Faedah Daripada Kata-kata Al-Qaffal

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Banyak faedah yang boleh dikeluarkan daripada kata-kata Al-Qaffāl berikut :

كَانَ الرَّبيِع بَطِيء الفَهْمِ فكَرَّرَ الشَّافِعِيُّ عَلَيهِ مَسألة وَاحِدةً أَرْبَعِينَ مَرَّة فَلَمْ يَفْهَمْ ، وَقَامَ مِنَ المَجْلِس حَياء ، فَدَعَاهُ الشَّافِعِيُّ فِي خَلْوَة وَكَرَّر عَلَيهِ حَتَّى يَفْهَمَ

Maksudnya : Al-Rabi’ (bin Sulaiman al-Murādi) merupakan seorang yang lambat faham (dalam proses menuntut ilmu). Al-Imam al-Syafi’e (yang merupakan guru kepada Al-Rabi’) mengulang-ulang penjelasan terhadap suatu permasalahan sebanyak 40 kali kepadanya, namun dia masih tidak dapat memahaminya. Al-Rabi’ pun beredar meninggalkan majlis tersebut kerana rasa malu. Imām Al-Syafi’e pun mengajaknya bersendirian (iaitu hanya berdua tanpa melibatkan murid-murid lain), dan Imām al-Syafi’e mengulang-ulang penjelasan sehinggalah Al-Rabi’ memahaminya.

Rujuk Tabaqāt Al-Syāfi’eyyah Al-Kubra, Al-Subki (2/134).

Berikut merupakan beberapa faedah yang boleh dikeluarkan dari kisah ini :

1- Kefahaman itu suatu kurniaan daripada Allah, bukan semua orang memperolehinya. 

2- Ilmu dan kefahaman boleh diperoleh dengan usaha yang bersungguh. Antara caranya ialah dengan melakukan pengulangan. Sama ada membaca secara berulangkali, atau disyarah secara berkali-kali.

3- Seorang guru perlu bersifat sabar dan santun dengan muridnya, meskipun murid tersebut agak lambat tangkap akan ilmu yang diajarkan. Jangan abaikan anak-anak murid sebegini dan hanya menumpukan perhatian kepada anak-anak murid yang bijak sahaja.

4- Guru jangan membiarkan rasa malu seorang murid menyebabkan dia berterusan putus asa dari belajar. Jika boleh diusahakan, adakan ‘private class’ dengan pelajar yang lambat faham. Mungkin dengan cara sebegini, perasaan malu berjaya dihilangkan, kefahaman juga dapat diperoleh.

5- Penuntut ilmu perlu sabar. Kefahaman tidak semestinya terhasil dari sekali belajar sahaja. Kadangkala untuk mencapai kefahaman, ia memerlukan kepada pengulangan dalam jumlah yang banyak, serta mengambil masa yang agak panjang.

والله الموفق



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments