Status Hadīth Binatang Korban Akan Menjadi Tunggangan Atas Titian Sīraț

OLEH: Ustaz Zulfadhli Bin Mohd Razi


Bagi menjawab persoalan status hadīth yang menyatakan binatang korban akan menjadi haiwan tunggangan di hari akhirat kelak ketika mahu meniti titian Sīraț, perlu diketahui terlebih dahulu dua perkara penting:

Pertama: Korban merupakan 'ibādah dan salah satu cara menghampirkan diri kepada Allah, juga ianya sebagai sunnah Nabī kita Muhammad shallallahu'alaihiwasallam. Tidak ada khilāf dalam kalangan ulama' berhubung kenyataan ini. Oleh itu, pastinya apabila seseorang melakukan 'ibādah korban, akan diberikan ganjaran oleh Allah Ta'ālā kerana melaksanakan tuntutan dan syi'ār dalam Islām.

Kedua: Perlu diketahui bahawa tidak ada hadīth sahīh yang mengkhususkan pahala tertentu kepada sesiapa yang melakukan korban. Al-Imām Ibn al-'Arābī berkata:

ليس في فضل الأضحية حديث صحيح. وقد روى الناس فيها عجائب لم تصح.
"Tidak ada satu pun hadīth sahīh berkenaan kelebihan korban. Telah diriwayatkan oleh ramai orang riwayat-riwayat yang pelik berkenaannya lagi tidak sahīh". 
('Āridhah al-Ahwazī oleh al-Imām Ibn al-'Arābī, juz 6 m/s 228. Cetakan pertama, tahun 1418 H/1997 M. Dār al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirūt)

Berbalik kepada hadīth yang ditanyakan, terdapat sebuah hadīth berbunyi:

استفرهوا ضحاياكم فإنها مطاياكم على الصراط.
"Carilah haiwan yang cerdas sebagai binatang korbanmu, kerana sesungguhnya ia menjadi tunggangan kamu di atas titian Sīraț".

Hadith tersebut telah diriwayatkan oleh al-Dailamī dalam Musnad beliau. (Al-Firdaus Bi Ma'tsūr al-Khițāb, juz 1 m/s 85, hadīth no 268. Tahqīq oleh al-Syeikh al-Sa'īd bin Basyūnī Zaghlūl. Cetakan pertama, tahun 1406 H/1986 M. Dār al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirūt)

Al-Imām al-Hāfiz Ibn Hajar al-'Asqalānī membawakan sanad al-Imām al-Dailamī tersebut melalui sanad Ibn al-Mubārak daripada Yahyā bin 'Ubaid Allāh bin Mauhab daripada ayahnya daripada Abī Hurairah secara marfū'. (Talkhīs al-Habīr oleh al-Hāfiz Ibn Hajar al-'Asqalānī, juz 4 m/s 251. Cetakan pertama, tahun 1416 H/1995 M. Muassasah Qurțubah)

Hadith tersebut adalah munkar, dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Yahyā bin 'Ubaid Allāh bin Mauhab al-Qurasyī al-Madanī al-Taimī, berkenaan beliau:

1- al-Bukhārī berkata: "Ibn 'Uyainah mendha'īfkan beliau".
2- Abū Zur'ah al-Rāzī memasukkannya dalam kategori perawi-perawi yang lemah.
3- Abū Daūd pernah ditanya berkenaan sanad tersebut, jawab beliau: "Aku pernah bertanya Ahmad bin Hanbal: "Kenapakah Yahyā bin 'Ubaid Allāh ditinggalkan (hadīthnya)?". Beliau (Ahmad) menjawab: "Hadīth-hadīthnya adalah munkar, manakala ayahnya pula tidak diketahui".
4- al-Tirmizī berkata: "Syu'bah telah mendha'īfkan Yahyā bin 'Ubaid Allāh". (Al-Jāmi' Fī al-Jarh Wa al-Ta'dīl oleh al-Sayyid Abū al-Ma'āțī al-Nūrī dan rakan-rakan, jld 3 m/s 298, biografi no 4928. Cetakan pertama, tahun 1412 H/1992 M. 'Ālam al-Kutub, Beirūt)

Al-Hāfiz Ibn Hajar al-'Asqalānī turut menilai Yahyā sebagai terlalu dha'īf.

Terdapat beberapa lafaz lain bagi hadīth tersebut, iaitu:

إنها مطاياكم إلى الجنة
"Ianya haiwan tunggangan kamu ke syurga".

Didha'īfkan oleh al-Imām Ibn al-'Arābī dalam 'Āridhah al-Ahwazī (juz 6 m/s 228). Juga dengan lafaz:

عظموا ضحاياكم فإنها على الصراط مطاياكم.
"Pilihlah haiwan korban kamu yang besar, kerana sesungguhnya ianya menjadi tunggangan kamu atas titian Sīraț".

Al-Imām Ibn al-Solāh berkata berhubung hadīth tersebut:

"Hadīth ini tidak dikenali dan tidak thābit sejauh pengetahuan kami".
(Talkhīs al-Habīr oleh al-Hāfiz Ibn Hajar al-'Asqalānī, juz 4 m/s 251)

Al-Syeikh Dr Bakr Abū Zaid turut memasukkan pandangan bahawa tidak ada satu pun hadīth sahīh berkenaan kelebihan korban secara khusūs dalam buku beliau al-Tahdīs Bi Mā Qīla Lā Yasih Fīhi Hadīth (m/s 109, dibawah hadīth no 172. Cetakan pertama, tahun 1412 H/1991 M. Dār al-Hijrah, Riyādh)

Kesimpulannya, tidak thābit hadīth bahawa binatang korban akan menjadi tunggangan di akhirat kelak. Wallahua'lam.



___________________________
~Ustaz Zulfahdli Bin Mohd Razi ~
Pendakwah Bebas
_____________________________


Comments