Carilah Sahabat Yang Baik

OLEH: Zulfikar Egar


Rasulullah S.A.W bersabda:

“Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap”. 
[HR Bukhari]

Bukan sekadar itu sahaja, sahabat dan kawan yang melekakan kita pun jika boleh, cuba elak dari berkawan dengan kawan yang melekakan kita.

Bukan putus sahabat. Tak boleh, berdosa. Maksud cuba elakkannya ialah, renggangkan sikit hubungan kita dengan mereka yang bersifat demikian.

Kata Ustaz Dr. Kamilin Jamilin yang boleh kita jadikan nasihat dan pedoman dalam berkawan ini;

Carilah sahabat-sahabat dan kawan-kawan soleh yang boleh membuatkan kita berdampingan dengan ilmu. Jangan cari kawan-kawan yang melekakan kita.

Jangan cari dan duduk dengan sahabat-sahabat yang menyebabkan kita jauh daripada ilmu.

Sebab itu al-Iman as-Syafie Rahimahullah ada menyebutkan dalam bait syairnya;

"Kalaulah aku tidak menjumpai, tidak memiliki sahabat yang membawa aku ke jalan yang yang baik, maka aku bersendirian lebih aku sukai".

Iman Syafie kata, beliau lebih suka hidup berseorangan daripada beliau duduk bersama dengan orang yang akan menarik dirinya ke lembah kebinasaan.

Tetapi ini berlainan pula dengan kita pada hari ini. Kita banyak bersama dengan kawan-kawan yang melekakan kita.

Bila kita bersama dengan kawan kita, kita tidak bersembang tentang ilmu. Kita tidak bersembang tentang perkara yang mendekatkan kita dengan ilmu atau yang mendekatkan kita dengan Allah Azza wa Jalla.

Kita lebih kepada untuk berbicara soal-soal dunia. Seperti bola sepak misalnya.

"Semalam MU menang ke kalah? Liverpool menang ke kalah?"

Kita siap debat pasukan manakah yang lebih bagus. Kita tak berbincang tentang ilmu.

Menyebabkan akhirnya kita jauh daripada ilmu. Para ulama' dulu, apa yang menguatkan mereka sentiasa nak belajar adalah, mereka sentiasa ada sahabat-sahabat yang mempunyai tujuan yang sama.

Seperti kita mempunyai rakan pergi ke gym misalnya. Kalau kita nak bersukan, adakah kita akan sorang-sorang bersukan? Kita akan bosan. Cuba kita main bola sorang-sorang. Tidakkah kita akan bosan?

Kita main bola, kita gol kan sendiri. Kita bawa bola tu, buat acah-acah orang akan rebut daripada kita. Sudah pasti kita akan bosan.

Orang yang pergi gym misalnya. Dia akan bosan kalau pergi bersukan sorang-sorang.

Tetapi Allah jadikan kita ini mempunyai kecenderungan mahu berteman. Sebab itulah, carilah teman yang mampu membantu kita untuk dekat dengan ilmu.

Kita lihat ulama' zaman dahulu. Al-Imam Ahmad bin Hambal. Beliau sentiasa bersahabat dengan Yahya bin Muin, seorang ulama' besar dalam bidang hadis.

Kita lihat pula Abu Hatim. Beliau selalu bersama dengan Abu Zuhrah ar-Razi, sahabat yang bersama dalam menuntut ilmu.

Dan ramai lagi para ulama' seperti Abu Rani al-Maqdisi, beliau selalu bersama dengan Ibnu Qudamah Al-Hambali, yang mana sahabat yang soleh akan mampu untuk nak membawa kita lebih bersama dengan ilmu.

Contoh-contoh sebeginilah, bila kita bersama dengan sahabat yang soleh. Kita selalu dapat bermuzakarah dengan dia. Kita aka selalu cari semangat dengan sahabat sebegitu.

Kalau tidak, memang kita akan hanyut dan kita akan terus leka.

Wallahualam.



*Rujukan:
- Ustaz Dr. Kamilin Jamilin (Elak berkawan dengan kawan yang melekakan kita)


___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments