OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Tidak lama lagi kita akan menyambut hari raya puasa. Dan kerana mengekang penularan wabak, kebanyakan kita terpaksa menunaikan solat hari raya di rumah masing-masing dan ramai yang tertanya-tanya tentang tatacara dan hukum-hakam berkaitan. Jadi, di sini saya bawakan beberapa penerangan berdasarkan mazhab Shāfi‘ī bagi menjawab empat kemusykilan ramai.
PERTAMA: ADAKAH DISYARIATKAN SOLAT HARI RAYA DI RUMAH?
Ya, bukan sahaja di rumah, malah secara bersendirian pun disyariatkan. Dalam al-Umm disebutkan:
وَالْأَعْيَادُ مُخَالِفَةٌ الْجُمُعَةَ الرَّجُلُ يُصَلِّي الْعِيدَ مُنْفَرِدًا وَمُسَافِرًا...
“Dan hari-hari raya yang bukan Jumaat, seseorang bersolat hari raya bersendirian dan dalam keadaan musafir...”
Dalam Mukhtaṣar al-Muzanī pula dicatatkan:
وَيُصَلِّي الْعِيدَيْنِ الْمُنْفَرِدُ فِي بَيْتِهِ وَالْمُسَافِرُ وَالْعَبْدُ وَالْمَرْأَةُ.
“Dan orang perseorangan di rumah, musafir, hamba, dan wanita bersolat hari raya.”
KEDUA: ADAKAH PERLU BERKHUTBAH SELEPAS SOLAT HARI RAYA DI RUMAH?
Ya, tetap sunat seperti biasa sekiranya dilakukan secara berjemaah. Jika dilakukan bersendirian, maka tidak perlu. Kata al-Nawawī dalam Rawḍah al-Ṭālibīn:
وَإِذَا قُلْنَا بِالْمَذْهَبِ، فَصَلَّاهَا الْمُنْفَرِدُ، لَمْ يَخْطُبْ عَلَى الصَّحِيحِ. وَإِنْ صَلَّاهَا مُسَافِرُونَ، خَطَبَ إِمَامُهُمْ.
“Sekiranya kita mengikut pendapat al-madhhab (muktamad), maka ia dilakukan oleh orang perseorangan, ia tidak berkhutbah mengikut pendapat yang sahih. Jika orang-orang yang bermusafir melakukannya, ketua mereka berkhutbah.”
Dan keadaan kita ashhbah, lebih serupa dengan orang yang bermusafir.
KETIGA: ADAKAH KHUTBAH TERSEBUT SAMA SEPERTI KHUTBAH JUMAAT?
Ya, kecuali dari sudut syarat. Kata Khatib al-Sharbīnī dalam al-Iqnā‘:
(ويخطب بعدهمَا) أَي الرَّكْعَتَيْنِ (خطبتين) لجَماعَة لَا لمنفرد كخطبتي الْجُمُعَة فِي أَرْكَان وَسنَن لَا فِي شُرُوط...
“[Dan disampaikan selepasnya] yakni dua rakaat [dua khutbah] untuk jemaah dan bukan untuk orang perseorangan pada rukun dan sunat-sunat, bukan pada syarat.”
KEEMPAT: SEKIRANYA SEMUA JEMAAH TERMASUK IMAM ADALAH PEREMPUAN, ADAKAH KHUTBAH TETAP DISYARIATKAN?
Tidak. Kata Syeikh al-Qalyūbī:
(وَيَخْطُبُ إمَامُ الْمُسَافِرِينَ) وَكَذَا غَيْرُهُمْ كَالْعَبِيدِ وَالصِّبْيَانِ. وَكَذَا النِّسَاءُ إنْ أَمَّهُنَّ ذَكَرٌ، وَلَا تَخْطُبُ إمَامَتُهُنَّ فَإِنْ وَعَظَتْهُنَّ وَاحِدَةٌ بِغَيْرِ خُطْبَةٍ فَلَا بَأْسَ.
“Dan imam orang-orang yang bermusafir menyampaikan khutbah], dan demikian juga yang lain-lain seperti para hamba dan kanak-kanak, dan demikian juga perempuan jika mereka diimamkan lelaki. Imam perempuan tidak menyampaikan khutbah. Sekiranya salah seorang daripada mereka menyampaikan tazkirah tanpa berkhutbah, tidak mengapa.”
Wallahualam.
___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment