Khalifah Umar Abdul Aziz

 OLEH: Zulfikar Egar

Siapakah di antara kita yang tidak mengenali Khalifah Umar bin Abdul Aziz? Merupakan seorang khalifah yang sangat adil lagi soleh.

Hanya dalam tempoh dua tahun sahaja pemerintahannya, namanya harum semerbak diingati dari generasi ke generasi umat Islam dek kerna pemerintahannya yang penuh adil dan saksama.

Hinggakan baginda diberikan julukan khalifah Rasyidun ke-5 selepas Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman Bin Affan dan Ali bin Abu Talib R.A.

Sungguhlah, baginda telah mencatatkan dalam lipatan sejarah pemerintahannya dengan tinta emas bertatah berlian.

Tetapi tahukah kita semua bahawa sebenarnya kalau nak diikutkan, Umar bin Abdul Aziz bukanlah calon khalifah seterusnya selepas Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik iaitu khalifah sebelum Umar bin Abdul Aziz.

Namun disebabkan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik semasa hayatnya telah mengambil satu tindakan yang berani telah mengetepikan kebiasaan dengan melantik calon khalifah atau penggantinya yang agak jauh untuk menjadi khalifah.

Di mana beliau telah mengambil satu langkah politik mengenepikan saudara kandungnya dan juga anaknya sebagai khalifah seterusnya bagi menggantikannya.

Iaitu dengan melantik sepupunya Umar bin Abdul Aziz itu sendiri sebagai khalifah.

Nyatalah ia bukanlah tindakan mudah bagi Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik untuk mendapatkan sokongan keluarganya pada ketika itu yang sangat mencengkam pemerintah Bani Umaiyah.

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik telah mencadangkan Umar bin Abdul Aziz sebagai khalifah, sementara adiknya iaitu Yazid bin Abdul Malik sebagai timbalan (Waliy a-Ahd).

Ternyatalah, pilihan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik itu adalah tepat lalu terciptalah sejarah gemilang bagi Bani Umaiyah itu sendiri dan dunia Islam dengan naiknya Umar bin Abdul Aziz sebagai khalifah selepas itu yang memerintah dengan adil dan saksama.

Itulah jasa besar yang dilakukan oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik sebelum beliau menutupkan mata.

Dan tindakan melantik Umar bin Abdul Aziz itu bukanlah satu tindakan beliau semata-mata, tetapi adalah satu tindakan hasil dari nasihat daripada penasihat yang baik.

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik cukup beruntung kerana dikurniakan penasihat yang baik. Beliau telah meminta nasihat daripada Rajak bin Haywah dalam melantik penggantinya sebelum beliau meninggal dunia.

Antara kebaikan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kerajaan Bani Umaiyah ialah wujudnya penasihat-penasihat yang luas keilmuannya dan tajam serta tangkas pemikirannya.

Rajak bin Hawyah ini merupakan antara tokoh yang paling menonjol dalam kerajaan Bani Umaiyah itu sendiri.

Bila beliau diminta nasihat oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik siapakah yang wajar menjadi penggantinya?

Lantas dijawab oleh Rajak bin Haymah;

"Antara yang dapat memelihara khalifah dalam kuburnya ialah apabila dia melantik orang yang soleh memerintah kaum muslimin".

Wallahualam.

___________________________
Zulfikar Egar
_____________________________

Comments