Aqidah Sebenar Imam ‘Abd al-Qādir al-Jaylānī (561 H)

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Penisbahan kitab tafsir berjudul al-Fawātiḥ al-Ilāhiyyah wa-al-Mafātiḥ al-Ghaybiyyah kepada Imam ‘Abd al-Qādir al-Jaylānī (561 H) adalah silap dan antara yang menjazamkan begitu ialah Syeikh Sa‘īd Ramaḍān al-Būṭī (1434 H). Tafsir tersebut sebenarnya dikarang oleh seorang sufi bernama Ni‘mat Allāh b. Maḥmūd al-Nakhjawānī (920 H). 

Dalam tafsir tersebut, al-Nakhjawānī menafikan sifat ‘uluww dengan katanya, “‘kemudian Dia beristiwā’’ dan beristīlā’ di atas arasy... dalam keadaan suci daripada kesemua batasan dan arah, dan begitu juga daripada istiwā’, istiqrār, dan tamakkun secara mutlak,” dan hal ini bercanggah dengan akidah Imam ‘Abd al-Qādir al-Jaylānī yang tercatat dalam al-Ghunyah dan Tuḥfah al-Muttaqīn.

Dalam al-Ghunyah, al-Jaylānī mengatakan dengan jelas, “Dan Dia di arah tinggi beristiwā’ di atas arasy, memegang kekuasaan, ilmu-Nya meliputi segala sesuatu. ‘Kepada-Nya naik kata-kata yang baik dan amal soleh pula diangkat-Nya naik.’ [Fāṭir: 10]” Jika kesilapan penisbahan itu tidak dikesan, tentu ramai yang menyangka al-Jaylānī menolak sifat ‘uluww.

Kesahihan penisbahan al-Ghunyah sabit kepada al-Jaylānī dan tidak dipertikaikan oleh sesiapa. Ibnu Ḥajar al-Haytamī pun menerimanya, cuma beliau mendakwa kitab itu telah ditokok tambah kerana ada kalimat yang diingkari oleh beliau. Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak disokong dengan bukti, lagipun ia didorong dengan sentimen mazhab kerana beliau seorang Ash‘arī tegar. Hakikatnya, kitab tersebut dan petikan yang disebutkan tadi telah disahkan oleh:

Pertama, Imam al-Dhahabī (748 H) yang memetiknya dalam al-‘Uluww.

Kedua, Imam Ibnu Rajab al-Ḥanbalī (795 H) yang mengatakan, “beliau mempunyai kitab al-Ghunyah li-Ṭālib Ṭarīq al-Ḥaqq dan ia makruf” dan memetik petikan tadi.

Sebenarnya, al-Jaylānī memang terkenal sebagai seorang yang berpegang teguh dengan akidah Ḥanābilah yang mengisbatkan sifat ‘uluww. Antara buktinya, nukilan Imam al-Dhahabī dalam Siyar A‘lām al-Nubalā’ daripada Imam al-Yūnīnī daripada Imam ‘Izz al-Dīn ‘Abd al-Salām, katanya, “tidak dinukilkan kepada kami keramat sesiapa pun dengan mutawātir kecuali Syeikh ‘Abd al-Qādir.” Beliau ditanya, “ini di samping iktikadnya? Bagaimana begitu?” Jawab beliau, “lazim mazhab bukan mazhab.” 

Maksudnya, penanya pelik bagaimana al-Jaylānī boleh mendapat kemuliaan sebegitu sedangkan beliau berpegang dengan akidah yang berlawanan dengan akidah Ashā‘irah yang dianut oleh Ibnu ‘Abd al-Salām dan pengikutnya, iaitu akidah Ḥanābilah. 

Itulah yang dijelaskan oleh al-Dhahabī dalam katanya bahawa "ini di samping iktikadnya?" dalam nukilan tadi “mengisyaratkan kepada pengisbatan sifat ‘uluww dan sebagainya, dan mazhab Ḥanābilah dalam perkara itu maklum. Mereka berjalan di belakang apa yang sabit daripada imam mereka – semoga Allah merahmati mereka – kecuali yang ganjil daripada kalangan mereka dan lewah dalam mengibaratkan.”

Terdapat sahabat yang berhujah mengatakan al-Jaylānī dalam pada mengisbatkan ‘uluww, turut menafikan jihah bagi Allah. Jadi, menurutnya, al-Jaylānī mentawfīḍ sifat ‘uluww. Nas yang dirujuk ialah nazam yang berjudul Minhāj al-‘Ārif al-Muntaqā. Sebenarnya, kitab tersebut bukan karangan al-Jaylānī, tetapi Ibnu ‘Arabī (638 H) atau ‘Alī b. ‘Aṭiyyah (936 H) – kedua-duanya tokoh sufi – sebagaimana yang tercatat pada manuskrip-manuskrip kitab berkenaan.


Kesimpulannya:

1. Akidah Imam ‘Abd al-Qādir al-Jaylānī dalam masalah ‘uluww adalah akidah Ḥanābilah sebagaimana yang tercatat dalam kitabnya, al-Ghunyah li-Ṭālib Ṭārīq al-Ḥaqq yang sahih dan sabit daripada beliau.

2. Kitab tafsir yang mengandungi akidah yang bertentangan bukan karangan beliau seperti yang disangka oleh sebahagian orang, tetapi karangan ahli sufi bernama al-Nakhjawānī.

3. Nukilan daripada Imam ‘Izz al-Dīn ‘Abd al-Salām menunjukkan al-Jaylānī mempunyai akidah yang berlawanan dengan akidah yang dianut oleh Ashā‘irah sekali gus menyerlahkan akidah Ḥanābilah sebagai pegangan al-Jaylānī.

4. Dakwaan al-Jaylānī mentafwīḍ sifat ‘uluww adalah berasaskan kitab yang dinisbahkan kepada beliau secara silap, yang sebetulnya ditulis oleh Ibnu ‘Arabī atau ‘Alī b. ‘Aṭiyyah.


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments