Syubhat Membasuh Pakaian Terkena Najis Dengan Mesin Basuh

OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman


Syubhat ini kembali kepada masalah air yang kurang dua kolah jika bercampur najis adakah airnya bertukar najis atau tidak.

Majoriti ulama berpendapat bahawa airnya akan jadi najis.

Hujah mereka hadis Nabi,

"Jika airnya dua kolah ia tidak akan menjadi najis" 
(Sahih. Abu Daud).



Dengan erti jika ia sedikit (kurang dua kolah) air itu akan bertukar najis jika najis terkena padanya.

Dalam konteks membasuh dengan mesin basuh, sebahagian berpandangan bahawa memandangkan airnya kurang dua kolah, maka ia tidak akan dapat menyucikan pakaian yang terkena najis kerana air itu juga turut telah berubah menjadi najis. Air najis jelas tidak menyucikan.

Itu pandangan sebahagian ilmuan berdasarkan pandangan majoriti para ulama tentang air kurang dua kolah.

Walau bagaimanapun, hakikatnya Hadis Air Dua Kolah yang dijadikan sandaran berlawanan dengan sebuah hadis lain iaitu,

الماء طهور لا ينجسه شيء
"Air adalah suci ia tidak akan dinajiskan oleh apa-apa"
 (Sahih. Imam Ahmad).

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama berpendirian bahawa najis yang bercampur dengan air yang sedikit (kurang dua kolah) tanpa menukar salah satu daripada tiga sifat air itu iaitu warna, bau atau rasanya, maka air tersebut akan KEKAL SUCI.

Kembali kepada masalah membasuh dengan mesin basuh, hakikatnya persoalan air sedikit (kurang dua kolah) tidak timbul memandangkan proses mencurah air atas pakaian dilakukan secara berulang kali sehingga kesan najis hilang.

Soal mesin basuh automatik atau separa automatik tidak timbul.

Jika kesan najis sudah hilang, maka bersihlah pakaian tersebut.


Sungguh Agama ini mudah.

ولن يشاد في هذا الدين أحد الا غلبه
"Tiada sesiapa yang menyusah-nyusahkan (dirinya) dalam Agama ini melainkan dia akan tertewas." (Riwayat Bukhari)


Yakni dia hanya menyusahkan dirinya tanpa mendapat sebarang faedah daripada perbuatannya itu.

Wallahu a'lam.



___________________________
~Ustaz Idris Bin Sulaiman~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments

  1. Assalamualaikum, saya nak tanya pasal bab taharah. Beberapa hari yang lalu, seluar saya terkena tahi kucing. Ibu saya telah membasuhnya dengan mesin basuh tanpa membersihkan najis itu. Ini bermakna pakaian yang lain turut menjadi najis. Saya menyedari perkara itu setelah beberapa hari. Kami telah lupa pakaian mana yang turut menjadi najis. Soalan saya, bagaimana saya hendak menyucikan pakaian yang saya tidak tahu bercampur dengan seluar yang terkena najis itu. Adakah saya hanya perlu redha atau terdapat ikhtiar lain?

    ReplyDelete

Post a Comment