Jangan Marah!

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

#Menahan diri ketika marah

Marah merupakan antara bentuk hasutan syaitan yang boleh menimbulkan banyak keburukan dan mudarat. 

Kerana itu terdapat banyak nas menjelaskan cara-cara untuk mengatasi penyakit ini serta mengurangkan kesan-kesan buruknya. 

Akhirnya, seseorang yang dapat mengawal dirinya ketika marah merupakan insan yang hebat dan berjaya. 

Ini berbeza dengan orang yang bersifat pemarah, mudah panas baran dan cepat melatah sehingga bertindak mengikut nafsu amarahnya. Paling buruk jika sampai mengamuk. Jelas orangnya tiada kawalan diri, kurang berakhlak dan mempunyai perwatakan orang gila apabila marah. 

Ternyata bahawa syariat Islam mendidik Muslim supaya menangani perkara ini. 

Berikut ialah apa yang disarankan oleh Agama ketika marah: 


1. MENAHAN DIRI

Ketika seorang Sahabat Nabi ﷺ meminta nasihat, baginda ﷺ bersabda kepadanya: 

لَا ‌تَغْضَبْ.

“Jangan marah.”

Hadis sahih. Riwayat Bukhari. 

Nabi ﷺ berpesan kepadanya supaya tidak bertindak ketika marah. Adapun rasa marah itu sendiri maka ia di luar kawalan manusia. Sama seperti perasaan sedih, gembira dan sebagainya. Adapun tindakan-tindakan yang diambil ketika marah maka ia boleh dikawal. 


2. BERISTIAZAH

Membaca ‘auzubillah min asy-syaitan ar-rajim’ (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam). 

Dalam satu peristiwa di mana dua orang lelaki berselisih faham sehingga salah seorang daripada mereka marah sehingga mukanya merah padam dan urat-urat lehernya timbul, Nabi ﷺ  bersabda: 

إِنِّي ‌لَأَعْلَمُ ‌كَلِمَةً، لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ، لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ ‌الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

“Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang sekiranya dia mengucapkannya nescaya rasa marahnya itu akan hilang. Andainya dia mengucapkan ‘auzubillah min asy-syaitan ar-rajim’ (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam). 


3. BERDIAM

Sabda Nabi ﷺ: 

إِذَا ‌غَضِبَ أَحَدُكُمْ ‌فَلْيَسْكُتْ.

“Sekiranya seseorang kamu marah maka hendaklah dia berdiam.”

Jangan bercakap ketika marah kerana waktu itu fikiran tidak stabil. Besar kemungkinannya kita akan mengucapkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti menghemburkan kata-kata kesat, mencarut, sumpah seranah, memaki hamun dan sebagainya. Dan lumrah suami melafazkan talak ke atas isterinya ketika marah, ibu bapa memukul anak dan guru memukul murid lalu timbul rasa menyesal. 

Kerana itu antara ungkapan orang dahulu tentang marah ialah: 

أوَّلَهُ جُنُونٌ وَآخِرَهُ النَّدَمِ.

“Permulaannya ialah rasa gila manakala kesudahannya ialah penyesalan”. 

Yakni hampir sahaja orang bertindak dengan kata-kata atau perbuatan dalam keadaan marah menyerupai orang gila lalu betapa cepatnya dia menyesal atas tindakannya itu. 


4. MENGUBAH POSISI KEPADA DUDUK / BARING

Sabda Nabi ﷺ: 

إِذَا ‌غَضِبَ ‌أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ ‌فَلْيَجْلِسْ، فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلَّا فَلْيَضْطَجِعْ.

“Sekiranya seseorang kamu marah ketika dalam keadaan berdiri maka hendaklah dia duduk. Sekiranya rasa marahnya masih tidak hilang maka hendaklah dia berbaring.” 

Biasa kita melihat orang yang marah akan bangkit berdiri dan jika sedang baring dia akan bangkit duduk sedangkan hal ini bertentangan dengan apa yang disarankan oleh Nabi ﷺ  dalam hadis di atas. 


5. MENGINGATI ALLAH 

Ia bertujuan supaya membangkitkan rasa takut kepada Allah lalu mendorong kepada berbuat ketaatan dan menjauhi kemaksiatan. 

Firman Allah ﷻ: 

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ. 

“Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa.”

Surah al-Kahfi; 18:24. 

Ingatlah Allah, kerana jika tidak maka syaitan akan mengambil peluang untuk menghasut. 

FirmanNya ﷻ: 

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ. 

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan maka mintalah perlindungan kepada Allah.” 

Surah al-A’raaf; 7:200. 

Antara matlamat syaitan ialah menghasut manusia berbuat kejahatan termasuklah supaya bertindak mengikut nafsu amarah. Memandangkan syaitan marupakan makhluk Allah yang halus maka tiada jalan bagi manusia untuk menghadapinya melainkan dengan meminta perlindungan serta bantuan daripada Allah. 


CATATAN: 

Marah terbahagi kepada dua kategori; tercela dan terpuji.  

Marah yang tercela ialah marah yang didorong oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan, atas rasa ego atau seumpamanya dan barangkali menyebabkan transgresi atas orang lain. 

Marah yang terpuji ialah marah kerana Allah, atas rasa cemburu apabila hak-hak Allah dicabuli dan tindakan yang diambil menepati batasan Syarak. 

Tulisan di atas menyentuh kategori yang pertama.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments