Beza Sunnah Ta'abbudi / Sunnah Adat

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

Sunnah dari sudut bahasa bererti jalan. 

Ada pun jika dikatakan Sunnah Nabi, ia bermaksud jalan yang ditempuh oleh Nabi ﷺ sepanjang hidup baginda  dari segala sudutnya.

Penting untuk difahami bahawa Sunnah Nabi terbahagi kepada dua:

1. Sunnah Ta'abbudi;  

2. Sunnah Adat.

Sunnah Ta'abbudi merujuk kepada perbuatan-perbuatan baginda ﷺ yang bersifat ibadah seperti solat, puasa, zikir dan sebagainya.

Sunnah Adat pula ialah perbuatan-perbuatan baginda ﷺ yang melibatkan hal-hal keduniaan dan tidak menampakkan bahawa baginda menjadikannya sebagai suatu ibadah seperti menunggang keldai, tinggal di rumah tanah, memanjangkan rambut ke bahu dan seumpamanya.

Kita disuruh supaya mengikuti Sunnah baginda ﷺ yang pertama. Adapun Sunnah jenis yang kedua, zahirnya ia tidak lebih daripada sekadar membawa erti harus; bukan sunat dan bukan wajib.

Justeru adakah perbuatan baginda ﷺ berhutang merupakan suatu Sunnah Ta'abbudi untuk diikuti dan diteladani? Orang yang mengatakan sedemikian keliru dan tidak tahu membezakan antara kedua-dua jenis Sunnah di atas.

Catatan: Adakah dianjurkan mengerjakan haji dengan menunggang unta atas alasan Nabi ﷺ telah berbuat demikian? Usah keliru. Ia merupakan Sunnah Adat dan bukan Ta'abbudi.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan panduan.


___________________________
Ustaz Idris Sulaiman
_____________________________

Comments