Ulama Berbeza Pendapat

OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman



“Ulama khilaf. Ini masalah khilafiah.
Jangan diperbesar-besarkan.
Terpulang nak pilih pendapat mana.
Mana yang dipilih itulah yang benar.
Semua pendapat-pendapat ini benar.
Tiada sesiapa yang benar dan salah. Semuanya benar.
Tiada paksaan. Kita perlu berlapang dada.
Mereka yang memperbesarkan isu-isu khilafiah adalah WAHABI!”

.

Demikian barangkali reaksi yang kita dengar ketika berdepan dengan perbezaan-perbezaan pendapat dalam isu-isu Agama tak kira sama ada dalam hal-hal akidah, fikah dan sebagainya.

Persoalannya, adakah pendekatan ini benar? Sewajarnya ia diteliti semula.

Pertamanya kita perlu sedar dan mengakui bahawa telah menjadi Sunnatullah (ketetapan takdir) bahawa manusia akan terus berselisih sampai bila-bila.


Firman Allah:

“Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan manusia semuanya menurut Agama yang satu (tetapi Allah tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka (manusia) terus-menerus berselisihan.”
[Surah Huud: ayat 118]


Dalam hadis menyebut:

“Dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kumpulan, SEMUANYA MASUK NERAKA kecuali SATU.”
[Sahih. Riwayat Abu Daud]



Maka kita mengakui bahawa manusia akan terus berselisih pendapat sesama mereka, dan adalah MUSTAHIL untuk mereka sependapat dalam SEMUA isu.


Tetapi...

Adakah ini bererti bahawa berpecah dan berbeza pendapat adalah suatu perkara yang baik dan terpuji?

Jawapannya tidak.

Allah mewajibkan atas kita supaya bersatu, jangan berpecah.

Dan kita disuruh supaya MENGURANGKAN PERBEZAAN dan PERSELISIHAN sebanyak mungkin.


Sebagaimana firman Allah:


“Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu kembalikan ia (perselisihan tersebut) kepada Allah dan Rasul.”
[Surah An-Nisaa’: ayat 59]


Lihat bagaimana Allah memerintahkan supaya kita kembali kepada Al-Quran dan Sunah Nabi dalam mencari penyelesaian dan titik temu dalam apa jua perselisihan yang timbul.

Dengan erti kata lain, suatu perbezaan pendapat itu hendaklah dinilai kedudukannya menurut dalil dan hujah, di mana akhirnya hanya pendapat yang selari dengan Syarak, menepati nas Al-Quran, hadis sahih atau amalan para Sahabat yang diterima dan diamalkan.

Adapun pendapat yang menyalahi nas Al-Quran, menyalahi hadis Nabi, atau menyalahi amalan dan kefahaman para Sahabat maka ia dikira pendapat yang lemah dan WAJIB DITOLAK.

Demikian sepatutnya pendirian kita dalam isu-isu khilafiah.

Maka perlu ada usaha untuk mencari kebenaran, mengetahui dalil dan hujah bagi sesuatu pendapat dan menilai pendapat mana yang paling hampir dengan dalil Al-Quran dan hadis mengikut kefahaman para Sahabat.

Adapun pendekatan bertaklid buta (taklid sememang buta!), mengambil sesuatu pendapat TANPA mengetahui dalilnya, menutup ruang untuk berbincang dan berhujah, dan lebih buruk lagi MENOLAK dalil Al-Quran dan hadis sesudah ia dijelaskan kepada kita semata-mata atas alasan ulama khilaf, ulama berbeza pendapat, perlu berlapang dada...

Jawapan-jawapan ini jelas lebih mengajak Umat Islam supaya terus jahil, terus berselisih dan terus menjauhi Al-Quran dan hadis.

Kita akui bahawa ada khilaf perselisihan pendapat dalam kalangan ulama.

Tetapi adalah salah jika kita tidak berusaha untuk mencari kebenaran dan mencari pendapat mana yang paling kuat dan menepati dalil.


Seperti:

Lelaki perempuan bersentuhan, batal wuduk atau tidak? Ulama khilaf.

Darah keluar dari luka di badan, batal solat atau tidak? Ulama khilaf.

Allah wujud atau tidak?

Seperti dalam kisah si mufti jahil:
“Oh, ulama khilaf!!!”


“Ini perkara khilafiah. Tak usah diperbesar-besarkan. Nanti masyarakat keliru. Jangan pecah-belahkan masyarakat. Terpulang kepada kita pendapat mana yang betul!”


Awas! Jika anda mahu membincangkannya anda akan dituduh Wahabi!

Saya tertarik dengan kata seorang ustaz yang menceritakan polemik masyarakat:


“Apa hukum arak? Haram.

Apa hukum judi? Haram.

Apa hukum rokok? Oh, ada beza pendapat!!!”


Ini lebih kepada agama hawa nafsu, ikut cita rasa, tidak berminat untuk mengetahui dalil hujah pendapat lawan, dan sedaya upaya tidak mahu mengetahui kebenaran.

Lalu apa jua usaha ke arah berbincang, berhujah, berdiskusi dan mengkaji (tak semestinya berdebat yang jika diadakan di hadapan khalayak lebih membuatkan masyarakat awam jadi keliru dan tak keruan) dibalas dengan jawapan mudah:


“Ini isu khilafiah. Noktah.”


Barangkali ada yang sampai berhujah dengan kata-kata:

اخْتِلافُ أمَّتِي رَحْمَةٌ
(Perselisihan umatku adalah rahmat!)


Pertamanya, ini bukan hadis, dan tidak diketahui daripada mana asalnya.

Walau apa pun, kenyataan ini batil, tercela dan tertolak kerana Syarak secara jelas menegah Umat Islam terus berselisihan.


Firman Allah:

“Dan janganlah kamu berselisihan, jika tidak nescaya kamu menjadi lemah, manakala kekuatan kamu akan hilang.”
[Surah Anfaal: ayat 46]

Akhirnya, jangan kerana kita jahil, kita tak tahu isu yang dibahaskan lalu kita berdalih dan berkata:

Ulama khilaf! Anda Wahabi!

Tidak wajar.

Sebagai seorang Muslim, selayaknya kita terus menuntut ilmu dan mengkaji.

Sebagaimana kata pepatah Arab, mafhumnya:


“Kebenaran itu ialah barang tercicir daripada seorang Mukmin. Di mana sahaja dia mendapatinya maka dia lebih berhak kepadanya.”



Barakallahufikum.


___________________________
~Ustaz Idris Bin Sulaiman~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments