OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Allah berfirman:
"Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil)..." (Al Maaidah: 27)
[Penyebab Dilakukan Kurban]
Al 'Aufi meriwayatkan dari Ibn Abbas, dia mengatakan: “Pada saat itu tidak terdapat orang miskin yang perlu diberi sedekah, melainkan kurban itu dilakukan untuk mendekatkan diri. Ketika keduanya duduk-duduk, keduanya berkata: "Bagaimana kalau kita mempersembahkan kurban. Jika seseorang mempersembahkan kurban, lalu diredai Allah, Allah akan mengirimkan api kepada kurban itu untuk memakannya. Jika tidak diredai-Nya, api itupun padam". Lalu keduanya pun mempersembahkan kurban. Salah seorang diantara keduanya adalah seorang penggembala, yang lainnya adalah seorang petani. Si penggembala mempersembahkan kambing yang paling bagus dan gemuk, yang lainnya mempersembahkan beberapa dari hasil pertaniannya, lalu datang api di antara kedua persembahan itu. Maka api itu melahap kambing yang gemuk itu dan meninggalkan hasil tanaman tersebut. Selanjutnya salah seorang dari keduanya berkata kepada saudaranya: "Apakah engkau akan berjalan di antara orang ramai, dan mereka telah mengetahui bahawa engkau telah mempersembahkan kurban dan diterima, sedangkan persembahanku ditolak. Demi Allah tentunya, orang-orang tidak akan melihatku kerana engkau lebih baik dariku". Lalu dia berkata, "Aku akan membunuhmu". Maka saudaranya itu menjawab, "Apa salahku, kerana sesungguhnya Allah hanya menerima kurban dari orang-orang yang bertakwa" (diriwayatkan oleh Ibn Jarir)
Kisah diatas ini berbeza dari kisah yang selalu diceritakan bahawa punca persembahan dilakukan adalah rentetan dari penolakan Qabil berkahwin dengan kembarnya Habil. Kerana berdasarkan kisah diatas, Habil dan Qabil telah berniat untuk melakukan kurban sebagai rangka beribadah, tanpa ada kaitan dengan isu pernikahan.
Ibn Abu Hatim membawakan atsar Ibn Abbas bahawa Nabi Adam melarang seorang wanita berkawin dengan saudara lelaki kembarannya, dan dia memerintahkan agar wanita itu dikawini oleh lelaki lain dari kalangan saudara-saudara lelaki lain yang tidak sekembar dengannya. Tersebutlah bahawa setiap Nabi Adam mempunyai anak, dari setiap perut lahirlah seorang bayi laki-laki dan seorang bayi perempuan. Ketika mereka menjalankan peraturan tersebut, tiba-tiba lahirlah seorang anak perempuan yang cantik dan lahir pula seorang anak perempuan yang buruk wajahnya (dari kelahiran yang lain). Lalu saudara lelaki dari wanita yang buruk rupa itu berkata (kepada saudara lelaki wanita yang cantik), "Kawinkanlah aku dengan saudara perempuanmu, maka aku akan menikahkanmu dengan saudara perempuanku". Lelaki saudara si perempuan yang cantik menjawab, "Tidak, akulah yang lebih berhak untuk mengawini saudara perempuanku". Maka keduanya melakukan suatu kurban, dan ternyata yang diterima adalah kurban milik penternak, sedangkan kurban milik petani tidak diterima, maka si petani membunuh si penternak.
[Jenis Persembahan]
Inilah yang dipegang oleh Ibn ‘Abbas dan juga ulama lainnya, yang mengatakan tentang jenis haiwan peliharaan Habil yang dipersembahkan: “Yang dijadikan haiwan kurban adalah kibas". Lalu Ibn Katsir memperkuatkan nya dalam Tafsir Al Azim.
Tentang persembahan Qabil pula, Tafsir Al Mukhtashar sekadar menyebutkan bahawa Qabil mempersembahkan seikat biji-bijian kerana dia bekerja dengan bercocok tanam.
Tetapi ada pandangan dari sebahagian ulama yang menyebutkan bahawa Qabil mempersembahkan seikat gandum.
As Saddi membawakan kisah yang dia terima dari Abu Malik dan dari Abu Saleh, dari Ibn Abbas; juga dari Murrah, dari Ibn Mas'ud bahawa Habil mengurbankan seekor domba yang gemuk, sedangkan Qabil mengurbankan seikat gandum, tetapi ketika dia menjumpai sebutir gandum yang besar di dalamnya, segera dirontokkannya dan dimakannya. Kisah dari As Saddi ini dipetik oleh Ibn Jarir.
[Cara Berkorban]
Kisah diatas memperkuatkan pandangan yang mengatakan bahawa kurban dilakukan tanpa ada kaitan dengan pernikahan Qabil dan adiknya Habil. Serta dalam kisah ini juga diterangkan cara berkurban iaitu dengan meletakkan barang persembahan di atas bukit lalu Allah menurunkan api untuk mengambil kurban tersebut. Disebutkan bahawa Allah menurunkan api berwarna putih.
Ismail Ibn Rafi' Al Madani mengatakan bahawa telah dikisahkan kepadaku bahawa kedua anak Adam ketika diperintahkan untuk mempersembah kan kurban, salah seorang di antaranya adalah pemilik ternak kambing. Dan tersebutlah bahawa salah seekor dari kambingnya melahirkan anak kambing yang sangat dia sukai, sehingga di malam hari anak kambing itu dibawanya tidur bersama, dan dia menggendongnya di atas bahunya kerana sangat sayangkannya, sehingga tiada baginya harta benda yang lebih disukainya daripada anak kambing itu. Ketika dia diperintahkan untuk menyerahkan kurban, anak kambing itu telah besar, maka dia mengurbankannya kerana Allah swt. Maka Allah menerimanya, dan kambing itu masih tetap hidup di syurga sehingga dijadikan tebusan sebagai ganti anak Nabi Ibrahim as. Demikianlah menurut riwayat Ibn Jarir.
Kisah kambing Habil yang diangkat ke langit turut dinyatakan oleh Imam Al Qurthubi. Beliau menukilkan dari Sa'id bin Jubair dan lainnya bahawa kambing itu diangkat ke syurga dan hidup di sana hingga diturunkan lagi ke bumi untuk dijadikan pengganti bagi Nabi Ismail as ketika baginda hendak disembelih oleh Nabi Ibrahim as. Wallahu'alam.
[Manusia Telah Bertamadun Sejak Mula]
Adam itu adalah makhluk yang mulia, telah diajarkan segala nama iaitu ilmu ketika Baginda di syurga. Dan kemudiannya Allah turunkan Adam ke bumi untuk menjadikan Baginda dan anak keturunannya sebagai khalifah. Makanya Adam dan anak-anaknya sudah hidup bertamadun, sudah bercucuk tanam, sudah berternak malah sudah beribadah menyembah Tuhan Pencipta. Mereka juga mempunyai bahasa.
Teori haiwan berubah bentuk pertama kali diungkapkan oleh Al Jahiz dalam bukunya yang terkenal membicarakan pasal haiwan. Bila diselidik, rupanya Al Jahiz ini penganut mazhab Mu'tazilah. Kemudiannya pandangan Al Jahiz ini dikembangkan pula oleh Charles Darwin sehingga menetapkan bahawa manusia itu berasal dari beruk yang bergayut di atas pokok.
Untuk mengesahkan pandangan yang batil lagi hina ini maka dikatakanlah bahawa manusia telah hidup berjuta tahun lalu pelan-pelan turun ke bumi dan mula berjalan. Kemudian mula berburu haiwan dan akhirnya cuba untuk bertani dan berternak. Oleh itu dikhayalkan kepada masyarakat sejak di bangku sekolah bahawa manusia di zaman prasejarah dibahagikan kepada tiga zaman: Zaman Paleolitik, Zaman Mesolitik dan Zaman Neolitik.
Sesungguhnya masih banyak lagi kisah yang tidak benar yang dinyanyikan pada daun telinga kita sejak beratus tahun kebelakangan ini, yang akhirnya kita - umat yang meniti pada agama yang benar lagi lurus menyembah Tuhan Tunggal dengan tidak mensyirikkan-Nya - mempercayai kisah-kisah dusta di luar logika.
___________________________
~Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment