OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Semua cara itu saya pernah amalkan kecuali menulis dengan singkatan ص atau صلعم, dan dalam tulisan rumi, saya sekarang memilih menggunakan singkatan SAW (ejaan lama: s.a.w) yang termaktub dalam Kamus Dewan sebagai kependekan kepada ucapan selawat, ṣalla Allāh ‘alay-hi wa-sallam. Kerana melakukan demikian, saya ditegur.
Supaya perkara ini tidak menjadi rumit dan punca kepada sangkaan yang tidak baik, dijelaskan di sini bahawa terdapat perbezaan dalam kalangan salaf dan mutaqaddimīn - sebagaimana yang diriwayatkan daripada mereka - tentang amalan menulis selawat dan salam itu sendiri. Sebahagian mereka dikatakan menulis lafaz selawat setiap kali menulis nama baginda, sebahagian mereka pula didapati tidak menulis lafaz selawat di kebanyakan tempat.
Kata Khatib al-Baghdādī dalam al-Jāmi‘ li-Akhlāq al-Rāwī:
رأيت بخط أبي عبد الله أحمد بن محمد بن حنبل في عدة أحاديث اسم النبي، ولم يكتب الصلاة عليه، وبلغني أنه كان يصلي على النبي صلى الله عليه وسلم نطقا لا خطا، وقد خالفه غيره من الأئمة المتقدمين في ذلك.
“Saya melihat nama Nabi dengan tulisan Abū ‘Abd Allāh Aḥmad b. Muḥammad b. Ḥanbal pada beberapa hadis, dan beliau tidak menulis selawat ke atas baginda. Sampai cerita kepada saya bahawa beliau berselawat ke atas Nabi SAW dengan melafazkannya bukan dengan menulisnya. Ulama-ulama lain daripada kalangan imam-imam mutaqaddimīn menyalahinya dalam hal itu.”
Kata-kata beliau, “ulama-ulama lain daripada kalangan imam-imam mutaqaddimīn menyalahinya” seolah-olah memahamkan bahawa Imam Aḥmad bersendirian melakukannya, atau kebanyakan ulama mutaqaddimīn menulis selawat setiap kali menyebut nama baginda, dan hal ini bertentangan dengan kata-kata Syeikh Aḥmad Shākir dalam tahkik al-Risālah:
ومما يلاحظ في النسخة أن الصلاة على النبي لم تكتب عند ذكره في كل مرة، بل كتبت في القليل النادر، بلفظ " صلى الله عليه". وهذه طريقة العلماء المتقدمين، في عصر الشافعي وقبله.
“Yang didapati dalam naskhah (manuskrip al-Risālah yang asal) bahawa selawat ke atas Nabi tidak ditulis ketika menyebut baginda pada setiap kali, bahkan ditulis dalam qalīl nādir (amat jarang) dengan lafaz ṣalla Allāh ‘alay-hi. Ini cara ulama mutaqaddimīn pada zaman al-Shāfi‘ī dan sebelumnya."
Kemudian, Syeikh Aḥmad Shākir menyinggung sikap muta’akhkhirīn yang shadīd dalam hal ini. Katanya:
وقد شدد فيها المتأخرون، وقالوا: ينبغي المحافظة على كتابة الصلاة والتسليم، بل زادوا أنه لا ينبغي للناسخ أن يتقيد بالأصل إذا لم توجد فيه.
"Ulama muta’akhkhirīn keras dalam hal ini dan mengatakan, ‘wajib melazimi menulis selawat dan salam,’ bahkan menambah bahawa penyalin tidak harus terikat dengan manuskrip asal jika selawat dan salam itu tidak tertulis di situ."
Ada hadis tentang perkara ini, yang berbunyi:
من كتب عني علما وكتب معه صلاة علي، لم يزل في أجر ما قرئ ذلك الكتاب.
"Sesiapa menulis satu ilmu daripadaku dan menulis bersamanya selawat ke atasku, tidak putus-putuslah ia beroleh pahala selama kitab itu ditulis."
Namun, hadis tersebut palsu kerana terdapat rawi waḍḍā‘, Abū Dāwūd Sulaymān b. ‘Amr al-Nakha‘ī. Kata al-Dhahabī, “saya kira ia palsu. Telah diriwayatkan seumpamanya daripada Abū Bakr dan Ibnu ‘Abbās dan tidak ada satu pun daripadanya yang sahih. Wallahualam.”
Terdapat beberapa riwayat daripada salaf dan mutaqaddimīn yang menggalakkan amalan ini, tetapi kebanyakannya berpunca daripada mimpi. Salah satunya riwayat daripada ‘Umar b. Abū Sulaymān al-Warrāq, katanya:
رَأَيْتُ أَبِي فِي النَّوْمِ، فَقُلْتُ: مَا فَعَلَ اللَّهُ بِكَ؟ قَالَ: غَفَرَ لِي، قُلْتُ: بِمَاذَا؟ قَالَ: بِكِتَابَتِي الصَّلَاةَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ فِي كُلِّ حَدِيثٍ.
“Saya nampak ayah saya dalam tidur. Saya bertanya kepadanya, ‘apakah yang Allah lakukan kepada ayah?’ Katanya, ‘Dia mengampuni ayah.’ Aku bertanya, ‘dengan apa?’ Jawabnya, ‘dengan perbuatan aku menulis selawat ke atas Rasulullah dalam setiap hadis.’"
Walau bagaimana, setakat yang diteliti, semua riwayat daripada salaf tentang perkara ini tidak sabit, termasuk riwayat tadi.
Kesimpulan yang ingin disampaikan, SAW yang menjadi pilihan saya ketika menulis dalam bahasa Melayu ejaan rumi, walaupun tidaklah seperti ṣalla Allāh ‘alay-hi wa-sallam, صلى الله عليه وسلم, atau ﷺ, namun secara pastinya lebih baik dari segi ‘urf daripada meninggalkan terus.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment