OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat dua hari raya. Menurut pendapat Imam Malik dan Imam Syafie Sunnat Muakkad (sunat yang dituntut). Menurut mazhab Imam Ahmad hukumnya Fardhu Kifayah (wajib ke atas sebahagian orang). Manakala menurut mazhab Imam Abu Hanifah dan sebahagian riwayat dari Imam Ahmad hukumnya Fardu Ain (wajib ke atas seluruh umat Islam). Pendapat ketiga ini adalah pendapat yang dipilih oleh Imam Asy-Syaukani dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah. Ertinya orang sengaja meninggalkannya berdosa. (Al-Majmu, 5/5. Al-Mughni, 3/253. Al-Inshaf, 5/316. Al-Ikhtiyarat, hal. 82)
Pendapat ketiga berdalilkan Firman Allah SWT:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan sembelihlah (berkorbanlah)."
(Al-Kautsar: 1-2)
Ibnu Qudamah rahimahullah dalam kitab Al-Mughni mengatakan: "Yang terkenal dalam tafsiran ayat ini adalah solat hari raya."
Sebahagian ulama berpendapat bahawa maksud ayat tadi adalah keumuman solat. Bukan khusus solat hari raya. Ertinya ayat ini memerintahkan untuk mengEsakan Allah SWT dengan melaksanakan solat dan berkorban. Berdasarkan Firman Allah:
"Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam."
(Al-An’am: 162)
Pendapat ini dipilih oleh Imam Ibnu Jarir dan Imam Ibnu Katsir r.h.
Antara dalil lain, adalah hadis dimana Nabi s.a.w memerintahkan keluar untuk menunaikan solat, bahkan baginda memerintahkan juga para wanita untuk keluar solat.
Diriwayatkan oleh Bukhari (324) dan Muslim (890) dari Ummu Atiyyah radhiallahu anha, dia berkata:
أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُخْرِجَهُنَّ فِي الْفِطْرِ وَالأَضْحَى الْعَوَاتِقَ وَالْحُيَّضَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ ، فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَعْتَزِلْنَ الصَّلاةَ وَيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُسْلِمِينَ . قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِحْدَانَا لا يَكُونُ لَهَا جِلْبَابٌ . قَالَ : لِتُلْبِسْهَا أُخْتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا
"Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam memerintahkan kami untuk keluar di hari raya Aidul Fitri dan Aidul Adha. Baik wanita yang baru baligh, wanita sedang haid dan wanita perawan. Sementara orang yang haid dipisahkan dari (tempat) solat. Agar mereka dapat menyaksikan kebaikan dan doa umat Islam." Saya berkata, ‘Wahai Rasulullah, ada di antara kami yang tidak mempunyai Jilbab (tudung)." Baginda bersabda, "Hendaklah saudara perempuannya memberinya (meminjamkan) tudung."
Perkataan 'Al-Awatiq' adalah jamak dari kata ‘Atiq' iaitu wanita yang telah atau hampir baligh atau layak untuk berkahwin.
Perkataan 'Dzawatil Khudur’ adalah para perawan.
Syeikh Uthaimin rahimahullah berkata:
"Pendapat saya bahawa solat hari raya itu fardu ain. Tidak dibolehkan bagi lelaki meninggalkannya, mereka wajib hadir. Kerana Nabi sallallahu alaihi wasallam memerintahkannya, bahkan baginda memerintahkan para wanita yang baru baligh dan para gadis untuk keluar solat hari raya. Bahkan baginda memerintahkan wanita haid untuk keluar akan tetapi dipisahkan dari tempat solat. Hal ini semakin menguatkan kewajipannya."
(Majmu Al-Fatawa, 16/214)
Beliau juga berkata:
"Yang paling kuat sesuai dalil yang ada bahawa solat hari raya adalah fardu ain. Hal itu diwajibkan kepada seluruh lelaki untuk menghadiri solat hari raya, kecuali yang mempunyai uzur (alasan kuat)." (Majmu Al-Fatawa, 16/217)
Wallahua'lam
[Gerakan PENA Malaysia]
Comments
Post a Comment