Selawat Selain Dalam Solat Boleh Guna Lafaz Sendiri?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Dikatakan, “sesuatu apabila melampaui hadnya berubah menjadi terbalik.” Demikian yang berlaku pada hari ini, tatkala ramai orang yang setahun jagung belajar agama dan baru semalam mengenali sunnah bersemangat mengkritik dan mentahzir, semua yang dilihatnya tidak kena. 

Teringat pesanan ulama Saudi yang disampaikan oleh seorang sahabat, katanya, apabila pulang ke tanah air masing-masing, ajar fiqh mengikut mazhab setempat dan kedua, jangan terlalu mudah menghukum bidaah amalan yang tidak kamu kenali, kerana mungkin ada dalil yang tidak kamu ketahui. Ini pesanan orang yang matang ilmunya.

Sekejap tadi, saya membaca status Ustaz Iqbal Zain tentang “Dalil Tentang Bolehnya Mengarang Selawat”. Beliau membawakan athar para sahabat membawakan lafaz-lafaz selawat yang tidak wārid daripada Rasulullah SAW. Saya tidak mengikuti beliau tetapi mengenali manhajnya serba sedikit, namun ulasan seseorang pada status tersebut dengan mengatakan “satu ustaz (me)reka satu selawat. Sepuluh ustaz sepuluh selawat. Seribu ustaz seribu selawat. Selawat yang ada pun sekarang dah tambah-tambah kepada ‘Saidina’. Jauhi al-kadhdhāb!” - bagi saya - adalah melampau!

Sikap terburu-buru “lebih sudu daripada kuah” inilah yang merosakkan dakwah mengangkat sunnah dan perjuangan membanteras bidaah dan khurafat. 

Secara insaf, yang disebutkan oleh Ustaz Iqbal itu pada asasnya benar. Selawat sebahagian daripada doa dan doa boleh digubah dengan lafaz sendiri. Yang diingkari atau tidak dipersetujui oleh sebahagian ulama adalah apabila ia dijadikan amalan seperti selawat yang ma’thūr yang diajar kepada orang ramai, dibaca dengan niat ta’abbud dengan setiap lafaznya secara khusus, dianggap mempunyai fadilat yang tidak diketahui melainkan melalui wahyu, serta diamalkan dalam solat dan sebagainya.

Yang dalam solat, bukan setakat ulama Salafī, bahkan sebahagian ulama yang bukan Salafī pun menolak kita daripada melakukan apa-apa pengubahan. Di sini dinukilkan semula kata-kata Imam ‘Abd Allāh al-‘Abdūsī al-Fāsī (849 H) yang bermazhab Maliki apabila ditanya tentang hukum menambah kalimah “sayyidunā” dalam selawat:

ينبغي أن لا يزاد فيها – أي: في الصيغ الواردة بلفظها عنه – ولا ينقص منها، فإن زاد فيها (سيدنا) و(مولانا) فجائز، لأنه صلى الله عليه وآله وسلم أتى بها تعليمًا لهم حين قالوا له: إن الله سبحانه أمرنا أن نصلي عليك فكيف نصلي عليك؟ وأما الصلاة المرتجلة التي لم ترد بلفظه فتزيد فيها (سيدنا) و(مولانا محمدًا)، إذ هو سيدنا ومولانا صلى الله عليه وآله وسلم.

“Hendaklah tidak ditambah padanya – iaitu bentuk yang datang dengan lafaz daripada baginda – dan tidak mengurangi sesuatu daripadanya. Sekiranya ditambah “sayyidunā” dan “mawlāna” maka harus, kerana baginda SAW mendatangkannya untuk mengajar mereka ketika mereka mengatakan kepada baginda, ‘sesungguhnya Allah menyuruh kami berselawat kepada tuan, maka bagaimana cara berselawat kepada tuan?' Adapun selawat secara spontan yang tidak wārid dengan lafaznya maka ditambah padanya ‘sayyidunā’ dan ‘mawlānā Muḥammad’ kerana baginda adalah sayyid dan mawlā kita SAW.”

Selawat tafrījiyyah atau nāriyyah yang hangat diperkatakan sekarang, isunya bukan tentang hukum mereka-reka selawat, tetapi tentang lafaznya yang difahami mengandungi unsur-unsur syirik dan ghuluww (selain tentang amalan membacanya dengan bilangan tertentu seperti 11 atau 4444 kali, dan dakwaan mempunyai fadilat khusus iaitu dikabulkan hajat.) Saya mendengar jawapan daripada pihak yang menyokong, dan kesimpulannya bahawa yang dimaksudkan dengan “dengan baginda terurailah segala yang tersimpul...” adalah tawassul dengan Nabi Muhammad SAW, bukan mengatakan baginda yang berkuasa melakukan semua itu. 

Hukum tawassul dengan zat baginda pula panjang untuk dibahaskan, namun kesimpulannya ia harus di sisi mereka dan ini pendapat ramai ulama, sungguhpun ulama-ulama Salafiyyah-Athariyyah berpendapat bahawa tawassul yang diharuskan adalah dengan doa, bukan zat, kedudukan, atau kemuliaan baginda. Jika benar yang dimaksudkan dengan lafaz “bi-hi (dengan baginda)” adalah tawassul, maka isunya bukan lagi syirik tetapi tawassul dan tawassul semata-mata tidak sampai ke peringkat syirik secara ittifak. 

Walau bagaimanapun, Syeikh Muḥammad Jamīl Zaynū, ulama kelahiran Syria yang menuntut dengan Syeikh Ibnu Bāz tidak memahaminya sebagai satu bentuk tawassul, maka beliau mengkritik selawat tersebut atas dasar ia bercanggah dengan “tauhid yang diseru oleh al-Quran.” Sebagai cadangan, beliau mengatakan:

ولو حذفنا كلمة: (به) ووضعنا بدلاً منها كلمة: (بها) لكان معنى الصيغة صحيح، بدون العدد السابق، وتكون كالاتي) :اللهم صَلِّ صلاة كاملة، وسلِّم سلامًا تامًا على محمد التي تُحلُّ بها العُقد).

“Sekiranya kita membuang kalimah “bi-hi (dengan baginda)” dan menggantikannya dengan kalimah “bi-hā (dengan selawat itu)”, tentu maknanya lafaz ini sahih – tanpa bilangan yang lalu – dan ia menjadi seperti berikut: ‘ya Allah, berselawatlah dengan selawat yang sempurna dan salam yang sempurna ke atas Muḥammad yang dengan selawat itu terurailah segala simpulan’.”

Jika saranan beliau diterima, isu yang dibangkitkan tidak lagi timbul kerana ia satu bentuk tawassul dengan amal soleh yang dibenarkan secara sepakat oleh semua yang menisbahkan diri kepada Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah.

Kesimpulan setakat ini:

1. Jangan terlalu cepat dan mudah dalam menghukum.

2. Selawat selain dalam solat dan sebagainya boleh menggunakan lafaz sendiri.

3. Selawat tafrījiyyah adalah tawassul di sisi pengamalnya dan jika benar begitu, ia tertakluk pada khilaf tentang hukum tawassul.

Terakhir, dibawakan sekali lagi kalam Syeikh Jamāl al-Dīn al-Ahdal, faqih Shāfi‘ī berakidah Ash‘arī dalam kitab ‘Umdah al-Muftī wa-al-Mustaftī di mana akhir katanya, “maka yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah memadai daripada selainnya. Hampir dengan itu adalah yang diambil daripada kedua-duanya seperti ḥizb al-Nawawī, al-Qārī, Ibnu ‘Arabī, dan lain-lain itu baik, tetapi yang datang daripada shāri‘ lebih elok dan indah.”

Wallahualam.



[Gerakan PENA Malaysia]




Comments