Bagi Mu Apa Yang Kamu Beri

 OLEH: Ustaz Mohd Safwan Rusydi


Bahawa Ma'an bin Yazid r.a menceritakan, katanya:

 بَايَعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَأَبِي وَجَدِّي وَخَطَبَ عَلَيَّ فَأَنْكَحَنِي وَخَاصَمْتُ إِلَيْهِ وَكَانَ أَبِي يَزِيدُ أَخْرَجَ دَنَانِيرَ يَتَصَدَّقُ بِهَا فَوَضَعَهَا عِنْدَ رَجُلٍ فِي الْمَسْجِدِ فَجِئْتُ فَأَخَذْتُهَا فَأَتَيْتُهُ بِهَا فَقَالَ 

"Aku, ayahku dan datukku sudah berbaiat kepada Rasulullah ﷺ. Aku juga pernah dilamarkan seseorang buatku dan baginda menikahkan aku. Aku juga bersumpah setia (untuk mengembalikan setiap urusanku) kepada baginda. Suatu hari ayahku, Yazid mengeluarkan dinar untuk disedekahkan, lalu dia meletakkannya di samping seseorang yang berada di masjid. Kemudian aku datang, aku ambil dan aku bawa kepadanya, lalu ayahku berkata:

وَاللَّهِ مَا إِيَّاكَ أَرَدْتُ 

“Demi Allah, bukan kamu yang aku kehendaki (sedekah ini).”

فَخَاصَمْتُهُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ 

Lalu aku mengadu masalah ini kepada Rasulullah ﷺ, maka baginda bersabda: 

لَكَ مَا نَوَيْتَ يَا يَزِيدُ وَلَكَ مَا أَخَذْتَ يَا مَعْنُ

“Bagimu apa yang sudah kamu niatkan wahai Yazid, sedangkan bagimu apa yang telah kamu ambil wahai Ma'an.” (HR. Bukhari, no: 1333) 

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menyatakan: “Orang yang bersedekah akan dicatatkan pahala sesuai dengan apa yang diniatkannya sama ada yang dia berikan sedekah secara zahirnya layak menerimanya ataupun tidak.” (Fathul Baari, 3/292)

___________________________
Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
_____________________________

Comments