Amalan Membaca Bismillah 786 Kali?

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


# Amalan tertolak dari meja penceramah

Tersebar di media sosial video seorang penceramah menyarankan supaya diamalkan membaca bismillah sebanyak 786 kali kerana kelebihan-kelebihan yang tertentu. 

Peliknya dalam masa yang sama, beliau mengakui bahawa amalan yang diajarkannya itu tiada dalilnya dalam Al-Quran mahupun as-Sunah. 

Lebih pelik beliau mengandaikan bahawa sesuatu amalan itu hanya ditegah sekiranya terdapat unsur syirik. 

Ini amat keliru. 

Adakah ini bererti bahawa dibolehkan menambah rakaat solat fardu Subuh atau solat sunat Subuh menjadi 786 rakaat atas alasan tiada unsur syirik? 

Barangkali beliau sendiri akan kata tidak boleh. Ini kerana Nabi ﷺ bersabda: 

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ.

"Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (Agama) maka ia adalah tertolak."

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim] 

Sabdanya ﷺ: 

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

"Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak." 

[Sahih. Riwayat Muslim] 

Tertolak ertinya tidak diterima oleh ALLAH ﷻ, terbatal dan tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala. 

Malah orangnya layak mendapat dosa dan kemurkaan ALLAH ﷻ kerana tidak beramal dengan Sunah Nabi ﷺ sebagaimana perintah ALLAH ﷻ dalam firmanNya:

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ.

"Dan apa yang dibawakan oleh Rasulullah maka terimalah ia, dan apa yang dilarangnya hendaklah kamu jauhi."

[Al-Quran, Al-Hasyr, ayat 7]

Nabi ﷺ telah membawa as-Sunah dan telah menegah segala tokok tambah dalam Agama. 

CATATAN: 

Sekiranya beliau sendiri telah mengakui bahawa amalan yang diajarkannya itu tiada dalilnya dalam Al-Quran ataupun as-Sunah maka segala kelebihan dan fadilat yang dikatakannya itu hanyalah dakwaan dan andaian semata-mata. Ia jelas batil. Malah membuka pintu khurafat dengan dakwaan adanya ilmu hisab al-jummal (?) yang mengandaikan bahawa setiap huruf itu ada nombornya. Adakah ini ilmu tilik? Apa yang pasti ia bukan daripada ajaran Islam. 



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments