Cinta Palsu : Surah Al-Masad Dibaca Dalam Solat?

OLEH: Dr Idris Sulaiman

Firman Allah ﷻ:
تَبَّتۡ يَدَآ أَبِي لَهَبٖ وَتَبَّ مَآ أَغۡنَىٰ عَنۡهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ سَيَصۡلَىٰ نَارٗا ذَاتَ لَهَبٖ وَٱمۡرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلۡحَطَبِ فِي جِيدِهَا حَبۡلٞ مِّن مَّسَدِۢ .
“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.”
[Al-Quran, al-Masad, 111:1-5]

Tiada dalil melarang bacaan surah al-Masad dalam solat.
Sedangkan Al-Quran keseluruhannya ialah kalam Allah ﷻ yang Muslim beribadah dengan membacanya dalam semua keadaan; dalam solat dan di luar solat.
Pandangan kononnya Nabi ﷺ tersinggung dengan sesiapa yang membaca surah ini kerana ia menceritakan tentang azab yang Allah ﷻ timpakan ke atas pakciknya Abu Lahab adalah batil sama sekali.

Realitinya Abu Lahab merupakan orang pertama yang menzahirkan permusuhan terhadap Islam apabila Nabi ﷺ menzahirkan dakwahnya dan dia telah melakukan pelbagai tipu daya dan kejahatan seperti meletakkan duri-duri di atas laluan yang digunakan oleh Nabi ﷺ bagi melukakan kakinya.

Dalam masa yang sama, surah al-Masad mengandungi mukjizatnya yang tersendiri kerana ia menceritakan tentang ancaman api neraka selama-lamanya ke atas kedua-dua Abu Lahab dan isterinya.
Padahal jika Abu Lahab memeluk Islam atau paling tidaknya berpura-pura masuk Islam nescaya kebenaran surah al-Masad ini akan paling tidaknya dipersoalkan.

Menurut Ibnu Kathir, surah al-Masad turun 10 tahun sebelum Abu Lahab mati akibat penyakit yang sangat mengerikan selang beberapa hari selepas kekalahan tentera kafir Quraisy dalam perang Badar pada tahun dua Hijrah.

Sungguh pelik, Allah ﷻ mencela Abu Lahab kerana permusuhannya terhadap Nabi ﷺ serta gangguannya ke atas baginda ﷺ tetapi ada pihak mahu bersimpati pula kononnya jaga hati Nabi ﷺ.
Semoga Allah pelihara kita daripada kesesatan yang zahir dan yang tersembunyi.



[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments