Himpunan Cerita-Cerita Palsu Berhubung Peristiwa Kelahiran Rasulullah Salallahu Alaihiwasalam

 OLEH: Ustaz Zulfadhli Bin Mohd Razi


Terlalu banyak riwayat-riwayat yang tidak thabit berhubung peristiwa-peristiwa yang berlaku sewaktu kelahiran Junjungan Besar Baginda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Antara riwayat yang tidak thabit, secara ringkasnya:

1- Ibu Baginda, Aminah telah dihadiri oleh Maryam dan Asiah ketika beliau mahu melahirkan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Berhubung kesahihan kisah ini, al-'Allamah al-Shaikh Muhammad Rasyid Ridha rahimahullah:

"Disebutkan di dalam kitab al-Mawahib sebuah athar yang menerangkan bahawa wanita-wanita tersebut telah mendatangi Aminah disaat beliau melahirkan. Mereka itu adalah Asiah, isteri fir'aun, Maryam binti 'Imran dan sebahagian bidadari. Beliau (penulis kitab tersebut) berkata: "Ia antara riwayat yang dipertikaikan (keshahihannya)" iaitu dikritik pada sanadnya. Berapa banyak hadits dha'if yang pengarang al-Mawahib sebutkan, sedangkan beliau tidak memberikan peringatan tentang kritikan ahli-ahli hadits terdapat hadits ini. Jika riwayat ini tidak termasuk dalam kategori riwayat-riwayat yang terlalu lemah, maka kenapakah beliau mengatakan bahawa ahli-ahli hadith mempertikaikan riwayat tersebut. Cukuplah (menjadi hujjah ketidak shahihannya) untuk anda bahawa al-Suyuthi tidak menyebutkannnya di dalam al-Khasais, dan Abu Nu'aim pula tidak menyebutkannya di dalam al-Dalail. Maka tidak perlu untuk disebutkan sanad/perawi yang meriwayatkan kisah tersebut dan (tidak perlu) memperinciankan perbahasan dari sudut jarh terhadap perawi-paerawinya."[Lihat: Fatawa al-Imam Muhammad Rashid Ridha oleh Dr Solahuddin al-Munajjid, jld 2 m/s 454. Cetakan pertama tahun 2005]

2- Beberapa peristiwa ganjil yang berlaku seperti menerima mimpi bahawa anak yang dikandung beliau akan menjadi seorang Nabi, nama Baginda Sallallahu'alaihiwasallam sebagai Muhammad telah diberitahu kepada Aminah sewaktu beliau mengandungkan Baginda Sallallahu'alaihiwasallam dan lain-lain.

Seorang 'ulama' al-Azhar al-Syarif, al-Shaikh al-'Allamah Dr Muhammad Khalil Harras menyebutkan:

"Setiap hadith-hadith yang diriwayatkan daripada Aminah (ibu Baginda Sallallahu'alaihiwasallam) berhubung kehamilan dan kelahiran (Baginda Sallallahu'alaihiwasallam) ianya adalah palsu. Adapun yang sebenarnya, beliau (Aminah) mengandungkan Baginda Sallallahu'alaihiwasallam sepertimana wanita-wanita lain mengandungkan orang lain, demikian juga dengan melahirkan Baginda Sallallahu'alaihiwasallam." [al-Khashaish al-Kubra oleh al-Suyuthi, tahqiq oleh Dr Muhammad Khalil Harras, jld 1 m/s 115]

3- Retaknya istana Kisra, 14 anjung berandanya runtuh, padamnya api Parsi yang sebelum ini tidak pernah padam selama 1000 tahun, keringnya air di Tasik Sawah - salah satu perkampungan di Parsi yang terletak antara Hamazan dan Qum - dan lain-lain. 

Setelah membawakan kisah-kisah ini, al-Shaikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah rahimahullah menyebutkan:

"Hadith ini tidak sahih, tidak harus menyebutkannya dan tidak harus juga mendendangkannya". [Al-Masnu' Fi Ma'rifah al-Hadith al-Mawdhu' oleh al-'Allamah 'Ali al-Qari, tahqiq al-Shaikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah, hal. 18]

4- Peristiwa para jin saling berbisik-bisik sesama mereka tentang berita kelahiran Baginda Sallallahu'alaihiwasallan. 

Al-Shaikh Dr Muhammad Abu Shahbah, seorang ulama hadith Universiti al-Azhar al-Sharif menulis:

"Para penulis sirah, mawlid dan sejarah telah berlebih-lebihan apabila menyebutkan beberapa kisah ajaib yang berkait dengan kelahiran Baginda Sallallahu'alaihiwasallam. Antaranya perbicaraan saling berbisik-bisik dan jin serta banyak kisah tentangnya yang tidak sahih dan yang palsu". [Al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Dr Muhammad Abu Shahbah, hal. 177]

5- Peristiwa al-Mubazan yang bermimpi sekawan kuda Arab melintasi Sungai Tigris, berhala-berhala di sekeliling Ka'bah runtuh dikategorikan sebagai antara riwayat-riwayat yang tidak thabit oleh Dr Akram Dhiya' al-'Umari dalam al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, juz 1 hal. 100]

Wallahua'lam.

___________________________
Ustaz Zulfadhli Bin Mohd Razi
_____________________________

Comments