OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Syeikh Muḥammad Sulṭān al-Ma'ṣūmī (1379 H), ulama Salafī yang berasal dari Khujand, Tajikistan dan pernah belajar daripada Syeikh Yūsuf al-Nabhānī dan Syeikh Muḥammad Bakhīt al-Muṭī‘ī ditanya oleh seorang warga China yang beragama Islam, tentang lapan isu yang menjadi sasaran kritikan orang-orang di tempatnya, China terhadap golongan yang dipanggil Wahabī, antaranya:
"Bahawa mereka (Wahabī) mengatakan, tidak harus membaca Dalā'il al-Khayrāt, malah mereka melarangnya."
Kitab Dalā'il al-Khayrāt adalah kitab selawat. Pengaruh kitab ini sangat besar sehingga dikatakan, ia "menjadi bacaan, pegangan dan amalan umat Nabi Muhammad SAW sejak zaman-berzaman setelah kitab ini tersebar sama ada di Masyriq (Timur) atau di Maghrib (barat) akan dibacakan kitab ini khususnya di negara Rom. Sehinggakan di negara Rom pada zaman dahulu dan negara-negara di bawah jajahannya mereka membaca kitab ini sebagai amalan mereka."
Sebelum menjawab soalan tadi, Syeikh Muḥammad Sulṭān al-Ma'ṣūmī bercerita terlebih dahulu tentang dua kewajipan Muslim terhadap Nabi SAW serta kebidaahan mengkhususkan selawat pada waktu-waktu tertentu. Kemudian, beliau menyebut secara khusus beberapa kemungkaran yang terdapat pada matan kitab tersebut, dengan katanya:
"Antara kemungkaran yang terdapat dalam Dalā'il al-Khayrāt: pada mukadimahnya, disebutkan 'dengan jah Sayidina Muhammad Rasulullah SAW' dan begitu juga pada ḥizb Isnin. Disebutkan dalam fadilat selawat beberapa hadis palsu yang bercanggah dengan tauhid dan menggalakkan supaya hati mengingati (atau menyebut) nama Nabi selepas nama Allah, dan disebutkan bahawa antara nama baginda ialah al-Ghawth dan Ghiyāth! Walhal hakikatnya, al-Ghawth dan al-Ghiyāth hanyalah Allah semata. Begitu juga al-Muhaymin, al-Wakīl, al-Kāfī, al-Shāfī, al-Jabbār, dan Kāshif al-Kurab, dan dengan jah Nabi..."
Beliau kemudiannya menerangkan beberapa kemungkaran lain sebelum mengatakan:
"Pada hizb hari Sabtu disebutkan 'aku memohon kepadamu akan ketaatan roh yang kembali ke jasadnya'... Maka, saudara Muslim, berselawatlah ke atas Rasulullah SAW dengan lafaz yang datang daripada baginda SAW, tanpa melazimi lafaz rekaan. Semoga Allah taala memberikan taufik kepadaku dan kepadamu kepada keredaan-Nya. Amin."
Semua ini sebahagian daripada Ajwibah al-Masā’il al-Thamān fī al-Sunnah wa-al-Bid‘ah wa-al-Kufr wa-al-Īmān.
___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment