Disiplin Shu'bah Jika Ditanyakan Soalan

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Selaku orang yang digelar "ustaz" (walaupun tidak layak) saya menerima banyak pertanyaan tentang pelbagai masalah agama. Sejujurnya saya katakan bahawa kalau boleh saya tidak mahu menjawab soalan-soalan itu - kecuali yang termasuk dalam bidang kajian saya.

Menjawab soalan merupakan iftā' - iaitu memberi fatwa - dan ia tugas yang berat. Ulama salaf sering mengelak untuk memberi fatwa dan mengalihkan pertanyaan kepada orang lain. Kerana beratnya tugas inilah, dalam kalangan sahabat dan tabiin sendiri, hanya segelintir sahaja yang berani menjadi ahli fatwa.

Waraknya mereka dalam berfatwa mendorong mereka memindahkan pertanyaan kepada orang lain. Ini kerana orang yang berfatwa bertanggungjawab ke atas fatwa yang dikeluarkan.

Namun, apabila menjadi "ustaz", saya tidak dapat mengelak daripada menerima pertanyaan, dan kadang-kadang saya terpaksa menjawabnya dalam keadaan tidak yakin.

Keadaan ini pernah berlaku kepada Shu'bah b. al-Hajjāj (160 H), ulama hadis yang terkemuka. Beliau juga sering ditanya tentang masalah fiqh sedangkan kepakaran beliau yang sebenar adalah dalam bidang hadis.

Kerana keadaan yang memaksa, beliau menjawabnya dalam keadaan beliau sendiri tidak pasti sejauh mana kebenaran jawapan yang dikemukakan. Selepas memberi jawapan, barulah beliau menyemaknya dengan rakan-rakan.

Jika jawapan yang diberikan salah, beliau akan mencari orang yang bertanya dan membetulkan jawapan. Kata Imam al-Shāfi'i (204 H), sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Abī Ḥātim dalam Manāqib beliau:

وَكَانَ شُعْبَةُ إِذَا أَتَاهُ الرَّجُلُ يَسْأَلُهُ عَنِ الْمَسْأَلَةِ، سَأَلَهُ عَنِ اسْمِهِ وَمَوْضِعِهِ وَصِنَاعَتِهِ، ثُمَّ يُجِيبُهُ فِي مَسْأَلَتِهِ، ويَجِيءُ أَصْحَابَهُ فَيُلْقِيهَا عَلَى أَصْحَابِهِ، فَإِنْ أَصَابَ فَذَاكَ، وَإِنْ أَخْطَأَ ذَهَبَ إِلَيْهِ، فَقَالَ: يَا هَذَا، الَّذِي أَفْتَيْتُكَ لَيْسَ كَمَا أَفْتَيْتُكَ، الأَمْرُ كَذَا وَكَذَا.
"Shu'bah jika ada orang bertanya kepadanya tentang satu masalah, beliau akan bertanya tentang nama, tempat, dan pekerjaannya. Kemudian, beliau menjawab soalannya. Apabila sahabat-sahabatnya datang, beliau membentangkan masalah kepada mereka. Jika beliau betul, selesai. Jika salah, beliau akan pergi kepada penanya dan berkata, 'tuan, yang saya beritahu sebelum ini tidak betul, ia sebenarnya begini-begini'."

Semoga selepas ini saya tidak lagi menerima soalan di luar bidang. Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments