Karikatur Hina Nabi

 OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman


Perbuatan orang-orang kafir menghina Nabi ﷺ  bukanlah suatu yang baharu. 

Hal ini berlaku semenjak zaman Nabi ﷺ di mana orang-orang kafir Mekah mengejek mengatakan bahawa Nabi ﷺ seorang ahli sihir, penyair, tukang ramal, pembohong dan sebagainya. 

Ternyata bahawa Nabi ﷺ bersabar menghadapinya dan tidak terburu-buru melatah memberi reaksi balas. 

Ini sejajar dengan perintah Allah:

وَاصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلًا

“Dan BERSABARLAH terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan JAUHKANLAH dirimu daripada mereka dengan CARA YANG BAIK”.

Surah al-Muzzammil, 73:10. 

Allah turut berfirman: 

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ. فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ. وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ.

“Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau MERASA SUSAH HATI dengan sebab apa yang MEREKA KATAKAN. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah daripada kalangan orang-orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin (ajal kematian)”.

Surah al-Hijir, 15:97-99.

Maka Nabi ﷺ sewaktu di Mekah BERSABAR dan menyuruh para Sahabat supaya turut berbuat demikian di samping menegah mereka daripada mengambil apa-apa tindakan ke atas orang-orang kafir. 

Ini kerana sebarang tindakan membalas dendam waktu itu hanya akan mengundang kesan negatif ke atas orang-orang Islam serta dakwah Islam yang waktu itu masih lemah dan tidak ada kekuatan. 

Sehinggalah Nabi ﷺ diperintahkan berhijrah ke Madinah dan turunnya perintah jihad fisabilillah mengikut aturan dan ketetapan Syarak. 

Adapun tindakan menzahirkan rasa marah dengan cara demonstrasi jalanan dan seumpamanya, merosakkan harta benda, mencederakan orang lain dan barangkali sampai menumpahkan darah nyawa yang tidak berdosa, maka tindakan-tindakan seperti ini merupakan pengkhianatan terhadap Islam. 

Perlu ditegaskan bahawa Islam bukan Agama untuk melepaskan kemarahan atau membalas dendam. 

Islam merupakan Agama hidayah dan rahmat seperti mana yang ditunjukkan oleh Nabi ﷺ .

Kesudahannya apa natijahnya pada zaman Nabi ﷺ? 

Ternyata bahawa Allah telah memenangkan Islam manakala sebahagian tokoh pembesar Mekah yang pada awalnya memusuhi Nabi ﷺ telah memeluk Islam lalu mempertahankan Islam. 

Ia merupakan hasil daripada Nabi ﷺ memilih jalan bersabar, berlembut, memaafkan dan mengasihani mereka sehingga akhirnya mereka pun turut mengasihani baginda ﷺ.

Sikap Nabi ﷺ sejajar dengan firman Allah: 

وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ

“Dan sesungguhnya engkau mempunyai AKHLAK YANG AMAT MULIA”.

Surah al-Qalam, 68:4.

Inilah contoh akhlak baik yang ditunjukkan oleh Nabi ﷺ.

Perlu kita sedar bahawa orang-orang kafir apabila mereka melakukan hal-hal seperti ini, mereka sengaja mahu menimbulkan kemarahan orang-orang Islam. 

Lalu reaksi balas kemarahan orang-orang Islam akan dijadikan sebagai alasan bukti bahawa Islam merupakan agama kebencian, kemarahan dan keganasan. 

Adakah demonstrasi, merosakkan harta benda awam, mencaci maki, menghina dan sebagainya daripada ajaran Islam? Tidak sama sekali. 

Maka apa yang dilakukan oleh orang-orang kafir ini merupakan PERANGKAP TIPU MUSLIHAT untuk memperdaya orang-orang Islam supaya memberi reaksi balas dengan mengikut hawa nafsu dan emosi akibat kejahilan mereka. 

Justeru dalam hal-hal seperti ini tidak wajar bagi kita terburu-buru memberi reaksi balas. 

Sedangkan Allah berfirman: 

وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ فَصَبَرُوا عَلَى مَا كُذِّبُوا وَأُوذُوا حَتَّى أَتَاهُمْ نَصْرُنَا وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ.

“Dan sesungguhnya rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka SABAR terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan MENYAKITI mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya). 

Surah al-An’aam, 6:34.

Inilah realiti cabaran yang telah dihadapi oleh para rasul dahulu yang berterusan sampai ke hari ini. 

Ini semua menunjukkan betapa pentingnya sabar, berhati-hati, tidak terburu-buru dan berhemah jangan sampai kita umat Islam terperangkap dalam jerangkap samar musuh. 


CATATAN: 

Nukilan dengan olahan daripada nasihat Syeikh Saleh al-Fauzan hafizahullah:

https://www.alfawzan.af.org.sa/.../files/f14331107_13.mp3

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan hidayah. 

___________________________
Ustaz Idris Bin Sulaiman
_____________________________

Comments