Jenis-Jenis Kufr

 OLEH: Ustaz Abid Annuriyy


Kufr itu banyak. Kufr berlaku dengan iktiqad, perkataan, perbuatan dan syak juga tark (meninggalkan seperti meninggalkan tawhid, meninggalkan solat fardu, rukun islam dan meninggalkan syari’ah). Sesiapa yang menemui ALLAH dalam keadaan kufr akbar tanpa bertaubat, maka ia tidak akan diampunkan dan tidak berguna baginya syafaat pada Hari Qiyamat.


Antara jenis kufr akbar ialah;


1.Kufr al-Takdhib iaitu mendustakan rasul-rasul. Sesiapa yang mendustakan apa yang dibawa oleh rasul-rasul secara zahir atau batin, maka ia menjadi kafir.


وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِٱلْحَقِّ لَمَّا جَآءَهُۥٓ ۚ أَلَيْسَ فِى جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْكَٰفِرِينَ

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kedustaan terhadap Allah atau mendustakan yang hak (Nabi, islam dan al-Quran) tatkala yang hak itu datang kepadanya? Bukankah dalam neraka Jahannam itu ada tempat bagi orang-orang yang kafir?

(al-‘Ankabut: 68)

.

2.Kufr al-Iba’ wa al-Istikbar iaitu kufr akbar yang berlaku apabila seseorang itu mengahui kebenaran rasul dan rasul itu datang membawa kebenaran dari Allah, tetapi ia tidak tunduk kepada hukumnya, tidak patuh kepada perintahnya kerana sombong, dan ‘inad (degil).


وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِءَادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَٱسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلْكَٰفِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika KAMI berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.

(al-Baqarah: 34)


3.Kufr al-Shakk. Iaitu taraddud (ragu-ragu), tidak jazm akan kebenaran rasul-rasul. Dinamakan juga kufr al-zann, lawan kepada jazm dan yaqin.

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَنْ تَبِيدَ هَٰذِهِ أَبَدًا

Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri; ia berkata: "Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, (35).


وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا

dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku kembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik dari pada kebun-kebun itu". (36).


قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّاكَ رَجُلًا

Kawannya (yang mukmin) berkata kepadanya -- sedang dia bercakap-cakap dengannya: "Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setetes air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang laki-laki yang sempurna? (37).


لَٰكِنَّا هُوَ اللَّهُ رَبِّي وَلَا أُشْرِكُ بِرَبِّي أَحَدًا

Tetapi aku (percaya bahwa): Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak mempersekutukan seorangpun dengan Tuhanku. (38).

(al-Kahf: 35-38)

.

4.Kufr al-I’radh . kufr kerana berpaling secara kulli (total) dari agama. Berpaling dengan pendengarannya, hatinya dan ilmunya dari dari agama yang dibawa oleh rasul.

مَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ عَمَّآ أُنذِرُوا۟ مُعْرِضُونَ

Kami tiada menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan dalam waktu yang ditentukan. Dan orang-orang yang kafir berpaling dari apa yang diperingatkan kepada mereka.

(al-Ahqaf: 3)

.

5.Kufr al-Nifaq. Yang dimaksudkan dengan kufr nifaq ialah nifaq i’tiqadi iaitu menzahirkan iman dan menyembunyikan kufr. Dalilnya firman Allah,

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ ءَامَنُوا۟ ثُمَّ كَفَرُوا۟ فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ

Yang demikian itu adalah kerana bahawa sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati; lalu itu mereka tidak dapat mengerti (akan kebaikan dan hakikat iman).

(al-munafiqun: 3)



[Gerakan PENA Malaysia]

Comments