Kenapa Lelaki Yang Menegur Tentang Aurat Akan Dilabel Gila Seks?

 OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya


Kenapa bila lelaki tegur atau komen tentang pendedahan aurat terutama yang melampau sehingga ke tahap hampir separuh bogel terus dilabel sebagai gila seks?

Apakah ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Nabi tentang aurat adalah suatu yang kita juga nak klasifikasikan sebagai ayat gila seks?

Lelaki Muslim atau perempuan Muslimah adalah tertakluk kepada hukum Allah dalam apa jua hal dan kondisi. 

Ya kita hargai semangat juang para atlet pada musim sukan dan sokongan rakyat terhadap mereka. Tapi hukum hakam Allah jangan ditenggelamkan hanya kerana sukan. 

Bila ada warganegara terutama dari kalangan agamawan menegur, kita patut bersyukur kerana masih ada yang masih sudi bersuara untuk menjaga hak agama bahkan hak adat dan norma serta budaya kesopanan Melayu.

Agamawan yang menegur kebanyakan masih menjaga sensitiviti rakyat yang sedang bersemangat. Jika tidak, lebih teruk dan lebih terus terang dan pedas para agamawan boleh keluarkan teguran.

Anda yang terasa pedas dengan teguran ke atas aktiviti-aktiviti yang menayangkan aurat utama para atlet termasuk bahagian yang sememangnya Allah telah fitrahkan menjadi sumber penaik nafsu manusia, nyata sekali anda telah lali dengan normalisasi pemandangan aurat. 

Anda yang label ustaz yang menegur pendedahan aurat sebagai gila seks lah sebenarnya gila dengan kehidupan yang bebas aurat pembawa kepada normalisasi hidup bebas tanpa had.

Sejarah awal sukan Olimpik menunjukkan bahawa para atlet wanita menyertai temasya tersebut dalam keadaan pemakaian yang penuh sopan dan menutupi aurat. 

Lihat bagaimana skuad gimnas Germany pun telah cuba untuk zahirkan penolakan mereka terhadap unsur seksualisasi dalam sukan tersebut. 

Walaupun kita kata pakaian mereka masih tidak menepati syariat penjagaan aurat, namun negara Islam dan rakyat Muslim sepatutnya berasa malu dengan sebuah negara barat yang maju dan sekular tapi lebih maju kesedaran mereka tentang isu seksualisasi di dalam sukan.

Di mana kita? Ya, kita masih lagi skeptikal, alergik dan ‘judgmental’ bila ada warga kita sendiri tegur pakaian atlet negara. 

Dan yang lebih menyedihkan, yang terlebih panas ini adalah rakyat Malaysia yang beragama Islam sendiri.

Patutlah Allah payah nak angkat bala Covid19 ini dari negara kita. Hak Allah disekat-sekat, hak manusia dijulang-julang sehingga menafikan hak Allah.

To my fellow Non Muslim friends, this message is not meant for you. I’m just upset with the mentality of my fellow Muslim friends towards their understanding of their own priority in religion. And am very upset with their aggressive bad words and comments towards those who just tried to guide their own Muslim friends towards a better practice of Islam.

Boleh baca artikel ini untuk siapa yang nak tahu serba sedikit sejarah penglibatan atlet wanita dalam sukan dunia dan isu berkaitan pemakaian mereka.


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments