Rokok Harus?

OLEH: Dr Idris Sulaiman


Semalam tular poster fatwa yang agak mengelirukan tentang hukum merokok.
Merokok dalam keadaan tertentu adalah harus, menurut poster itu.
Perlu ditegaskan bahawa fatwa sebegini jelas bertentangan dengan realiti dan hukum syarak.
Rata-rata majlis fatwa dunia sama ada di Arab Saudi, Mesir atau Jordan semuanya mengharamkan rokok kerana mudaratnya yang jelas.

Kerana Allah ﷻ berfirman:
وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَٰٓئِثَ
“Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan atas mereka segala benda yang buruk.”
[Al-Quran, al-A’raaf, 7: 157]

Dan Nabi ﷺ bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ.
“Jangan timbulkan mudarat dan jangan timbulkan mudarat atas orang lain”.
[Hasan. Riwayat Ibnu Majah]

Pakar kesihatan sudah sekian lama membuktikan bahawa merokok menyebabkan kanser, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, diabetes dan pelbagai komplikasi kesihatan lain.
Fatwa sebegini mengingatkan kepada sebuah poster arak yang diiklankan satu ketika dahulu pada tahun 60-an dan 70-an di Malaysia.



Dalam poster berkenaan dipaparkan dua orang Melayu; lelaki dan perempuan sedang duduk di sebuah meja makan yang ada sebotol arak manakala si lelaki Melayu itu kelihatan hendak meneguk gelas minuman arak itu.

Tertera di bawah gambar mereka tulisan mempromosikan jenama arak berkenaan kononnya minuman arak memulihkan tenaga dan menghilangkan rasa letih dan lesu kerana khasiat yang terkandung dalamnya.

Malah terpapar tulisan besar dan tebal di bawah poster itu bahawa jenama arak itu ‘baik untuk kita’!
Arak baik untuk kesihatan, begitulah maksud poster berkenaan.

Demikian barangkali tahap kejahilan sebahagian masyarakat Melayu waktu itu sehingga arak yang jelas haram di sisi agama kerana pelbagai mudarat yang terhasil daripadanya boleh diiklankan dengan dikatakan sebaliknya.

Kini sejarah berulang kembali.
Adakah ini bermaksud pelajar-pelajar sekolah sekarang dibenarkan merokok kerana hukumnya harus?

[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments