Haram Seorang Muslim Membersihkan...

OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis.


 HARAM BAGI SEORANG MUSLIM MEMBERSIHKAN RUMAH IBADAH BUKAN MUSLIM


Bagi seseorang muslim, tidak sepatutnya bertindak untuk membersihkan rumah-rumah ibadah kaum lain yang dilanda banjir sekalipun kaum tersebut bertindak membersihkan masjid yang dilanda banjir.


Ini kerana sebagai muslim, kita memiliki akidah yang khusus yang berbeza dengan Non Muslim. Kita dilarang untuk menjual arak dan segala benda haram sekalipun kita tidak minum atau makan benda haram tersebut.


Termasuklah juga dengan kelab malam dan disko yang mana umat Islam dilarang untuk masuk ke dalamnya kerana ianya dipenuhi dengan maksiat.


Apatah lagi bila berkait dengan tempat-tempat yang mensyirikkan Allah seperti kuil, gereja dan rumah-rumah ibadah kaum lain.  Maka pengharaman jauh lebih besar lagi kerana tempat-tempat ini merupakan tempat yang mensyirikkan Allah. Tiadalah dosa yang lebih besar lagi tidak diampunkan Allah melainkan dosa syirik. Maka wajar untuk kita tidak membantu kebatilan akidah mereka termasuklah membina rumah ibadah mereka, membersihkan, mengambil kerja yang berkaitan dengan rumah ibadah mereka dan yang seumpamanya. 


Biarlah mereka dan penganut mereka yang membuatnya. Bukan kita,  bagi memelihara akidah kita selaku muslim yang beriman dengan Allah dan benci akan segala jenis  kesyirikan.


Ini berbeza sekiranya kita datang untuk membersihkan rumah-rumah kawan kita, atau saudara kita yang Non Muslim yang dilanda banjir,  Maka itu digalakkan kerana ianya merupakan salah satu dakwah bil hal. Iaitu dakwah dengan akhlak kita. Moga-moga dengan sebab kita menolong mereka dari ditimpa musibah, Allah membuka hati mereka untuk memeluk Islam.


Mungkin segelintir remaja muslim kita baru-baru ini yang membersihkan rumah ibadah lain, mereka tidak tahu ataupun jahil. 


Semoga mereka segera bertaubat kepada Allah atas kejahilan mereka. Janganlah kita mengecam atas tindakan jahil dan ketidak tahuan mereka, namun perbuatan salah yang mereka lakukan wajar ditegur supaya ianya tidak berulang lagi di lain hari.


Wallahualam.




Comments