OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Saya cuba mengelak kerana menjaga hati kaum wanita, tetapi soal “perasaan isteri pertama” dalam kes poligami terpaksa saya sentuh juga di sini kerana semalam ada rakan perempuan yang mempersoalkan, “habis tu, berkahwin tanpa fikirkan perasaan isteri yang pertama, macam mana tu, ustaz? Macam tidak adil ja, ustaz.”
Ya, mengambil kira sentimen antipoligami yang dihidap masyarakat sekarang, suami memang tidak sepatutnya sengaja membelakangkan isteri pertamanya apabila ingin menambah isteri. Zaman kita berbeza daripada zaman Rasulullah SAW di mana poligami adalah perkara yang sangat normal, manakala pada hari ini poligami menjadi asing, terpencil, dan aneh.
Falsafah “setia ke hujung nyawa” dan “cinta sejati” yang diselewengkan maksudnya; pemikiran bidaah yang mengatakan suami yang berkahwin lain adalah gatal dan curang, isteri kedua adalah miang dan jalang, isteri pertama pula dituduh tidak pandai menjaga suami; selain kes-kes perceraian dan kezaliman melibatkan isteri pertama dan anak-anak yang mengukuhkan fobia kaum wanita terhadap poligami perlu diraikan sebelum meneruskan niat menambah isteri.
Akan tetapi, adakah seorang lelaki perlu tunduk kepada sentimen dan fobia “perasaan isteri pertama” sampai menafikan sama sekali haknya untuk berpoligami dan hak wanita lain untuk menjadi isterinya? Tidak. Nabi SAW sendiri ditegur oleh Allah taala kerana bersumpah tidak melakukan sesuatu perkara hanya kerana tidak disukai oleh isteri-isteri baginda. Ayat pertama surah al-Taḥrīm mengatakan, “wahai Nabi, kenapa engkau mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah kepadamu sebagai mencari keredaan isteri-isterimu?”
Satu fakta yang perlu disebarkan kepada masyarakat, isteri-isteri Rasulullah SAW yang hidup dalam keadaan bermadu dan berada dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan poligami secara meluas itu sebenarnya tidaklah gembira baginda menambah isteri. Mereka juga mempunyai perasaan cemburu yang kuat. Dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ‘Āishah RA pernah memecahkan bekas makanan dan melerat makanan yang dihantar oleh madunya – dikatakan, Zaynab bt. Jaḥsh – kepada Nabi SAW lantaran cemburu.
Seperti wanita hari ini, kadang-kadang mereka bukan tidak suka kepada poligami, tetapi kepada individu yang menjadi madu mereka. Ma‘mar b. Rāshid dalam al-Jāmi‘ meriwayatkan daripada Thābit al-Bunānī, daripada Anas b. Mālik katanya, “Nabi SAW masuk menemui Ṣafiyyah yang sedang menangis. Baginda bertanya, ‘apa masalah awak?’ Jawabnya, ‘Ḥafṣah mengatakan saya anak Yahudi.’ Nabi pun mengatakan kepadanya, ‘awak anak seorang nabi, isteri seorang nabi, maka apakah yang boleh dibanggakannya terhadap awak?’
Sebagaimana isteri kita tidak suka “diganggu” oleh orang ketiga, begitu jugalah isteri-isteri Nabi SAW, mereka juga tidak suka baginda "diganggu" oleh perempuan lain. Al-Nasā’ī meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa ‘Ā’ishah RA berkata, “aku cemburu dengan perempuan-perempuan yang menawarkan diri kepada Rasulullah SAW, dan aku bertanya (kepada Nabi SAW), “(bolehkah) perempuan menawarkan diri?” Dalam riwayat lain, ‘Ā’ishah menyebut begini, “tidak malukah seorang perempuan menawarkan dirinya kepada lelaki?”
Akan tetapi, dalam keadaan begitu pun, baginda tetap berkahwin lagi dan menambah isteri. Baginda tidak menghiraukan “perasaan isteri pertama” atau perasaan ‘Ā’ishah, Ḥafṣah, dan isteri-isteri baginda yang lain? Seperti yang disebutkan, tidak, kerana bukan begitu cara peduli “perasaan isteri pertama” yang sepatutnya. Perasaan mereka dilayan dengan memaafkan andai tidak dapat dikawal, tidak mengumpulkan mereka di bawah satu bumbung kecuali dengan reda mereka, tidak menunjukkan kemesraan dengan mana-mana isteri di hadapan isteri yang lain, dan seumpamanya.
Pendek kata, menjaga “perasaan isteri pertama” bukanlah dengan cara membatalkan hasrat berkahwin lagi hanya kerana isteri pertama tidak suka. Ia hanyalah satu versi lain bagi ungkapan “bahagia di atas penderitaan orang lain.”
Susulan tulisan ini, ada teman yang bertanya tentang tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW menangani kecemburuan ‘Ā’ishah RA, yang menepis tangan khadam yang membawa makanan, sampai pecah bekas dan terselerak makanan yang dihantar oleh madunya. Benarkah baginda tidak memarahi ‘Ā’ishah dan membiarkan sahaja beliau melakukan tindakan yang tidak sepatutnya lantaran fitrah cemburu? Adakah baginda tidak mengambil langkah untuk mengharmonikan hubungan antara mereka?
(Sebelum itu, untuk mengelakkan kekeliruan, dijelaskan bahawa saya tidak menggalakkan poligami kerana tidak semua mampu untuk berkahwin walaupun dengan seorang wanita, tetapi menentang golongan yang menunggang agama untuk menolak poligami, yang pada mulanya mengatakan poligami bukan sunnah, kemudian poligami harus kalau adil, kemudian poligami haram kecuali terpaksa, dan akhir sekali mahu poligami dihapuskan.)
Berkenaan kejadian yang berlaku di rumah ‘Ā’ishah itu, benar tidak diriwayatkan bahawa baginda marah atau menegur perbuatan yang berlaku secara spontan itu. Tetapi, harus diingatkan bahawa ada orang lain dalam kejadian itu dan memarahi isteri di hadapan orang amat mengaibkan.
Kemudian, dalam kejadian lain, Rasulullah SAW jelas tidak tidak membiarkan sahaja ‘Ā’ishah dengan sifat cemburunya, malah mengingkarinya, seperti yang berlaku apabila beliau mengatakan kata-kata yang kurang manis terhadap Siti Khadījah bt. Khuwaylid. Katanya, “apalah awak selalu menyebut-nyebut perempuan Quraysh yang tua dan sudah lama meninggal itu. Allah sudah menggantikannya dengan orang yang lebih baik daripadanya.”
Baginda berubah muka lantaran marah. Dalam dua riwayat al-Ṭabarānī – pertama, daripada Ibnu Abī Najīḥ secara mursal daripada ‘Ā’ishah; dan kedua, daripada ‘Abd Allāh al-Bahī yang dipertikaikan – ‘Ā’ishah menyesal kerana mengucapkan kata-kata itu. Dalam salah satunya baginda diriwayatkan menegur, “bagaimana awak boleh berkata begitu? Demi Allah, Khadījah beriman ketika orang ramai mengingkari saya, melindungi ketika orang ramai menolak saya, membenarkan ketika orang ramai menolak saya, dan Khadījah dikurniakan anak saya sedangkan kamu tidak mendapatnya.”
Dalam kejadian ‘Ā’ishah memecahkan bekas makanan tadi, jelas baginda berusaha mengharmonikan keadaan. Baginda tidak mahu kejadian ini sampai ke pengetahuan isteri yang menghantar makanan tersebut sampai berkecil hati. Jadi, selepas mengutip serpihan bekas makanan dan makanan yang jatuh, baginda meminta khadam yang membawa makanan tunggu sementara bekas tersebut digantikan dengan bekas lain dan dikembalikan kepada isteri yang menghantar makanan. Bekas yang pecah itu tidak dibawa keluar, sebaliknya disimpan di rumah ‘Ā’ishah RA.
Dengan cara itu, ‘Ā’ishah pasti berasa serba salah dan menyesal di atas keterlanjuran itu. Begitulah salah satu cara baginda mendidik isteri dan mengharmonikan rumah tangga yang mengamalkan poligami.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment