Ibnu Taimiyyah Menjadi Rujukan Keganasan?

OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman



Sebahagian mendakwa bahawa Ibnu Taimiyyah menjadi rujukan pengganas teroris lalu membuat kesimpulan bahawa ini menunjukkan bahawa Ibnu Taimiyyah membawa ajaran keganasan; pelopor fahaman terorisme.

Menurut mereka, Ibnu Taimiyyah banyak membawa fahaman takfir menghalalkan darah Umat.

Oleh itu, buku-buku karya beliau wajar DIHARAMKAN. Demikian kesimpulan mereka.

Kita katakan kepada mereka, alang-alang HARAMKAN SAHAJA AL-QURAN. Ini kerana ia juga 'mengajak kepada keganasan' dan 'menjadi rujukan' golongan pelampau keganasan.



Lihat sahaja firman Allah:

"Barangsiapa tidak berhukum dengan hukum Allah maka merekalah orang-orang KAFIR."


Al-Quran membawa kepada fahaman 'takfir' jika kita menurut cara fikir mereka. Maka wajarlah ia juga turut diharamkan.

Apakah benar kenyataan seperti ini?

Saya yakin kita semua akan mengatakan:

"Tidak. Al-Quran itu benar, yang salah adalah CARA PEMAHAMAN pembacanya!"


Maka demikianlah kita katakan kepada buku-buku karya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah.

Sepertimana kita mengatakan:

Usahlah terpengaruh dengan dakyah-dakyah Barat yang mengaitkan Islam dengan keganasan, demikian juga dengan tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan kepada Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah.

Bacalah buku-buku beliau dan kajilah ia. Musibah jika kita hanya bertaklid buta ikut cakap orang sedangkan kita sendiri tak kaji dan tak faham bahasa Arab dan tidak dapat merujuk sendiri kitab-kitab Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Lalu kita mahu mengemukakan tuduhan-tuduhan berat ke atasnya.

Lihatlah kenyataan-kenyataan beliau dalam isu-isu takfir, betapa beliau teguh berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jemaah.



Kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah:

"TIDAK BOLEH bagi sesiapa MENGKAFIRKAN sesiapa daripada kalangan orang-orang Islam sekalipun dia berbuat salah dan silap, sehinggalah ditegakkan hujah dan dijelaskan dalil ke atasnya. Barangsiapa sabit Islamnya secara yakin, maka ia tidak boleh dinafikan daripadanya berdasarkan syak."
Majmuk Fatawa, jilid 12, halaman 466

- yakni individu tersebut tidak boleh sewenang-wenangnya dihukum kafir.



Kata beliau:

"TIDAK BOLEH MENGKAFIRKAN SEORANG MUSLIM kerana dosa yang dilakukan atau kerana kesalahan yang dia tersilap melakukannya, seperti permasalahan-permasalahan yang di perselisihkan oleh Ahli Kiblat."
Majmuk Fatawa, jilid 3, halaman 282

- yakni isu-isu khilafiah antara para ulama tidak boleh sampai kafir mengkafir sesama Umat.



Beliau menegaskan:

"Tambah lagi, aku sering, dan sesiapa yang duduk bersamaku mengetahui hal ini tentangku, bahawa AKU antara MEREKA YANG PALING MELARANG perbuatan mengatakan seseorang itu KAFIR, FASIK atau AHLI MAKSIAT, melainkan jika telah diketahui bahawa orang tersebut telah ditegakkan hujah Rasul ke atasnya, yang mana barang siapa menyalahinya sama ada dia jatuh kafir, jadi fasik atau dikira ahli maksiat."
Majmuk Fatawa, jilid 3, halaman 229.


Lihat betapa tegas dan jelas kenyataan beliau dalam isu TAKFIR, dan bahawasanya MENGHUKUM KAFIR itu mempunyai syarat-syarat ketat yang perlu dipatuhi serta halangan-halangan yang perlu dilepasi.

Seseorang individu itu sama sekali TIDAK BOLEH SEWENANG-WENANGNYA dihukum KAFIR terkeluar daripada Agama semata-mata kerana perkataan atau perbuatannya.

Semoga Allah merahmati Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Betapa beliau telah difitnah dan dizalimi ketika hidupnya dan setelah kewafatannya.

Barangkali ini menjadi asbab untuk Allah meninggikan darjat kedudukannya dalam kalangan hambaNya di akhirat nanti.

Buat mereka yang masih keliru, kajilah sejarah KHAWARIJ, fahaman-fahaman dan juga tokoh-tokoh mereka.

Semoga anda dapat membezakan antara fahaman Salaf As-Soleh, Agama Islam yang tulen, yang didukung oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, dan fahaman sesat Khawarij yang mengkafirkan sesama Umat Islam dan menghalalkan darah mereka.

Wallahul muwaffaq.

___________________________
~Ustaz Idris Bin Sulaiman~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments