OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman
Syubhat seperti Parlimen sudah dibubarkan. Syubhat yang mengatakan apabila Parlimen dibubar, tidak ada kerajaan. Bahkan sehingga ada yang kata apabila Parlimen dibubarkan, tidak ada kerajaan dan tidak ada pembangkang. Pendek katanya, tidak ada lagi ketaatan kepada pemerintah, dan tidak ada lagi istilah Khawarij dan juga Bughat.
Makanya setelah Parlimen dibubarkan, tidak ada pemerintah, maka tidak ada ketaatan kepada sesiapa, maka sesudah itu adanya kempen pilihan raya di mana masing-masing mengangkat dirinya untuk dicalonkan. Satu perkara yang jelas memang ditegah di dalam Syarak di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam secara jelas mengatakan,
لاَ تَسْأَلُ الْإِمَارَةَ، فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيْتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا وَإِنْ أُعْطِيْتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا
“Janganlah engkau meminta-minta jawatan. Kerana jika engkau diberi tanpa memintanya nescaya engkau akan ditolong (oleh Allah). Namun jika diserahkan kepadamu kerana permintaanmu nescaya akan dibebankan kepadamu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan mereka ini jelas meminta jawatan. Bahkan mereka meminta sebesar-besar jawatan; sebagai wakil rakyat, sebagai ketua sebuah kawasan, bahkan hingga jawatan-jawatan yang lebih besar daripada itu. Jelas perbuatan mereka ini bercanggah dengan Syarak.
Tetapi apa alasan mereka? Mereka mengatakan bahawa ini sistem demokrasi. Demokrasi membolehkan untuk kita membuat kempen kepada kepartian. Sedangkan kepartian itu jelas mengajak kepada memecah belahkan umat Islam.
Maka akhirnya apa yang terjadi seperti mana yang kita lihat. Cukup sedih, masyarakat kita, bangsa kita, orang Melayu kita, yang seagama dengan kita, sama latar belakang, warna kulit, bahasa semua sama, hidung sama-sama penyek, tetapi kerana parti lain-lain, mereka hingga sanggup mengeji sama-sama mereka, menghina sama-sama mereka, membuka aib sesama yang lain kerana hendak mengangkat dan memenangkan parti masing-masing dan lebih penting lagi hendak mengalahkan parti yang lain. Kerana apa, kerana demokrasi membolehkan. Kita katakan kepada mereka,
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ
“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki? “
(Surah Al-Maidah, 5: 50)
Apakah kita hendak berhukum dengan hukum hakam Jahiliyyah? Apakah kita hendak berhukum dengan hukum hakam yang jelas datang daripada Thaghut? Selain daripada hukum Allah namanya adalah Thaghut, dan kita kena tahu bahawa demokrasi bukan daripada Islam. Bunyinya pun ‘demokrasi’, tidak ada sedikit pun bunyi bahasa Arab. Baca Al-Quran, baca Sunnah, baca Hadis-hadis, tidak ada terungkap istilah demokrasi. Jelas. Bahkan semua mengaku bahawa ini adalah perkataan daripada Yunani.
Jadi apa kena mengena ianya dengan kita orang-orang Islam yang telah diberi hidayah, yang Allah telah utuskan Rasul kepada kita untuk mengajak kepada kebenaran. Kita baca Al-Quran surah Al-Baqarah,
ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
“Ini adalah kitab yang tidak ada keraguan sedikit pun padanya. Petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa”
(Surah Al-Baqarah: 2)
Al-Quran sebagai petunjuk dan cahaya kepada orang-orang yang bertakwa. Lalu kita entah bagaimana tersilap, kita terkeliru, kita tertipu dengan demokrasi. Bahkan ada orang agama yang dengan tanpa segan silu dan dengan penuh berani berkata ini sistem demokrasi. Kalau orang awam berkata begini tidak mengapa, tetapi yang mengatakannya adalah orang agama.
Tidak ada Firman Allah, tidak ada Sabda Rasulullah, sebaliknya yang dia ada, “Kata demokrasi”, “Kata pengasas demokrasi” yang kalau kita lihat, ini semua jelas daripada orang kafir Barat daripada Yahudi dan Nasrani yang jelas memang hendak memecahbelahkan umat Islam, yang memang hendak supaya kita menjadi seperti mana keadaan kita pada hari ini. Memang ini yang dikehendaki oleh musuh-musuh Islam, supaya kita saling bertelingkah, berbalah, caci maki, hina menghina, membuka aib.
Saya yakin dan pasti bahawa orang Yahudi dan Nasrani sekarang di belakang Amerika atau di mana-mana kerajaan Eropah dan kuasa-kuasa besar memang suka melihat apa yang berlaku ke atas negara Umat Islam pada hari ini. Inilah yang mereka inginkan. Bergaduhlah Labu dan Labinya, dengan parti-partinya yang akhirnya apabila sudah bergaduh seperti ini, “menang jadi arang, kalah jadi abu”. Memang ini yang dikehendaki oleh mereka.
Jadi suatu yang amat mendukacitakan, orang yang tertipu dengan demokrasi, bahkan ada yang menyangka bahawa demokrasi ini adalah satu penawar yang mampu untuk membawa kemakmuran dan keadilan. Kononnya mereka hendak menegakkan (kemakmuran dan keadilan dengan demokrasi).
Kita bercerita tentang orang yang ada roh atau jiwa Islam. Kalau orang yang liberal, yang tidak salat dan tidak menghiraukan hukum hakam Islam, itu lain, itu satu masalah yang lebih besar. Tetapi kita sedang cerita tentang orang yang inginkan Islam, orang yang cuba membawa Islam ke tengah masyarakat dan hendak menegakkan Islam di negara.
Namun, sejak bila pula negara Islam akan dapat ditegakkan dengan cara yang dibawa oleh orang kafir? Kalau kita lihat dengan akal yang sihat pun, ini adalah mustahil. Masakan dengan sistem kafir kita boleh menegakkan Negara Islam. Satu benda yang bercanggah sama sekali. Kalau kita katakan sistem kafir demokrasi ini akan menghancurkan Islam, ya, itu memang kena. Tetapi jika kita kata dengan sistem demokrasi, kita masuk dalam Parlimen, kita hendak bawa Islam dalam Parlimen?
Parlimen berdiri di atas ‘Government of the people, by the people, for the people’. Tidak ada untuk Allah, tidak ada kerana Allah, dan tidak ada disebut pun Al-Quran dan Al-Sunnah.
Bagaimana kita hendak membawa Islam dalam sistem yang memang tertegak di atas Thaghut? Akhirnya kita ini adalah ibarat orang yang cuba hendak membawa islah (pembaikan), hendak membetulkan keadaan masyarakat dengan cara masuk dalam demokrasi dan masuk dalam parlimen. Para ulama membuat satu perumpamaan yang cukup cantik di mana mereka berkata, ibarat orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam tong najis lalu dia berusaha untuk membersihkan najis itu di dalam tong tersebut.
Berenanglah seberapa banyak pun, kutiplah najis seberapa banyak pun, tetapi selama mana anda di dalam tong itu, itu memang tong najis. Masakan anda dapat membersihkan tong itu sedangkan anda sendiri di dalam tong itu?
Maka kita kata, wahai manusia yang berakal, kembalilah kepada panduan Al-Quran dan Sunnah. Tong itu perlu ditolak, perlu dijauhkan, dibuang jauh-jauh. Jangan kita masuk dalam tong itu. Baru betul. Kita bawakan Al-Quran dan Al-Sunnah dan tong-tong najis Taghut ini perlu dibuang jauh-jauh. Sama sekali tong-tong najis ini tidak akan menjadi penawar. Bahkan kalau kita masuk dalam tong najis, jelas apa akan jadi? Macam-macam penyakit akan hinggap kepada kita.
Maka jelas bahawa demokrasi, parlimen adalah ibarat racun yang disangka penawar. Maka siapa yang ambil penawar ini akhirnya dia akan terkena racun. Maka lambat laun, dia akan sakit.
Kalau dia ada semangat Islam, memang kita puji, kita akui, barangkali niat mereka ini ikhlas. Kita tidak nafikan keikhlasan mereka. Tetapi cara mereka yang masuk ke dalam sistem Thaghut, Kafir, Yahudi, Barat, mereka masuk ke dalam Parlimen kononnya hendak membawa Syariat Islam, kita katakan ini bukan caranya.
Niat kamu mungkin ikhlas, tetapi niat sama sekali tidak menghalalkan cara. Maka niat perlu betul, caranya juga perlu betul.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah bersekongkol dengan orang-orang kafir Arab Jahiliyah, mengikut telunjuk mereka, mengikut cara pentadbiran mereka. Jelas orang kafir Jahiliyah ada sistem pemerintahan mereka. Tetapi kita lihat adakah Rasulullah mengikut sistem mereka? Adakah Rasulullah mengikut sistem Abu Lahab, Abu Jahal? Jauh sama sekali. Sebaliknya Rasulullah terus berdiri teguh dengan dakwah Islam yang dibawanya. Rasulullah berdiri teguh, tidak terkesan pun dengan tekanan, gangguan, ejekan, dan bermacam-macam tohmahan yang dilemparkan kepadanya. Baginda terus dengan dakwah Tauhid.
إِنْ تَنْصُرُوا اللهَ يَنْصُرْكُمْ
“Sekiranya kamu menolong (agama) Allah, Allah akan menolong kamu.”
(Surah Muhammad, 47: 7)
Bahkan realiti di sekeliling kita, ada satu Jemaah. Bukan di Malaysia, tetapi Jemaah di Mesir sana misalannya. Ikhwanul Muslimin, sudah hampir 100 tahun ia diasaskan. Tetapi mengenangkan bahawa cara atau metod dakwah mereka adalah dengan cara masuk dalam politik lalu beramal dengan sistem orang kafir, dan baru-baru ini kita melihat bahawa mereka masuk Parlimen juga di Mesir sana, kita lihat apa hasilnya?
Hasilnya terus menampakkan kekusutan, kekeliruan, dan musibah ke atas umat Islam. Akhirnya kita lihat umat Islam di Mesir masih berada di takuk yang lama kalau bukan terus melarat. Kejahilan terus berleluasa. Kekufuran, perkara-perkara syirik, perkara-perkara bid’ah terus berleluasa di Mesir.
Kita tidak kata Islam tidak menekankan politik. Ya, politik adalah sebahagian daripada Islam, tetapi politik Islam. Politik mengikut hukum hakam Al-Quran dan Sunnah. Bukan politik demokrasi Thaghut. Demokrasi Thaghut sama sekali bukan daripada politik Islam.
Maka kita melihat memang menjadi satu realiti apabila pendakwah-pendakwah menyibukkan diri mereka dengan politik Thaghut demokrasi, akhirnya apakah mereka dapat memberi manfaat kepada masyarakat di sekeliling mereka?
Kita ambil satu contoh, kita tengok di Negeri Kelantan yang kononnya serambi Makkah, dan parti Islam telah memerintah di sana selama berapa tahun? Bagaimana dakwah salaf atau bagaimanakah dakwah Islam di sana; adakah terus subur dan berkembang? Ataupun bagaimana? Kalau kita lihat masyarakat di Kelantan, mereka dua kali lima kalau bukan lebih teruk lagi daripada masyarakat Islam di negeri-negeri lain.
Ini satu bukti yang cukup jelas menunjukkan bahawa parti Islam di sana “La yusmin wa la yughni min juu’” (mereka tidak mengenyangkan mahupun mampu memberi alas di dalam perut). Maka akhirnya masyarakat semua dahaga. Mendahagakan dakwah Islam yang sebenarnya. Mereka terus jahil. Kita lihat akhlak mereka pun sudah cukup. Apabila ada forum atau perbincangan, mereka bertempik-tempik, mengangkat-angkat suara, dan mengejek-ejek. Ini akhlak apa?
Tengok pada akhlak sahaja sudah cukup. Tidak perlu lihat pada yang lain. Jika dilihat ibadah solatnya, adakah ikut ibadah solat Rasulullah? Akidahnya, ikut akidah Salaf Al-Saleh? Akidahnya bercelaru. Dan baru-baru ini pula diserap dengan Syiah pula. Memang semakin parah dan semakin parah. Tetapi ini tidak menghairankan, kerana apabila mereka meninggalkan petunjuk Allah dan Rasul, inilah hasilnya.
Akhirnya mereka terus menyimpang, menyimpang dan menyimpang jauh ke dalam lembah kesesatan. Ini harus kita ambil tahu, moga-moga kita tidak tergolong di dalam golongan yang tertipu dan terpukau dengan sistem Thaghut demokrasi.
Di dalam Islam cuma ada satu. Iaitu taat kepada pemerintah walaupun pemerintah itu zalim. Tidak ada istilah bahawa pemerintah itu ada tempoh masanya. Tidak ada istilah bahawa apabila Parlimen dibubarkan tidak ada pemerintah. Ini semua bohong.
Kalau benar tempoh pemerintahan itu berhenti apabila Parlimen dibubarkan, cuba kita fikir semula apa yang dikatakan itu. Orang yang berkata begini memang jahil, bukan sahaja jahil agama bahkan jahil realiti di sekeliling. Ini kerana kalau tidak ada pemerintah, tengok apa yang berlaku di Iraq apabila Saddam dijatuhkan. Itu betul tidak ada pemerintah. Apa jadi? Huru hara, kacau bilau, bunuh membunuh, rompak merompak, rogol, segala bentuk jenayah berlaku. Kenapa? Kerana tidak ada pemerintah, tidak ada penguasa yang akan mengambil tindakan.
Memang itu yang berlaku apabila Saddam Hussein jatuh, tidak ada pengganti. Bahkan sehingga ke hari ini, pemerintah di Iraq sedang berusaha untuk mengawal keadaan. Tetapi apabila negara itu sudah hancur, apabila segala jenis kacau bilau sudah timbul, baru hendak cuba redakan dan baru hendak cuba menguasai keadaan, sudah agak terlambat.
Jadi kalau benar tidak ada pemerintah, kita akan melihat bahawa keadaan di sekeliling kita semua jadi huru hara. Kita akan merasa ketakutan. Tidak ada keamanan. Keluar malam-malam takut kena rompak, takut rumah kita didatangi pencuri, sebab tidak ada pemerintah. Siapa yang akan mengambil tindakan? Siapa yang hendak tangkap? Siapa yang akan dakwa dan ambil tindakan jika tidak ada pemerintah.
Jadi jelas, kita melihat di sekeliling kita semua Alhamdulillah, semua normal, tidak ada apa-apa berubah, menunjukkan bahawa ada pemerintah. Tidak perlu berfalsafah. Ini semua istilah-istilah demokrasi Thaghut yang menipu yang mengatakan apabila Parlimen dibubarkan tidak ada pemerintah. Ini semua cerita dongeng, cerita khayalan. Buktinya, pemerintah itu terus melaksanakan tugasnya, dan yang di bawah terus mendengar arahan pemerintah yang di atas. Semuanya berjalan seperti biasa.
Maka kerana itu kita mengatakan bahawa pemerintah itu perlu terus ditaati dan perlu disokong, tidak semestinya kerana kita suka dia. Bahkan apa juga kesalahan tindak tanduknya, kita perlu benci. Apa juga maksiat dan kezaliman, rasuah, penyelewengan, kita wajib benci. Itu sebahagian daripada iman seorang Muslim.
Tetapi apa yang pasti, itu tidak membolehkan kita tidak taat kepada pemimpin. Kita terus taat walaupun terhadap pemerintah yang zalim.
-----------------------------------------------
Jawapan:
Bukan Allah tidak berkuasa, tetapi orang Islam yang tidak berkuasa. Orang Islam bertempik sahaja banyak. Buat demonstrasi sahaja lebih. Bertempik di depan Kedutaan Amerika. “Hancur, hancur! Amerika Hancur Hancur!” Bertempiklah banyak-banyak. Sedangkan Allah berfirman,
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدْوَّ اللّهِ وَعَدُوَّكُمْ
“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka (musuh) segala yang kamu mampu dari kekuatan dan juga pasukan-pasukan berkuda yang siap sedia yang mampu menakutkan musuh Allah dan juga musuh kamu.”
(Surah Al Anfaal, 8: 60)
Mana kekuatan kita? Kekuatan makan, kekuatan tidur, kekuatan berbalah sesama sendiri, itu kita ada. Jutaan ringgit dilaburkan semata-mata kerana hendak membuat pilihanraya, di mana akibatnya parti-parti bergaduh sesama umat Islam.
Bagi saya, kita umat Islam (perlu) bersatu. Memang kita akui bahawa demokrasi itu terpaksa. Kalau kita hendak tukar sistem itu terus kepada sistem Islam dalam sehari semalam itu memang mustahil. Sistem demokrasi ini adalah satu sistem yang kita warisi akibat daripada penjajahan Barat. Kita akui, tetapi paling tidaknya fikirlah sikit, kita kena cerdik sikit.
Kita beramal dengan demokrasi kerana terpaksa, memang kita akui kalau kita hendak tukar kepada sistem Islam kita kena tanya; Adakah kita sudah bersedia untuk berdepan dengan Amerika atau tidak? Kerana apa yang pasti Amerika dan negara-negara kuasa besar yang lain akan datang ke negara kita, kerana kita tidak mengikut telunjuk mereka untuk melaksanakan sistem demokrasi.
Adakah kita bersedia untuk berdepan dengan kuasa-kuasa besar ini? Tidak. Jangan hairan, kita hidup di alam realiti. Kita belum bersedia. Kerana itu kita mengamalkan demokrasi kerana terpaksa. Dalam masa yang sama, kita perlulah cerdik sedikit. Janganlah kita ikut sahaja apa yang demokrasi itu kata sehingga kita lupa halal dan haram. Sehingga benda-benda yang haram pun kita bantai semacam kerana demokrasi kata boleh.
Kita kena cerdik. Umat Islam bersatu di bawah pemerintah di negara kita yang Alhamdulillah Islam. Kalau pemerintah bukan Islam, na’uzubillah. Kalau naik pemerintah kafir, apa yang wajib kita buat? Kita kena berhijrah ke negara Islam kalau negara ini sudah jadi negara kafir. Saya memang pelik apabila ada yang mengatakan negara ini bukan negara Islam. Kalau begitu, apa yang mereka buat di sini? Tinggal di negara kafir, kamu membayar cukai, membayar saman dan sebagainya membantu negara kafir yang kamu dakwa? Kamu patut berhijrah pergi ke negara-negara Islam yang lain, kalau benar ini negara kafir. Tetapi ini pemikiran orang yang dangkal.
Maka orang Islam sepatutnya bersatu di bawah pemerintah Islam. Dan biarlah kalau ada pembangkang, memang dalam demokrasi kena ada pembangkang, biarlah orang-orang kafir yang masuk pembangkang. Baru jadi. Orang Islam bersatu, berdepan dengan pembangkang dari kalangan orang kafir yang memang kita tidak hairan kalau orang kafir akan terus ada yang menentang pemerintah Islam. Tetapi yang kita hairan adalah orang Islam yang seagama dan ada hak sesama saudara seIslamnya tetapi dia tergamak untuk menentang pemerintah Islam dengan alasan demokrasi membenarkan.
Jadi akhirnya Umat Islam bertelagah sesama sendiri, kekuatan Islam apa pun tidak buat, tidak ada satu pun negara Islam yang telah mempersiapkan dirinya dengan kekuatan, dengan persenjataan yang canggih dan teknologi. Tidak ada satu pun negara Islam yang melakukan persediaan sedangkan ini adalah perintah Allah,
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدْوَّ اللّهِ وَعَدُوَّكُمْ
“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka (musuh) segala yang kamu mampu dari kekuatan dan juga pasukan-pasukan berkuda yang siap sedia yang mampu menakutkan musuh Allah dan juga musuh kamu.”
(Surah Al Anfaal, 8: 60)
Ini perintah, tetapi tidak ada satu pun negara Islam yang buat. Kita tidak hairan kenapa tidak ada satu pun negara yang buat. Masakan tidak, mereka sibuk bergaduh sesama sendiri kerana hendak mendokong demokrasi lebih daripada hendak mendokong Syariat Allah.
Tapi yang pelik bin ajaib, dalam masa mereka hendak beramal dengan sistem demokrasi yang memecahbelahkan umat, yang memang akan menjadikan mereka lemah, tetapi dalam masa yang sama ada pula yang berani hendak membebaskan Palestin. Kamu cakap apa, adakah kamu sedang berkhayal? Kamu dengan bangsa kamu, dengan sesama Islam pun kamu bergaduh yang menyebabkan kamu jadi lemah, kemudian tunjuk berani hendak berdepan dengan kuasa Barat, orang kafir, Amerika, negara-negara kuasa besar yang lain. Bukan kita membesar-besarkan mereka, tetapi apa yang pasti, walaupun kita tidak nafikan bahawa mereka juga bergaduh sesama mereka, tetapi apa yang pasti, kalau berdepan dengan orang Islam, mereka bersatu.
Buktinya cukup jelas, mana-mana negara yang cuba hendak mengganggu Israel, apa yang pasti mereka sepanjang masa setia di belakang Israel. Adapun kita yang bergaduh sesama kita, ada pula yang hendak tunjuk berani hendak membebaskan Palestin. Mereka ini berkhayal. Akhirnya dia tidak menegakkan Islam dalam dirinya mahupun dalam negaranya, jauh sekali hendak menegakkan Islam di bumi suci Palestin.
Wallahu a’lam.
___________________________
~Ustaz Idris Bin Sulaiman~
Pendakwah Bebas
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment