Tuhan Ada Dua?

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


MENTUHANKAN HAWA NAFSU: JENIS & HUKUMNYA

Allah berfirman:

أَفَرَءَیۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمࣲ.

Maksudnya:

"Tidakkah engkau melihat orang yang menjadikan HAWA NAFSUNYA sebagai tuhan (sembahan) yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah dalam keadaan dia tahu."

[Surah Al-Jathiyah, ayat 23]

Ayat di atas celaan terhadap perbuatan mengikut HAWA NAFSU.

Terdapat ayat-ayat lain yang turut membawa maksud yang sama seperti dalam Surah al-Furqan ayat 43, dan al-Qasas ayat 50.

Di sini persoalan, adakah perbuatan mengikut HAWA NAFSU merupakan satu bentuk penyembahan kepada selain ALLAH yang membawa kepada SYIRIK BESAR?

Hakikatnya ada perincian.

BUKAN semua perbuatan mengikut HAWA NAFSU sama hukumnya.

Ada yang bersifat KUFUR BESAR / SYIRIK BESAR (terkeluar daripada ISLAM), ada yang bersifat DOSA BESAR (tidak terkeluar daripada ISLAM) dan ada yang bersifat DOSA KECIL.

Sekiranya seseorang itu mengikut HAWA NAFSU sehingga mendustakan Nabi, memperlekehkan Agama atau berpaling daripadanya sebagaimana dalam konteks ayat surah al-Furqan di atas, maka ia perbuatan SYIRIK BESAR.

Demikianlah halnya dengan semua perbuatan mengikut HAWA NAFSU yang membuatkan orangnya terjebak dalam SYIRIK BESAR atau KUFUR BESAR seperti meminta daripada orang mati, menafikan mana-mana ajaran Agama yang sedia diketahui oleh rata-rata orang Islam, meninggalkan solat dan menghalalkan zina atau arak.

Adapun sekiranya dia mengikut HAWA NAFSU dengan bersumpah dengan selain nama ALLAH, riak dalam amal ibadahnya, maka dia terjebak dalam SYIRIK KECIL.

Jika dia mengikut HAWA NAFSU sehingga terjebak dalam hal bidaah yang BUKAN KUFUR maka dia MUBTADI (ahli bidaah).

Jika dia mengikut HAWA NAFSU sehingga terjebak dalam DOSA BESAR seperti zina, minum arak, tanpa menghalalkannya maka dia FASIK.

Jika dia mengikut HAWA NAFSU sehingga terjebak dalam DOSA KECIL, maka dia telah berbuat maksiat (bukan FASIK).

Ini menunjukkan bahawa, perbuatan mengikut HAWA NAFSU mempunyai tingkatan-tingkatan yang berbeza.

Justeru, SALAH untuk mengatakan bahawa perbuatan mengikut HAWA NAFSU adalah KUFUR BESAR TERKELUAR DARIPADA AGAMA secara MUTLAK dan PUKUL RATA.

Adapun ayat "Tidakkah engkau melihat orang yang menjadikan HAWA NAFSUNYA sebagai Tuhan (sembahan) yang dipatuhinya..."

Zahir ayat di atas bersifat umum merangkumi kedua-dua perbuatan mendatangi SYIRIK BESAR (terkeluar daripada ISLAM) dan juga SYIRIK KECIL (TIDAK terkeluar daripada ISLAM).

Sesiapa mengikut selain ALLAH, realitinya terdapat dalam perbuatannya suatu bentuk ubudiyyah penyembahan kepada apa yang selain ALLAH itu, dan hal ini boleh jadi KUFUR BESAR dan boleh jadi KUFUR KECIL.

Kerana itu sebahagian ulama melihat bahawa segala bentuk maksiat adalah termasuk dalam erti SYIRIK dalam erti kata amnya memandangkan bahawa semua mereka yang bermaksiat terhadap ALLAH telah mengikuti HAWA NAFSUNYA atau dengan kata lain - telah menyembah HAWA NAFSUNYA.

Hal ini seperti mana dalam sabda Rasulullah:

تعس عبد الدينار و عبد الدرهم إن أعطي رضي و إن لم يعط سخط

Maksudnya:

"Telah rugi PENYEMBAH dinar dan PENYEMBAH dirham. Jika diberi dia reda, dan jika tidak diberi dia mencela."
[Riwayat Bukhari]

Maka kembali kepada persoalan adakah perbuatan mengikut HAWA NAFSU menyebabkan orangnya jatuh KUFUR BESAR atau KUFUR KECIL?

Jawapannya, ia bergantung kepada jenis perbuatan. Boleh jadi orangnya terkeluar daripada ISLAM dan boleh jadi TIDAK sebagaimana dalam contoh-contoh yang telah diberikan di atas.

Kepada ALLAH jua kita memohon petunjuk dan perlindungan.


___________________________
 Ustaz Idris Sulaiman
_____________________________

Comments