Wanita Melayu Tahun 50-an Tidak Berhijab?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi




Seperti yang disaksikan dalam filem-filem Melayu pada zaman tahun 50-an, wanita-wanita Melayu ketika itu tidak berhijab. Perkara ini dijadikan hujah oleh liberal bahawa umat Islam sebelum ini tidak menganggap bahawa bertudung diwajibkan agama.

Dakwaan mereka sangat merepek. Dalam majalah Qalam yang diterbitkan pada tahun 1954, dipaparkan soal jawab antara pembaca dari Seremban dengan kolumnis yang bernama Abū al-Mukhtār mengenai purdah. Pembaca tersebut musykil kerana isu hukum memakai purdah menjadi isu sensasi sedangkan ketidakwajipan berpurdah, menurut beliau, sedia diketahui umum. Katanya:

“Saya bersama musykil ketika membaca siaran akhbar baharu-baharu ini berkenaan fatwa mufti Mesir yang menerangkan bahawa muka perempuan bukanlah aurat dan purdah yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan Islam di atas angin hanyalah pakaian yang telah dimulakan oleh kaum bangsawan. Fatwa itu memang sudah betul, tetapi saya musykil cara akhbar-akhbar menyiarkannya dengan begitu luas, seolah-olah hukum itu baharu diketahui oleh orang Islam...”

Menjawab soalan itu, Abū al-Mukhtār menjelaskan bahawa isu ini mungkin ditimbulkan oleh bukan Islam atau orang Islam yang menyangka pemakaian purdah itu disyariatkan. Kemudian, yang mensensasikan fatwa itu, menurutnya, adalah media asing. Selepas membawakan ayat zīnah dan tafsirannya dengan muka dan tapak tangan oleh Ibnu ‘Abbās RA, beliau menjelaskan:

“Daripada keterangan al-Quran dan hadis yang (di)bentangkan di atas, jelaslah bahawa aurat perempuan ialah seluruh tubuhnya dikecualikan bulatan muka dan pergelangan tangan.”

Walaupun jawapan yang diberikan berkenaan aurat wanita bertepatan dengan pandangan umum umat Islam pada hari ini, namun kejahilan mereka – termasuk mufti Mesir tadi – mengenai pensyariatan purdah dalam Islam sangat ketara. Dakwa Abū al-Mukhtār, pemakaian purdah “hanyalah suatu adat menurut keadaan masyarakat di sekelilingnya dan dipercayai terbitkan adat itu ialah daripada nasihat sebahagian ulama Islam yang berfaham bahawa muka perempuan, kadang-kadang – kerana cantik parasnya – membangkitkan fitnah dan menggoda lelaki yang memandangnya, dan kerana itu patut ditutup dengan purdah.”

___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments