Hari Raya Ikut Negara Masing-Masing

OLEH: Dr Idris Sulaiman

Islam menganjurkan umatnya supaya menjaga kesatuan dan dilarang berpecah.
Ini termasuklah dalam penentuan tarikh mula berpuasa Ramadan dan tarikh jatuhnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Dalam hadis Nabi ﷺ bersabda:
الصَّوْمُ ‌يَوْمَ ‌تَصُومُونَ، ‌وَالفِطْرُ ‌يَوْمَ ‌تُفْطِرُونَ
“Puasa itu (permulaannya) adalah pada hari kalian berpuasa dan Hari Raya Puasa adalah pada hari kalian berhari raya.”
[Sahih. Riwayat al-Tirmidzi]

Kata Imam al-Tirmidzi sesudah meriwayatkan hadis di atas:
وَفَسّرَ بَعْضُ أهْل العِلْم هَذَا الحَدِيث، فَقَالَ: إنَّما مَعْنَى هَذَا الصَّوْم وَالفِطْر مَعَ الجَمَاعَةِ وَعِظَم النَّاسِ.
“Sebahagian ulama mentafsirkan hadis ini dengan mengatakan bahawa maksudnya puasa dan hari raya hendaklah dilaksanakan secara bersama-sama dengan majoriti manusia.”

Kata Imam al-San'ani dalam Subul al-Salam:
فِيهِ دَلِيلٌ عَلى أنَّهُ يُعْتَبَر فِي ثُبُوت العِيدِ الموَافَقَة لِلَّنَاسِ، وَأن المتَفَرّد بمعْرِفَة يَوْم العِيد بِالرُّؤيَة يَجبُ عَلَيهِ مُوَافَقَة غَيْرِه وَيَلْزَمه حُكْمُهم فِي الصَّلاةِ وَالإفْطَار وَالأضْحِيَة.
“Terdapat dalamnya dalil bahawa penetapan hari raya hendaklah mengikut apa ditetapkan oleh orang ramai, dan bahawasanya individu yang mengetahui tentang jatuhnya hari raya berdasarkan rukyah perlulah mendapat persetujuan mereka yang lain di samping akur dengan keputusan mereka dalam penentuan solat, hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.”

Kata Abu al-Hasan al-Sindi dalam Hasyiah Ibnu Majah:
وَالظَّاهِر أنّ مَعْنَاه أنّ هَذِه الأمُور لَيْسَ لِلآحَاد فِيهَا دَخْل، وَلَيْسَ لهَم التَّفَردِ فِيهَا، بَلْ الأمْرُ فِيهَا إلى الإمَامِ وَالجَمَاعَة، وَيجبُ عَلى الآحَادِ اتّبَاعهُم لِلإمَامِ وَالجَمَاعَة، وَعَلى هَذَا فَإذَا رَأى أحَدٌ الهِلال وَرَدّ الإمَامُ شَهَادَته يَنْبَغِي أن لا يَثْبت فِي حَقّه شَيْء مِن هَذِه الأمُورِ وَيجبُ عَلَيه أنْ يَتّبع الجَمَاعَةَ في ذَلكَ.
“Zahir maknanya ialah bahawa perkara-perkara seperti ini tidak ditentukan oleh orang-orang perseorangan dan bahawasanya mereka tidak boleh bertindak bersendirian di dalamnya. Sebaliknya ia ditentukan oleh pemerintah serta jemaah kaum Muslimin manakala orang-orang perseorangan perlu akur dengan ketetapan yang diputuskan oleh pemerintah serta jemaah kaum Muslimin. Justeru sekiranya seseorang itu melihat anak bulan tetapi kesaksiannya ditolak oleh pemerintah maka dalam keadaan tersebut dia tidak boleh bertindak mengikut kesaksiannya itu dan hendaklah dia turut bersama kaum Muslimin dalam hal tersebut.”




CATATAN
Sebahagian negara mungkin mendahului yang lain dalam menyambut hari raya. Tetapi umat Islam di setiap negara perlu akur dengan keputusan pemerintah di negara masing-masing. Usah ditambah perselisihan sedia ada antara negara-negara Islam dengan perselisihan antara masyarakat dalam sesebuah negara itu sendiri.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

[Gerakan PENA Malaysia]



Comments