OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli.
1- Sebagai muslim, setiap bantuan dan pertolongan yang kita berikan hendaklah dibina atas dasar kebajikan dan ketakwaan.
2- Ini berdasarkan firman Allah SWT :
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
Maksudnya : Dan hendaklah kalian saling membantu atas dasar kebajikan dan ketakwaan.
Al-Ma’idah (2)
3- Taqwa bermaksud amal soleh yang dilakukan untuk menjadikan ia sebagai benteng perisai kita dari api neraka.
4- Amal soleh menuntut kita untuk ikhlas dan menepati sunnah Rasulullah SAW dalam pelaksanaannya. Justeru, setiap pertolongan yang kita berikan hendaklah ikhlas dan menepati petunjuk Nabi SAW.
5- Dalam masa yang sama, bantuan dan pertolongan hendaklah secara التعاون iaitu saling membantu. Setiap individu dan pihak ada peranan dan kepakarannya masing-masing. Ada yang bantu dengan doa, ada pula dengan tenaga, ada yang membantu dengan harta benda. Semua saling berkerjasama.
6- Satu perkara lain, menolong orang yang dalam kesusahan dengan apa sahaja aspek pertolongan, merupakan bahagian dari perbuatan sedekah. Dalam sedekah, kita dilarang mengungkit-ungkit serta menyakiti perasaan orang yang dibantu.
7- Ini berdasarkan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ
Maksudnya : Wahai orang beriman, janganlah kalian membatalkan (pahala) sedekah kamu dengan perbuatan mengungkit serta menyakiti (perasaan penerima).
Al- Baqarah (264)
8- Ayat ini mengajar bahawa kita dilarang menyebut-nyebut kebaikan kita dalam bentuk mengungkit. Tak perlu menunjuk-nunjuk seolah hanya kita sahaja yang buat kebajikan. Tak perlu juga kita membangkit seolah orang itu ini tidak melakukan kebajikan yang sama. Semua ini dikhuatiri menafikan ikhlas serta menatijahkan tidak diterimanya amal soleh yang dilakukan.
9- Suatu hari Ibn Sirin mendengar seorang lelaki mengungkit-ungkit pertolongannya kepada seorang lelaki lain. Lalu Ibn Sirin menegur :
اسْكُتْ فَلا خَير فِي المَعْرُوفِ إذَا أُحصِي
Maksudnya : Diamlah kamu. Tidak ada kebaikan pada perbuatan baik sekiranya ia asyik diungkit-ungkit.
10- Membantu secara kerjasama, ikhlas, tidak mengungkit, tidak menafi dan mempertikai usaha orang lain, inilah yang seharusnya menjadi perhiasan seorang muslim dalam menyampaikan bantuan dan pertolongan.
Comments
Post a Comment