusi, seorang tabiin.
Beliau meriwayatkan dari Anas bin Malik, Abdullah bin Sarjis Al Mazni, Abu At Tufail, Ummu Hujayr Safiyya bint Shayba bin Uthman, Abu Said Al Khudri, Abu Abdur Rahman Sinan bin Salma bin Al Mahbaq dan Abu Najid Imran bin Husein. Sedangkan dari kalangan tabiin seperti Said bin Al Musayyab, Al Hasan Al Basri, Humaid bin Abdur Rahman, Ibn Sirin dan banyak lagi.
Manakala banyak pula ulama besar yang mengambil riwayat darinya seperti Ayyub As Sakhtiyani, Al Auzani, Abu Awanah, Syu'bah bin Hajjaj dan yang lainnya. Beliau dinilai terbukti tsiqah (thiqat thabat).
Walaupun keadaan beliau yang 'terbukti jujur', namun setiap manusia tidaklah maksum. Qatadah dilihat terpengaruh dengan faham Qadariyah. Namun beliau bukanlah tokoh Mazhab Qadariyah atau tokoh yang menyebarkan bid'ah Qadariyah, sehingga riwayat-riwayatnya perlu ditolak.
Ulama hadis telah panjang lebar menjelaskan keadaan rawi yang menganut mazhab sesat; apakah diterima periwayatannya atau ditolak.
Imam An Nawawi berkata: "Para ulama dari kalangan ahli hadis, fuqaha, ahli ushul berkata: "Ahli bid’ah yang dianggap kafir kerana bid’ahnya tidak diterima riwayatnya dengan ittifaq"
Lalu dalam kasus Qatadah, para ulama menerima periwayatannya. Riwayat dari Qatadah ada dalam Shahih Al Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Sunan At Tirmizi, Sunan An Nasa'i dan Sunan Ibn Majah.
Imam Ibn Katsir banyak menyebut namanya dalam Tafsir beliau. Berikut adalah beberapa contoh petikan dari kitab Tafsir Al Quran Al Azim:
(1) Surah Al Baqarah ayat 208:
"Al Aufi meriwayatkan dari Ibn Abbas, Mujahid, Tawus, Ad Dahhak, Ikrimah, Qatadah, As Suddi, dan Ibn Zaid sehubungan dengan firman-Nya "masuklah kalian ke dalam Islam keseluruhan nya" (Al Baqarah
: 208) Yang dimaksud dengan 'as silmi' ialah agama Islam.
Ad Dahhak meriwayatkan dari Ibn Abbas, Abul Aliyah, dan Ar Rabi' Ibn Anas sehubungan dengan firman-Nya: "masuklah kalian ke dalam Islam" (Al Baqarah: 208) Yang dimaksud dengan 'as silmi' ialah taat.
Qatadah mengatakan pula bahawa yang dimaksud dengan 'as silmi' ialah berserah diri.
Lafaz 'kaffah' menurut Ibn Abbas, Mujahid, Abul Aliyah, Ikrimah, Ar Rabi' Ibn Anas, As Suddi, dan Muqatil Ibn Hayyan, Qatadah dan Ad Dahhak ertinya seluruhnya".
(2) Surah Al Baqarah ayat 209:
"Kerana itulah maka Abul Aliyah dan Qatadah serta Ar Rabi' Ibn Anas mengatakan bahawa Dia Maha Perkasa dalam pembalasan-Nya lagi Maha Bijaksana dalam perkara-Nya"
(3) Surah At Taubah ayat 12:
"Qatadah dan yang lain berkata: "Para pemimpin orang-orang kafir seperti; Abu Jahal, Utbah, Syaibah, Umayyah bin Khalaf, dan sejumlah orang kafir lainnya"
(4) Surah Hud ayat 15 - 16:
"Qatadah mengatakan, "Barang siapa yang dunia merupakan niat, dambaan, dan buruannya, maka Allah membalas kebaikannya di dunia ini. Dan bila dia datang ke akhirat, maka dia tidak lagi memiliki pahala amal kebaikan yang akan diberikan kepada nya. Adapun orang mukmin, maka amal kebaikannya dibalas di dunia ini, dan kelak di akhirat dia mendapat pahala dari amalnya itu." Dalam hadis yang marfu’ telah disebutkan hal yang semisal dengan ini"
(5) Surat Shad ayat 34:
Ibn Abbas, Mujahid, Said Ibn Jubair, Al Hasan, dan Qatadah serta lain-lainnya menyebutkan sehubungan dengan makna ayat ini, iaitu: "Dan Kami jadikan di atas singgasananya sesosok tubuh (yang mirip dengan dia - Sulaiman)". Mereka menyebutkan bahawa sosok tubuh itu adalah syaitan yang merupakan dirinya dengan Nabi Sulaiman".
___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment