Peranan Doa

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Ramai dalam kalangan kita yang tidak mengambil berat terhadap peranan doa. Jika kita lihat amalan para ulama dahulu, hinggakan ke tahap hendak makan anggur pun mereka berdoa meminta kepada Allah SWT.

Imām Al-Laits bin Sa’d menceritakan bahawa beliau pernah melihat seorang lelaki yang sedang duduk berdoa. Kata Al-Laits : Lelaki tersebut mengatakan :

يا رب يا رب حتى انقطع نفسه ، ثم قال يا حي يا قيوم حتى انقطع نفسه ، ثم قال يا الله يا الله حتى انقطع نفسه ثم قال يا رحمن يا رحيم حتى انقطع نفسه، ثم قال يا أرحم الراحمين حتى انقطع نفسه

Maksudnya : Wahai Tuhan, wahai Tuhan, sehingga terputus nafasnya (tercungap-cungap). Kemudian dia berkata : Ya Hayyu Ya Qayyum (wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan yang Maha Mengurus Tadbir), sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata : Ya Allah, Ya Allah, sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata : Wahai Tuhan yang Maha Pemurah wahai Tuhan yang Maha Penyayang, sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata lagi : Wahai Tuhan yang Maha Penyayang dari kalangan yang penyayang, sehingga terputus nafasnya.

Setelah selesai menyebut semua ini, lelaki itu berkata :

اللهم إني أشتهي العنب فأطعمنيه ، وإن بردي قد خلقا فاكسني 

Maksudnya : Ya Allah, sesungguhnya aku teringin sangat kepada buah anggur, berilah kepadaku untuk aku memakannya. Sesungguhnya dua helai pakaianku juga telah lusuh, berilah pakaian kepadaku.

Kisah ini panjang lagi. Fokus utamanya, terbukti tawassul lelaki ini dengan nama-nama dan sifat Allah SWT tersebut amat mustajab. Meski permintaannya nampak pada perkara biasa sahaja, namun para ulama terdahulu sentiasa melazimi ibadah berdoa.

Kata Al-Laits bin Sa’d : Aku terus melihat sebuah bekas yang penuh berisi anggur serta dua helai pakaian diletakkan di situ.

Ringkas cerita, rupanya lelaki tersebut merupakan Ja’far Al-Sādiq iaitu salah seorang ulama keturunan Nabi SAW. Daripada jalur Al Husain bin ‘Ali - Radiyallahu ‘anhum -

Rujuk Sifat al-Safwah, Ibn al-Jauzi (2/173,174).

[Gerakan PENA Malaysia]


Comments