OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Ramai yang mengambil mudah akan ibadah sunat, atas alasan hukumnya cuma sunat sahaja. Meninggalkannya tidak berdosa.
Natijahnya, ramai yang mengabaikan solat rawātib khususnya qabliyyah subuh, solat witir, sembelihan korban, dan beberapa ibadah sunat yang lain.
Ini sebenarnya faham yang silap. Ibadah sunat hampir menyamai ibadah wajib dari sudut keduanya diperintahkan untuk dibuat, bukan untuk ditinggalkan. Cumanya, meninggalkan wajib itu berdosa dan tidak pada meninggalkan sunat.
Perlu dijelaskan juga bahawa para ulama menyatakan, meninggalkan ibadah sunat secara total dalam erti kata langsung tidak melakukannya sepanjang hidup, dan meringan-ringankan perlaksanaannya, turut menjadikan seseorang itu berdosa.
Ulama besar dari kalangan tabi’īn, Sa’īd Ibn Jubair berkata :
لَوْ تَرَكْتُ الرَّكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ، خَشِيتُ أَنْ لَا يُغْفَرَ لِي
Maksudnya : Sekiranya aku meninggalkan dua rakaat sesudah solat maghrib (ba’diyah maghrib), aku takut aku tidak akan diampunkan.
Rujuk Musannaf Ibn Abi Syaibah (2/16)
Namun jika diteliti realiti hari ini, ibadah yang wajib pun mudah sahaja ditinggalkan tanpa rasa bersalah. Apalah sangat pada meninggalkan ibadah yang sunat. الله المستعان
___________________________
Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment