Aduh, Dunia Sudah Terbalik?

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


# Menjauhi perkataan yang dilarang

# Jangan bersikap negatif

Perkataan seperti ini ditegah oleh Syariat.

Ini kerana Nabi ﷺ bersabda: 

إِذَا قَالَ الرَّجُلُ: ‌هَلَكَ ‌النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ (وَفي رِوَايَةٍ: أهْلَكَهُمْ).

“Jika seorang berkata: Manusia telah binasa maka dia yang paling binasa (dalam riwayat lain: Dialah yang membinasakan manusia).”

[Sahih. Riwayat Muslim]


Di samping tegahan Nabi ﷺ, ungkapan seperti ini memberi makna seolah-olah semua manusia sudah jadi sesat dan hilang pedoman sehingga manusia semua terjebak dalam kemaksiatan atau kekufuran. 

Sedangkan hal ini tidak mungkin berlaku kerana tidak akan diizinkan oleh Allah ﷻ. 

Allah ﷻ telah pun memberi jaminan bahawa Dia akan terus memelihara Agamanya sebagaimana dalam firmanNya: 

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ  

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

[Al-Quran, al-Hijr; 15:9]


Nabi ﷺ turut memberi jaminan bahawa akan terus ada dalam kalangan manusia, dari satu generasi ke satu generasi mereka yang berdiri teguh di atas kebenaran. 

Sabda Nabi ﷺ: 

 لَا تزالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلى الحَقِّ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَة. 

“Akan terus ada dalam kalangan umatku mereka yang zahir atas kebenaran sehingga tiba Hari Kiamat.” 

[Sahih. Riwayat al-Hakim]

Maka andaian bahawa manusia semua boleh jadi rosak, sesat atau jatuh kafir adalah mustahil sama sekali.

Ungkapan seperti ini juga mengandungi pujian buat diri sendiri serta memandang rendah ke atas orang lain yang dilarang oleh Agama.

Allah ﷻ berfirman: 

فَلَا تُزَكُّوٓاْ أَنفُسَكُمۡۖ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَنِ ٱتَّقَىٰٓ.

“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”

[Al-Quran, an-Najm; 53:32]

Tambah lagi, ia menzahirkan rasa pesimis, rasa putus asa dan kecewa sedangkan hal ini menyalahi apa yang dianjurkan oleh syariat Islam supaya Muslim sentiasa bersikap optimis, berbaik sangka dan berharap. 

Allah ﷻ berfirman: 

وَلَا تَاْيۡئسُواْ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ لَا يَاْيۡئسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ.  

“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tiadalah mereka yang berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan orang-orang kafir.”

[Al-Quran, Yusuf; 12:87]


CATATAN: 

Perlu dielakkan ucapan-ucapan seperti:

“Manusia sudah rosak!”...

“Kini masyarakat dah hancur!”...

“Dunia sekarang sudah terbalik!”...


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments