Kebaikan dan Keburukan Semuanya daripada Allah

OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi

Syeikh Abu Uthman Ismail bin Abdul Rahman As-Sobuni rahimahullah (wafat 449 H) berkata:

“Di antara pegangan, jalan, dan ucapan Ahli Sunnah bahawa kebaikan dan keburukan semuanya daripada Allah dan qada'Nya tidak boleh disandarkan kepada Allah secara bersendirian apa yang disangkakan boleh mengurangi sifat kesempurnaanNya. Maka tidak boleh dikatakan kepadaNya: "Wahai Pencipta monyet-monyet, babi-babi dan kumbang-kumbang!" Walaupun tidak ada satu makhluk pun melainkan Allah yang menciptakan semuanya. Hal yang demikian berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w di dalam doa 'Istiftah' sabdanya:

تبارك وتعاليت والخير في يديك والشر ليس إليك
"Maha suci dan maha tinggi Engkau, ya Allah. Kebaikan di tanganMu dan keburukan bukanlah kepadaMu." (HR. Muslim)

Maknanya -wallahua'lam- ialah keburukan bukanlah perkara yang disandarkan kepadaMu secara bersendirian dan keinginan sehingga dikatakan kepadaMu dalam menyeruMu: "Wahai Pencipta keburukan" atau "Wahai yang menetapkan keburukan" walaupun Dialah yang mencipta dan menetapkan semuanya.

Oleh kerana itulah, Khidir a.s menyandarkan melakukan keaiban kepada dirinya. Dia berkata sepertimana apa yang telah diberitakan Allah mengenainya di dalam firmanNya:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا
“Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut (sebagai nelayan), maka aku bertujuan untuk merosakkan bahtera itu.” 
(Surah Al-Kahfi: 79)

Tatkala dia (Khidir a.s) menyebutkan kebaikan dan rahmat, dia menyandarkan keinginannya kepada Allah azza wa jalla.

Firman Allah Ta'ala:

فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ
“Maka Tuhanmu menghendaki agar supaya mereka apabila sampai kedewasaannya akan mengeluarkan simpanannya itu sebagai rahmat dari TuhanMu.”
 (Surah Al-Kahfi: 82)

Begitulah juga apa yang telah Allah beritakan tentang Ibrahim, firmanNya:

وإذا مرضت فهو يشفين
“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku.”
 (Surah Asy-Syu'ara: 80)

Sakit disandarkan kepada dirinya, manakala kesembuhan disandarkan kepada Tuhannya, walaupun semuanya daripada Allah jalla jalaaluh.” (Aqidatus-Salaf Ahlul Hadith, Penterjemah: Abdul Wahab Bustami, Jahabersa, ms. 105-107)


___________________________
Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
_____________________________

Comments