Penjelasan Isu Hadith Ghuraba' ( Orang Asing)

 OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis


بدأ الإسلام غريبا، وسيعود كما بدأ  غريبا فطوبى للغرباء

Islam itu bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing sepertimana pada permulaannya, maka beruntunglah mereka yang menjadi golongan yang terasing itu ( HR Muslim No 145)

Sebenarnya agak sukar mencari dakwaan daripada golongan teori konspirasi dan anti-vaksin berkenaan hadith Ghuraba' ( asing) itu bermaksud golongan anti vaksin.

Setakat yang dicari didalam kitab-kitab hadith, ia lebih menerangkan kepada kelompok mereka yang memperbaiki kerosakan manusia dari sudut agama, memurnikan kembali setelah berlakunya kerosakan.

Imam Muslim didalam Sahih Muslim pula menggandingkan bersama hadith " sesungguhnya iman akan kembali ke Madinah" 

Dalam hadith yang lain, beliau menyebut : sesungguhnya iman akan kembali kepada dua masjid ini iaitu Masjidil Haram di Mekkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Dalam hadith yang lain menyebutkan :akan kembali ke Madinah sepertimana ular yang akan kembali ke sarangnya. ( Rujuk Ikmal al-Muallim Bi Fawaaid Muslim (1/458)

Ini kerana kalau kita lihat asal usul Islam bermula dan berkembang di Madinah pada zaman Rasulullah dan akan kembali ke sana semula keasliannya.

Maka berdasarkan huraian para ahli hadith, isu orang asing merujuk kepada mereka yang menghidupkan sunnah Rasulullah bukan terhadap golongan anti vaksin.

Setakat ini saya tidak menjumpai lagi mana-mana hadith berkenaan " maka beruntunglah mereka golongan asing itu " dihuraikan merujuk kepada kelompok anti vaksin.

Ada beberapa kesilapan jikalau kelompok anti vaksin ini menyatakan bahawa hadith tersebut merujuk kepada mereka.

Pertama : Golongan anti vaksin ini bukanlah terdiri daripada kalangan muslim sahaja, bahkan terlalu ramai golongan kafir, ateis dll yang tidak beragama turut tergolong dalam golongan anti vaksin ini. Jadi adakah boleh mereka termasuk didalam kelompok yang beruntung?

Kedua: Hadith ini jikalau dibaca bersama hadith-hadith didalam Sahih Muslim, ia menerangkan kepada kelompok muslim yang cuba menghidupkan semula sunnah Rasulullah bukan terhadap golongan anti vaksin.

Ketiga : Tafsiran bahawa ghuraba' itu ialah kelompok anti-vaksin tiada didalam mana-mana huraian para ahli hadith dan kitab-kitab mereka setakat ini. Mereka lebih faham tentang teks dan konteks hadith berbanding sesiapa pun didunia ini.

Keempat : Hadith perlu dihuraikan mengikut para Muhaddith yang ahli bukan orang yang tidak dikenali. Inilah disiplin ulama didalam menghuraikan hadith.

Kelima : Hadith perlu ditafsirkan secara zahir dan tidak lari daripada konteks, tidak boleh menggunakan tafsiran batin. Untuk menafsirkan sesuatu hadith, perlu dilihat bagaimana para ulama hadith menafsirkannya.

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]




Comments