Mengkeramatkan Kubur

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


# Zikir, berdoa, bertawassul di perkuburan

Zikir dan berdoa memang disyariatkan tetapi berzikir atau berdoa di perkuburan meminta untuk selain daripada kesejahteraan si mati adalah dilarang. 

Muslim ditegah berdoa meminta daripada selain Allah ﷻ.  

Firman Allah ﷻ: 

وَأَنَّ ٱلۡمَسَـٰجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدۡعُوا۟ مَعَ ٱللَّهِ أَحَدࣰا.

"Dan sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (menyembah) Allah semata-mata maka janganlah kamu berdoa meminta kepada sesiapapun bersama-sama Allah." 

[Al-Quran, surah al-Jinn,  72:18]

Adapun individu yang berdoa kepada selain Allah ﷻ dan meminta daripada mereka yang telah meninggal dunia sama ada nabi, alim ulama, wali, orang soleh atau yang lain maka sesungguhnya dia telah menjadikannya sebagai sembahannya di samping Allah ﷻ. 

Firman Allah ﷻ: 

ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمۡ لَهُ ٱلۡمُلۡكُۚ وَٱلَّذِينَ تَدۡعُونَ مِن دُونِهِۦ مَا يَمۡلِكُونَ مِن قِطۡمِيرٍ إِن تَدۡعُوهُمۡ لَا يَسۡمَعُواْ دُعَآءَكُمۡ وَلَوۡ سَمِعُواْ مَا ٱسۡتَجَابُواْ لَكُمۡۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يَكۡفُرُونَ بِشِرۡكِكُمۡ.

“Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagiNyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu minta - selain daripada Allah - tidak memiliki sesuatupun walau senipis selaput biji kurma. Jika kamu minta daripada mereka nescaya mereka tidak mendengar permintaan kamu, dan jika mereka mendengar sekalipun maka mereka tidak dapat memberikan apa yang kamu minta itu; dan pada Hari Kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu.”

[Al-Quran, Fatir, 35: 13-14]

Ayat di atas menjelaskan bahawa perbuatan berdoa meminta daripada selain Allah ﷻ bukan sahaja sia-sia malah syirik menyekutukan Allah ﷻ. 

Justeru Muslim diperintahkan supaya hanya berdoa kepada Allah ﷻ dan meminta langsung daripadaNya. 

Firman Allah ﷻ:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡ. 

“Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan permintaan kamu.” 

[Al-Quran, Ghafir, 40:60]

Dalam hadis Nabi ﷺ bersabda: 

إِذَا ‌سَأَلْتَ ‌فَسْألِ ‌اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ.

“Jika engkau meminta maka mintalah daripada Allah dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan daripada Allah.” 

[Sahih. Riwayat Tirmizi]

Adapun perbuatan berzikir di perkuburan dan berdoa dengan bertawassul kepada si mati maka pada hakikatnya bukan sahaja ia tidak pernah diajarkan oleh Nabi ﷺ malah hal tersebut membuka pintu khurafat serta syirik menyekutukan Allah ﷻ. 

Banyak contoh yang dapat kita lihat dilakukan oleh sebahagian kelompok masyarakat Islam.

Ia bermula dengan mengkeramatkan kubur-kubur tertentu dan menganggapnya mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu. Kemudian kubur tersebut didatangi dan diadakan ritual-ritual tertentu seperti berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa dengan bertawassul kepada si mati itu sebelum akhirnya berdoa dan meminta langsung daripadanya. Ini jelas syirik menyekutukan Allah ﷻ. 

Hal ini tidak wajar dipandang mudah. 


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments